Kesihatan Mental Perokok - Benarkah Berhenti Merokok Punca Kemurungan?

Kemurungan - Atasi Depresi Selepas Berhenti Merokok - DoctorOnCall


Merokok Dan Kesihatan Mental

Merokok mungkin boleh membuatkan si perokok lupa tentang segala masalah yang mereka hadapi. Seringkali kita lihat mereka yang merokok memberikan alasan lambakan kerja atau berdepan dengan masalah rumah tangga dan rokok adalah sesuatu yang memberikan mereka ketenangan. Benarkah? Tanpa mereka sedari, bukankah ini bermakna mereka telah bergantung kepada rokok untuk merasa tenang? 

Banyak persoalan yang timbul, adakah rokok memang benar menghilangkan stres atau rokok itu sendiri adalah puncatekanan dan masalah kesihatan mental yang lain? Teruskan bacaan anda untuk mengetahui hal sebenar.

Merokok telah diketahui menyebabkan pelbagai kemudaratan kepada kesihatan fizikal tubuh, namun mungkin masih ramai yang belum sedar tentangkesan rokok kepada kesihatan mental. Nikotin yang terkandung dalam rokok ialah bahan utama yang menyebabkan masalah kepada kesihatan mental perokok. Nikotin berfungsi untuk merangsang reseptor dalam otak bagi penghasilan dopamin. Dopamin ialah hormon yang akan menyebabkan perokok berasa gembira, dan tenang dalam jangka masa yang pendek. Hal ini menyebabkan perokok lebih cenderung untuk menghisap rokok demi secebis kebahagiaan dan ketenangan. 

Semakin lama, perokok akan mula gelisah jika tidak mendapat rokok. Hal ini berlaku kerana otak mereka sudah muka bergantung kepada signal nikotin untuk merembeskan hormon kegembiraan ini. Tanpanya, badan perokok akan mula tidak selesa atau gelisah. Lama-kelamaan ia menjadi satu ketagihan.Perkara inilah yang menyebabkan para perokok amat sukar berhenti. Kesan nicotine withdrawal atau kesan sarak nikotin ini menyebabkan perokok merasa tertekan tanpa rokok. Sebenarnya mereka telah tertipu.

Jadi, Apa Sebenarnya Berlaku ? 

Tanpa anda sedar, sebenarnya anda telah dimanipulasi oleh sebatang rokok ! Bayangkan bagaimana anda sebagai makhluk yang hebat terpaksa bergantung kepada sebatang rokok untuk mendapat secebis ketenangan. Mari lihat apa yang berlaku kepada anda disebalik ketenangan yang palsu ini.


1. Tekanan

Kitaran ini bermula apabila seseorang menghisap rokok, nikotin memicu kepada penghasilan hormon dopamin. Namun kegembiraan dan keselesaan yang dirasai hanya bertahan dalam jangka masa yang pendek. Setelah kesan nikotin hilang, badan mula dahagakan hormon dopamin sekaligus menyebabkan anda gelisah, stres, murung dan mudah marah. Jadi mereka akan kembali kepada rokok. Kitaran buruk ini akan terus berulang hingga anda merasakan rokok adalah jalan penyelesaian tekanan anda.  Tetapi yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Jangan terpedaya dengan kegembiraan yang hanyalah ilusi.

2. Kemurungan

Dalam sebuah kajian oleh Prof. Hagai Levine menunjukkan bahawa merokok meningkatkan risiko kemurungan. Kajian itu juga menunjukkan bahawa perokok lebih cenderung untuk mengalami kemurungan 2 hingga 3 kali ganda berbanding individu yang tidak merokok. Satu lagi kajian yang dijalankan di Universiti Alabama di Birmingham pula menunjukkan, peningkatan gejala kemurungan seiring dengan peningkatan bilangan rokok atau kadar nikotin yang diambil. 

Bagaimana rokok boleh menyebabkan kemurungan masih tidak difahami sepenuhnya. Namun, kebanyakan perokok merokok untuk mendapat ketenangan. Walaupun hakikat sebenarnya, semakin banyak rokok yang dihisap, semakin tinggi nikotin atau jumlah rokok yang diperlukan untuk anda berasa tenang dan gembira. Oleh itu ia menjadi punca kemurungan selepas berhenti merokok.

Selain kehilangan nikotin terdapat satu teori lain yang menceritakan mengapa ia berlaku. Ketika gejala sarak nikotin, satu protein yang mengawal emosi seseorang dikenali sebagai monoamine oxidase A (MAO-A) akan meningkat sebanyak 25 peratus dalam tempoh 8 jam selepas berhenti rokok. Protein ini akan “menelan” semua hormon bahagia seperti dopamin dan serotonin sekaligus menyebabkan seseorang lebih cenderung untuk bersedih. Namun begitu, jangan bimbang. Kesan ini adalah sementara, selepas anda pulih, anda akan berasa gembira tanpa perlu bergantung kepada nikotin lagi!

Tips Atasi Kemurungan Selepas Berhenti Merokok

1. Makan Makanan Berkhasiat

Perokok yang baru berhenti biasanya akan cenderung untuk mengunyah. Tabiat ini adalah untuk mengurangkan ingatan atau ketagihan mereka terhadap rokok. Biasanya makanan yang berminyak, manisan dan snek-snek tinggi kalori menjadi pilihan. Jangan begitu, berhenti merokok adalah langkah pertama ke arah hidup lebih sihat, jangan cemarkannya dengan makanan tinggi kalori dan mengakibatkan pertambahan berat badan. 

Jadi, bagaimana untuk menghilangkan ketagihan? Jangan risau, anda boleh makan, dan mengunyah snek. Tetapi pastikan pilihan makanan anda adalah berkhasiat dan rendah kalori. Ambil buah-buahan, kekacang dan snek rendah kalori seperti bertih jagung. Coklat gelap juga bagus. Pilihan makanan yang sihat juga bukan sahaja penting untuk perut, malah lebih baik untuk minda anda. 

2. Jalani Aktiviti Sihat

Beriadah juga boleh menghasilkan dopamin untuk merangsang emosi yang baik. Oleh itu, apabila anda berhenti merokok, isi masa anda dengan pelbagai aktiviti. Ia bukan sahaja bagus untuk membantu anda melupakan rokok, malah merangsang pengeluaran hormon yang baik untuk minda anda.

Aktiviti riadah juga menyebabkan anda berpeluh sekaligus membantu membuang bahan kumuh dalam tubuh anda. Hasilnya, badan lebih sihat dan otak juga lebih cerdas. Selain itu, aktiviti riadah juga membolehkan anda tidur lebih lena. Ini amat penting terutamanya ketika anda dalam fasa kesan sarak nikotin, kerana anda mungkin mengalami insomnia. 

Anda bebas melakukan apa jua aktiviti seperti berjogging, berbasikal, bercucuk tanam, mencuci kereta dan mengemas rumah. Melakukan aktiviti bersama keluarga juga boleh membantu anda melupakan masalah di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan. Semuanya bagus untuk minda anda. 

3. Sokongan Daripada Keluarga dan Rakan

Usaha berhenti merokok tidak perlu dilakukan dengan seorang diri. Jika anda ingin berhenti merokok, maklumkan lah kepada keluarga dan rakan-rakan anda. Tentunya mereka berasa gembira dengan keazaman anda. Sokongan mereka amat penting dalam usaha anda untuk hidup bebas tanpa rokok. Mereka yang merupakan orang yang sering bersama anda juga akan mendapat manfaatnya. Kini mereka bukan lagi perokok pasif.

Namun begitu, mungkin terdapat orang sekeliling anda seperti teman rapat yang masih merokok. Oleh itu, kuatkan keazaman anda agar tidak terpengaruh dengan mereka dan mendekati rokok kembali. Elakkan kerap melepak dengan rakan yang merokok sehingga anda yakin anda boleh melawan godaan rokok ketika bersama mereka.  

4. Elakkan Diri Daripada Mengingati Rokok

Semasa anda mengalami sindrom sarak nikotin selama 1-3 bulan,keinginan anda terhadap rokok akan menjadi sangat kuat sehingga mampu menghancurkan segala usaha anda. Sindrom sarak akan mencapai tahap kemuncak pada hari kedua atau ketiga selepas rokok terakhir anda.

Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk anda mengelakkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mengingatkan anda kepada rokok. Buang tempat abu rokok, kotak rokok, sisa rokok dan bersihkan rumah dari bau rokok dengan membasuh bantal, langsir dan mengelap perabot. Letakkan bau bauan yang menyegarkan seperti bauan sitrus, buah-buahan atau bunga seperti lavander. Ini bukan sahaja membantu anda melupakan rokok, malah memberi ketenangan kepada minda. Bau bauan seperti lavander bukan sahaja menenangkan, malah membantu anda untuk tidur lebih lena. Selain itu, sentiasa positif terhadap kebaikan berhenti merokok dan yakinlah bahawa kesan sarak nikotin adalah sementara sahaja. 

5. Terapi Gantian Nikotin (NRT)

Selain itu, cara mengatasi kemurungan juga adalah dengan penggunaan Terapi Gantian Nikotin (Nicotine Replacement Therapy). Ia merupakan rawatan dengan konsep membekalkan otak dengan nikotin dalam dos yang rendah tanpa bahan-bahan beracun yang terdapat di dalam asap rokok. NRT boleh mengurangkan rasa gian dan juga mengurangkan kesan sindrom sarak selepas berhenti merokok.

Antara produk NRT ialah gula-gula getah nikotin, sedutan nikotin, lozenge nikotin dan tampalan nikotin. Anda boleh mendapatkan konsultasi bersama doktor di klinik berdekatan untuk mengetahui rawatan NRT yang sesuai dengan anda. Dengan rawatan ini, anda akan rasai pengalaman berhenti merokok yang lebih mudah.

6. Kaunseling

Tahukah anda, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik sekurang-kurangnya 45 buah klinik di seluruh negara sebagai pusat untuk membantu golongan perokok berhenti merokok. Klinik ini dipanggil Klinik Berhenti Merokok. Fungsi klinik berhenti merokok adalah memberi pertolongan samada melalui khidmat rawatan farmakoterapi atau tingkah-laku. Anda yang sedang cuba untuk berhenti merokok sangat disyorkan untuk mengikuti konsultasi yang disediakan di klinik ini. Klik (di sini) bagi mengetahui senarai klinik berhenti merokok. Bantuan luar sebegini terutamanya yang melibatkan pakar bertauliah tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Mereka lebih arif tentang cara berhenti merokok yang betul tanpa merisikokan diri anda ke arah kemurungan dan kesan sindrom sarak nikotin yang lain.


Kesimpulan

Kami berharap langkah yang dikongsikan dapat membantu anda dalam menempuhi kesan berhenti merokok. Tekanan emosi selepas berhenti merokok adalah sesuatu yang serius dan harus diuruskan dengan betul supaya anda dapat menangani masalah ini dengan sempurna. Elakkan gejala-gejala berhubung kesihatan mental ini daripada berpanjangan kerana kesan kemurungan sahajaboleh membahayakan diri dari segi luaran dan dalaman serta boleh membahayakan orang sekeliling. Semoga anda kembali ceria selepas berhenti merokok dengan cara yang betul. 



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

 

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall