Dikemaskini pada: Ogos 6, 2020
Selamat pagi doktor. Saya Puan A ingin bertanya tentang keadaan ibu saya. Beliau berumur 72 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis. Sejak beberapa bulan yang lalu saya menyedari terdapat perubahan pada sikapnya. Beliau menjadi lebih pemarah dan sentiasa mengasingkan diri daripada orang lain. Sebelum ini, beliau suka bersosial dengan ahli keluarga. Selain itu, beliau juga kerap lupa tentang sesuatu perkara yang baru berlaku apabila disoal. Tetapi, pada masa yang sama pula, beliau tiada masalah untuk bercerita tentang kisah yang sudah lama berlaku seperti zaman perkahwinannya. Saya mencari simptom beliau di internet dan menemui penyakit dementia. Apakah maksud dementia dan adakah ini yang sedang beliau alami?
Terima kasih atas soalan anda. Berdasarkan simptom yang diceritakan, berkemungkinan besar ibu anda sedang mengalami penyakit dementia. Maksud dementia merujuk kepada suatu penyakit yang mengganggu fungsi otak secara progresif. Pesakit dementia boleh menunjukkan gejala-gejala penurunan fungsi mental seperti masalah kehilangan memori, sukar membuat keputusan, perubahan tabiat, dan sebagainya.
Diagnosa dibuat secara klinikal setelah doktor menyingkirkan penyakit lain. Rawatan merangkumi nasihat daripada doktor untuk memudahkan pesakit dan penjaga untuk memahami penyakit ini, selain kawalan simptom agar tidak menjadi semakin teruk.
Dementia merupakan suatu penyakit yang mengganggu fungsi otak, dan akan berlaku secara berterusan (progresif). Ianya menyebabkan kemerosotan fungsi mental sehingga mengganggu aktiviti harian seseorang. Antara fungsi mental yang dijejaskan dalam penyakit dementia ialah:
Dementia terbahagi lagi kepada beberapa jenis dan setiap jenis tersebut mempunyai penyebab yang berbeza. Antara jenis-jenis dementia termasuklah penyakit Alzheimer, dementia vaskular, ataupun dementia dengan Lewy body. Kesemua jenis dementia ini menghasilkan simptom yang serupa, namun terdapat beberapa simptom yang merujuk secara spesifik kepada jenis dementia.
Penyakit Alzheimer (Alzheimer’s Disease)
Nama penyakit dementia ini diambil daripada doktor yang menghuraikannya. Untuk penyakit Alzheimer, otak pesakit mengalami kecutan (atrophy) dan mengecil. Jumlah saraf di dalam otak dan beberapa jenis bahan kimia lain yang berfungsi untuk menjalankan kerja-kerja otak akan berkurangan. Selain itu, sejenis plak pula akan terbentuk di sekitar tisu otak. Gejala pesakit akan bertambah teruk apabila semakin banyak bahagian tisu otak yang terlibat.
Penyakit Dementia Vaskular (Vascular Dementia)
Jenis ini berlaku dalam 1 antara 5 kes dementia. Ianya disebabkan oleh saluran-saluran darah kecil dalam otak yang tersumbat oleh darah beku sehingga menyebabkan strok. Strok tidak semestinya datang dengan simptom lumpuh, tetapi boleh juga datang dengan simptom lain seperti masalah kognitif. Tisu otak yang tidak menerima bekalan darah dengan baik selepas strok akan mati dan ini boleh menyebabkan fungsi otak merosot serta berlakunya dementia dalam jangka masa yang panjang.
Dementia dengan Lewy body (Lewy body with Dementia)
Untuk dementia jenis ini, terdapat beberapa gumpalan protein kecil yang terbentuk pada saraf otak. . Punca pembentukan protein tersebut masih tidak diketahui lagi. Protein ini akan mengganggu fungsi saraf dan seterusnya menyebabkan gejala dementia.
Walaupun dementia menyebabkan kehilangan memori, namun tidak semua yang mempunyai masalah memori adalah punca dementia. Keliruan memori juga boleh berlaku apabila seseorang terganggu dengan kerja seharian seperti terlalu sibuk, selain kurang fokus pada sesuatu aktiviti, dan sebagainya. Oleh sebab itu, seseorang yang berada dalam keadaan stress akan lebih kerap lupa. Selain itu, penyakit fizikal atau mental juga boleh mengganggu memori seseorang pesakit.
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh World Health Organization (WHO), terdapat 47.5 juta orang di dunia yang menghidapi masalah dementia. Setiap tahun pula jumlah ini meningkat sebanyak 7.7 juta orang. Oleh itu, sekiranya anda mempunyai ahli keluarga terdekat yang mempunyai masalah dementia, anda tidak berseorangan. Faktor menghidapi dementia termasuklah:
Simptom-simptom yang dialami oleh pesakit dementia dibahagikan kepada tiga, iaitu:
Kehilangan Fungsi Mental
Pertukaran Personaliti, Emosi, dan Tabiat
Pesakit dementia boleh bertukar menjadi cepat marah dan murung pada tahap awal penyakit. Apabila penyakit berlarutan, pertukaran personaliti mereka boleh menjadi semakin mencabar, di mana mereka boleh melakukan sesuatu yang lain daripada karakter sebelum. Mereka boleh bertukar menjadi agresif dan menyerang orang sekeliling, seperti penjaga mereka sendiri. Mereka juga boleh menjadi takut terhadap orang lain. Sesetengah pesakit dementia turut mengalami delusi ataupun halusinasi.
Masalah dalam Menjalani Aktiviti Harian
Sesetengah pesakit dementia akan mengabaikan kebersihan diri. Mereka boleh terlupa untuk mandi ataupun membasuh pakaian, selain tidak mengemas rumah dan memasak. Jadual pengambilan ubat juga boleh terjejas disebabkan masalah memori mereka.
Pesakit dementia boleh mengalami masalah yang lebih teruk seperti pergerakan yang terbatas, kesukaran untuk menahan kencing, dan kehilangan percakapan. Pada tahap ini mereka bergantung sepenuhnya kepada penjaga. Seseorang yang disahkan mempunyai dementia boleh hidup selama 20 tahun selepas didiagnosa.
Penyakit ini sukar untuk disahkan dalam sesetengah pesakit. Hal ini kerana simptom yang terjadi pada awal tahap penyakit adalah kurang jelas. Pemerhatian daripada orang sekeliling adalah diperlukan bagi mendiagnosa penyakit ini. Selain itu, doktor juga akan membuat beberapa ujian makmal bagi menyingkirkan diagnosis lain seperti masalah tiroid atau jangkitan kuman.
Rawatan dementia memberi fokus kepada mengawal serta menghindari simptom yang dialami daripada menjadi semakin teruk. Seseorang yang disahkan mempunyai penyakit ini akan dirujuk kepada beberapa pakar seperti doktor psikiatri dan doktor neurologi. Doktor boleh mencadangkan rawatan yang terbaik bergantung kepada jenis dementia yang dialami. Penjaga akan diberi nasihat tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi membantu pesakit menjalani kehidupan dengan baik dan selesa.
Perkara ini adalah bergantung kepada seseorang pesakit. Sekiranya tahap penyakit masih berada dalam peringkat awal dan simptom dementia masih kurang jelas, pesakit adalah dibenarkan untuk memandu.
Sesetengah tabiat seperti merokok dan pengambilan alkohol, penyakit kronik jika dikawal dengan baik boleh menurunkan risiko untuk menghidapi dementia. Anda juga boleh melatih diri sendiri sedari awal untuk mempelajari hobi baru seperti bermain alatan muzik, membaca, bermain teka-teki seperti Sudoku dan aktiviti yang boleh berlatih minda.
Jika anda atau keluarga anda terdapat persoalan tentang penyakit ini, anda boleh menghubungi doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my.
Rujukan
Soalan berkenaan - maksud perkataan dementia, rawatan demensia, penyebab demensia, gejala dementia
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my