Pilihan Snek Untuk Berhenti Merokok Tanpa Peningkatan Berat Badan

9 Makanan Terbaik Untuk Individu Ingin Berhenti Merokok - DoctorOnCall

Pengenalan

Berhenti merokok merupakan perkara yang sukar untuk setiap perokok. Namun syabas diucapkan sekiranya anda berniat, baru sahaja mula berhenti atau sudah berjaya meninggalkan tabiat ini! Berhenti merokok datang dengan pelbagai kekangan yang membuatkan keinginan untuk berhenti menjadi lemah. Hidup lebih mudah semasa merokok dan anda merasakan kurang tekanan dan kegelisahan. Namun begitu, sekiranya diteruskan anda sedang mengancam kesihatan dan nyawa anda. Adakah anda bergantung kepada nikotin? Ambil kuiz ini untuk mengetahuinya.

Antara kesan berhenti merokok ialah simptom penarikan atau withdrawal syndrome. Antara gejala simptom penarikan yang sering menjadi masalah kepada bekas perokok adalah peningkatan berat badan kerana peningkatan selera makan. Untuk pengetahuan anda, nikotin yang terdapat dalam rokok mengurangkan selera makan. Jadi, apabila seseorang berhenti merokok mereka akan lebih cenderung untuk makan dengan lebih banyak. Selain itu, ramai bekas perokok yang mengambil jalan dengan sering mengunyah kudap-kudapan untuk mengurangkan rasa ketagihan atau keinginan menghidap rokok. Antara cara untuk berhenti merokok dan mengelakkan kenaikan berat badan selepas berhenti merokok adalah pengambilan snek yang sihat. Mari baca artikel ini selanjutnya untuk mengetahui pilihan snek sihat untuk anda berhenti merokok.


9 Jenis Snek Sihat Selepas Berhenti Merokok

Berhenti merokok datang dengan kesan sampingan seperti peningkatan keinginan untuk makan. Ini adalah antara makanan untuk berhenti merokok dan memberikan berat badan yang ideal:


1. Bertih jagung

Popcorn boleh menjadi snek sihat untuk menghilangkan ketagihan merokok. Popcorn memberikan kepuasan kepada bekas perokok apabila terasa ingin mengunyah dan rasa masin daripada popcorn boleh menghilangkan keinginan untuk merokok. Bertih jagung juga antara makanan yang mengandungi kalori rendah menjadikan ia makanan yang sesuai untuk mengelakkan peningkatan berat badan.

Elakkan popcorn yang dimasak dengan sos karamel atau mentega untuk mendapat snek yang sihat. Sekiranya mahu, ambil dalam kuantiti sedikit dan jangan ambil dengan kerap. 


2. Sayur-sayuran dan buah-buahan

Apabila bercakap tentang pemakanan yang sihat sudah semestinya sayur-sayuran dan buah-buahan akan tersenarai. Sebuah kajian telah menunjukkan bahawa bekas perokok yang memakan buah-buahan dan sayuran lebih cenderung untuk kekal tidak merokok. 

Memakan sayur dan buah-buahan akan mengurangkan kebergantungan seseorang terhadap nikotin. Sayur dan buah-buahan mempunyai kalori rendah jadi jika anda risau tentang kenaikan berat badan, perbanyakkan makan sayur dan buah-buahan. Buah-buahan pilihan termasuklah epal dan buah buahan yang lain. Snek ini bukan sahaja mengenyangkan, malah kaya dengan khasiat.


3. Kekacang

Kekacang seperti kacang tanah, badam dan walnut merupakan snek sihat yang kaya dengan antioksida. Kacang juga adalah sumber protein yang bagus untuk diet pemakanan anda, malah kacang boleh membuatkan anda rasa kenyang. Kacang mempunyai kesan termogenik yang tinggi yang akan membantu untuk anda menurunkan berat badan kerana kacang meningkatkan metabolisme tubuh badan anda.

Walaupun kacang adalah snek yang sihat, dinasihatkan untuk anda mengambil dalam kuantiti yang secukupnya seperti segenggam kacang kerana kacang mempunyai kalori yang agak tinggi. Selain itu, pilih snek kekacang tanpa perisa untuk mengelakkan pengambilan gula atau garam berlebihan.


4. Susu

Selain menjadi sumber nutrisi pada badan, susu juga mempunyai manfaat unik untuk bekas perokok. Jika anda terasa keinginan merokok yang kuat cuba minum segelas susu. Kajian menunjukkan bahawa susu menyebabkan rasa rokok menjadi pahit dan tidak sedap apabila dihisap. Oleh sebab susu dan rokok adalah gabungan yang tidak serasi ia membantu dalam proses berhenti merokok.

Selain itu, susu mampu meningkatkan lagi metabolisme tubuh badan anda dan mampu bantu anda mengurangkan berat badan secara sihat.

5. Coklat Gelap/Coklat Hitam

Jika anda seorang yang menggemarkan coklat, mungkin ini adalah berita yang baik untuk anda. Coklat gelap adalah pengganti yang sihat untuk nikotin. Diperkaya dengan nutrisi, coklat gelap merangsang penghasilan hormon dopamin seperti nikotin. Jadi coklat gelap dapat menenangkan anda ketika mempunyai keinginan untuk merokok yang kuat.

Coklat gelap juga telah dibuktikan mampu membantu pengurangan berat badan kerana boleh mengurangkan selera makan dan meningkatkan rasa kenyang.


6. Kulit Kayu Manis

Dalam kajian di Jepun, saintis telah mendapati bahawa kulit kayu manis mampu menghilangkan lemak visceral ataupun lemak pada perut. Namun begitu, manfaatnya hanya akan dicapai dengan optimum bersama rutin senaman dan pengambilan pemakanan yang lebih sihat.

Terdapat beberapa laporan mengatakan menghisap kulit kayu manis boleh menghilangkan keinginan untuk merokok. Hal ini kerana bau kulit kayu manis mempunyai ciri-ciri seperti rokok. Anda juga boleh mengunyah kulit kayu manis untuk menghilangkan keinginan merokok.


7. Keju

Untuk pengetahuan anda, tubuh badan kita akan lebih cepat membuang lemak jika mendapat kalsium yang secukupnya. Kalsium dalam keju mampu meningkatkan metabolisme badan untuk mengurangkan berat badan.

Keju juga mempunyai kesan untuk mengurangkan ketagihan merokok. Keju yang masin akan lebih efektif untuk individu yang ingin berhenti merokok.


8. Gula-gula getah

Antara tabiat yang sering dilakukan oleh perokok adalah merokok selepas makan. Anda boleh menggantikan tabiat ini dengan mengunyah gula-gula getah. Anda juga boleh mengunyah gula-gula getah apabila keinginan merokok datang.

Perbuatan mengunyah gula-gula getah juga telah dibuktikan dalam kajian, mampu menghilangkan 5% kalori.


9. Makanan kegemaran

Tidak salah untuk anda menghadiahkan diri anda makanan yang sedap kerana berhenti merokok. Anda boleh memakan makanan kegemaran sesekali dan ini tidak akan menurunkan usaha kesihatan anda selagi anda perbanyakkan makanan yang sihat yang disertai rutin senaman yang kerap. Apabila berhenti merokok, deria rasa anda akan menjadi lebih baik dan akan dapat menikmati deria rasa yang telah lama hilang.


Makanan yang perlu dielak semasa berhenti merokok

1. Kopi

Dalam sebuah kajian, perokok lebih suka meminum kopi sambil menghisap rokok. Ramai perokok menyatakan mereka suka melakukan sesuatu sambil menghisap rokok dan hal ini menyebabkan satu tabiat buruk iaitu merokok sambil minum kopi. Kopi juga mengandungi kafein yang boleh menyebabkan seseorang lebih cenderung untuk menghisap rokok.

Sekiranya anda telah berhenti merokok, gantikan pengambilan kopi dengan teh selama 2 minggu untuk mengurangkan keinginan merokok.


2. Manisan

Manisan seperti gula-gula perlu dielakkan. Di tempoh berhenti merokok, selera makan anda akan meningkat dan anda akan inginkan makanan yang manis. Tabiat ini boleh menyebabkan peningkatan berat badan dan risiko kencing manis! Oleh itu, gantikan pengambilan makanan manis dengan buah seperti beri apabila anda  Anda boleh memakan buah dan buah beri apabila teringin makanan manis.


3. Makanan berminyak

Kesan sampingan berhenti merokok akan menyebabkan selera makan anda meningkat. Oleh itu, pada waktu ini amat penting untuk anda memilih pemakanan yang betul. Semestinya di Malaysia makanan yang berminyak atau digoreng mudah dijumpai di mana-mana. Jauhi makanan seperti ini dengan memilih makanan yang direbus atau dikukus, sebaiknya memasak sendiri makanan di rumah adalah lebih sihat dan menjimatkan. 


Kesimpulan

Kami berharap dengan senarai snek sihat ini anda  mampu mengharungi saat anda baru bermula sehingga dapat berhenti merokok selamanya. Berhenti merokok bukan perkara yang mudah, namun ianya tidak mustahil sekiranya anda sendiri inginkan hidup yang lebih sihat, dan hidup yang bebas daripada penyakit. Tentu ramai perokok yang ingin berhenti dan inginkan hidup tanpa rokok, semoga dengan senarai makanan sihat ini dapat membantu anda meneruskan usaha anda untuk berhenti merokok tanpa masalah kenaikan berat badan. Jangan lupa, pemakanan yang sihat sahaja tidak mencukupi, lakukan senaman dengan kerap agar lebih efektif. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui cara-cara berhenti merokok.


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

​​

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall