Muntah merupakan suatu masalah yang selalu berlaku. Dalam hal ini, yang paling penting adalah warna muntah tersebut. Hal ini kerana warna muntah yang keluar dapat membantu doktok dalam membuat diagnosis dan mengesan punca permasalahan ini. Penyebab-penyebab muntah berwarna kuning adalah:
A) ‘Bile’ (Hempedu)
Penyebab utama muntah berwarna kuning ialah apabila seseorang itu muntah dengan perut kosong. Hal ini berlaku kerana cecair yang dihasilkan oleh organ hati. Cecair ini dikenali sebagai ‘bile’ (hempedu). Hempedu memainkan peranan dalam pencernaan lemak di dalam badan. Jadi, apabila seseorang muntah dengan perut kosong, maka ianya akan menyebabkan hempedu tersebut yang keluar kerana perut tidak mempunyai sebarang kandungan makanan. Hempedu inilah yang berwarna kuning dan terkandung dalam muntah tersebut.
B) ‘Bile reflux’
Selain itu, terdapat juga suatu fenomena yang dikenali sebagai ‘bile reflux’. Bile reflux ini terjadi disebabkan hempedu mengalir ke perut dan juga akan mengalir naik ke esophagus. Ini selalunya berlaku serentak dengan masalah gastrik. Disebabkan itu, apabila mereka muntah, muntah mereka berwarna kuning kerana mengandungi hempedu.
C) Keracunan makanan
Masalah keracunan makanan juga boleh menyebabkan muntah berwarna kuning. Hal ini kerana keracunan makanan akan menyebabkan gejala muntah-muntah. Oleh itu, jika dibiarkan begitu sahaja, perut akan kosong dan apabila muntah lagi, bahan yang keluar hanyalah hempedu yang berwarna kuning.
D) Usus Tersumbat
Sehubungan dengan itu, muntah berwarna kuning juga boleh disebabkan oleh usus yang tersumbat. Ini kerana hempedu yang dihasilkan tidak dapat melalui usus dengan lancar kerana tersumbat.Rentetan itu, hempedu akan terkumpul di bahagian perut lalu menyebabkan berlakunya iritasi pada perut sehingga mengakibatkan muntah yang berwarna kuning. Oleh itu, ianya memang sangat berbahaya apabila seseorang itu menghadapi masalah usus tersumbat. Ianya perlu dirawat dengan segera.
E) Pengambilan alkohol berlebihan
Seterusnya, pengambilan alkohol yang berlebihan juga boleh membawa kepada masalah muntah berwarna kuning. Ini kerana pengambilan alkohol secara berlebihan boleh membawa kepada masalah radang tisu dalam perut. Ini apabila berlarutan boleh menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa pada bahagian perut sekaligus boleh mengakibatkan seseorang itu muntah. Muntah akan berwarna kuning kerana mengandungi hempedu yang dirembeskan ke dalam perut untuk membantu menghadam alkohol.