Cuba Tips Kuruskan Badan Ini Untuk Turun Berat Secara Sihat

Cara Nak Kuruskan Badan Dengan Sihat & Selamat - DoctorOnCall

Berat badan yang ideal merupakan idaman setiap individu untuk kelihatan cantik dan tampan. 

Namun begitu, ingatlah bahawa tiada jalan pintas untuk kurus. Tiada istilah cara kuruskan badan dalam seminggu atau dalam masa sebulan. Menguruskan badan adalah proses yang memakan masa dan memerlukan disiplin yang tinggi. Matlamat anda untuk kurus bukanlah perkara yang mudah, namun tidak mustahil. Mengubah gaya hidup adalah salah satu kuncinya.

Ikuti artikel ini untuk mengetahui tips menguruskan badan dengan cara yang sihat

Kurangkan Pengambilan Gula

Sebagai rakyat Malaysia, kita memang tidak boleh lari daripada gula. Malah gula adalah satu bahan yang digunakan oleh manusia seluruh dunia di dalam masakan ataupun minuman. 

Mungkin anda tertanya-tanya, apakah kaitan gula dengan penurunan berat badan? Sebenarnya, terdapat beberapa cara tubuh badan kita bertindak apabila kita mempunyai lebihan gula dalam badan.

Pertama, makanan yang bergula tidak mengenyangkan dan menyebabkan anda cenderung untuk makan lebih banyak. 

Makanan bergula juga akan menyebabkan peningkatan gula dalam darah (hyperglycemia). Terlalu banyak gula dalam darah akan menyebabkan sel-sel menyimpan gula tersebut sebagai lemak dan menyebabkan berat badan anda meningkat.

Selain itu, makanan bergula mempunyai kalori yang tinggi tetapi tidak mempunyai apa-apa nutrisi lain seperti vitamin atau serat. Memakan makanan bergula dengan kerap akan menyebabkan berat badan anda meningkat dengan lebih cepat.

Minum Air Kosong Boleh Membakar Kalori

Sebuah kajian telah dilakukan dan mendapati bahawa minum air kosong pada suhu bilik atau sejuk boleh meningkatkan pembakaran kalori. Dalam kajian tersebut, mereka mendapati individu yang meminum air kosong dapat membakar 2-3% kalori daripada biasa selepas 90 minit minum air.  

Meminum air kosong juga dapat meningkatkan kebolehan badan anda untuk membakar kalori sewaktu rehat yang dikenali sebagai resting energy expenditure. Minum air kosong juga boleh membuat anda berasa lebih kenyang.

Kurangkan Pengambilan Karbohidrat

Karbohidrat adalah sumber tenaga. Namun begitu, pengambilan karbohidrat yang tinggi boleh meningkatkan berat badan akibat lebihan gula yang tidak digunakan, terutamanya jika apabila pengambilan makanan tidak seimbang dan tidak disertai dengan senaman.

Karbohidrat yang lebih baik adalah yang tidak diproses dan mengandungi serat yang tinggi contohnya roti bijirin penuh, barli, oat dan quinoa. Mengurangkan pengambilan karbohidrat yang diproses serta mengambil karbohidrat dalam jumlah yang disarankan boleh membantu mengurangkan berat badan. 

Makan Lebih Banyak Protein

Untuk pengetahuan anda, protein boleh menyebabkan peningkatan pada metabolisma, mengurangkan selera makan dan mengurangkan hormon ghrelin yang menyebabkan rasa lapar.

Pengambilan protein meningkatkan kadar metabolisma anda dan menyebabkan pembakaran 80-100 kalori setiap hari. Antara sumber protein yang baik adalah daging lembu, ayam, ikan, telur, susu, keju dan kekacang seperti soya.

Bersenam dan Bersukan

Selain menjaga pemakanan, bersenam adalah cara yang baik untuk menurunkan berat badan disamping menjaga kesihatan. 

Berjalan adalah antara senaman yang sesuai dilakukan bagi sesiapa yang ingin mula bersenam. Ia tidak memerlukan peralatan seperti di gym dan tidak membebankan pada anggota badan anda. Untuk permulaan anda boleh cuba berjalan selama 30 minit, 3-4 kali seminggu.

Jogging dan berlari juga antara senaman yang bagus dipraktikkan untuk membakar kalori. Anda disarankan untuk jogging atau berlari selama 20-30 minit, 3-4 kali seminggu jika anda mampu.

Berenang adalah senaman yang menggunakan seluruh otot badan. Selain menghilangkan lemak, berenang juga boleh meningkatkan fleksibiliti dan mengurangkan risiko penyakit jantung.

Aktiviti angkat berat juga antara cara untuk mengurangkan berat badan bagi mereka yang tidak mahu kehilangan jisim otot. Ia juga dapat meningkatkan kadar metabolisma anda.

Minum Teh Hijau

Teh hijau mengandungi kafein dan catechin iaitu sejenis antioksidan. Kedua-dua komponen ini meningkatkan metabolisme anda. 

Teh hijau juga bagus jika diminum sebelum bersenam. Sebuah kajian mendapati bahawa meminum teh hijau sebelum bersenam dapat membakar lebih banyak kalori.

Dapatkan Tidur Yang Secukupnya

Tidur yang tidak mencukupi boleh menyebabkan peningkatan hormon ghrelin. Hormon ini menyebabkan anda berasa lapar. Peningkatan hormon ini juga akan mengurangkan paras hormon Leptin, iaitu hormon yang menyebabkan anda berasa kenyang. 

Berpuasa

Amalan berpuasa dipraktikkan dalam diet intermittent fasting. Selain mengurangkan pengambilan makanan dalam sehari, berpuasa juga didapati boleh mempengaruhi hormon anda. 

Hormon insulin anda adalah pada paras yang rendah ketika berpuasa. Ini membantu membakar kalori. Selain itu, tubuh juga menghantar hormon norepinephrine kepada tisu-tisu lemak untuk ditukar kepada tenaga. 

Minum Kopi

Tak ramai orang tahu bahawa meminum kopi tanpa gula boleh meningkatkan kadar metabolisma anda sebanyak 3-11%. Secara tidak langsung membantu anda untuk mengurangkan berat badan. Malah kopi juga boleh mengurangkan rasa lapar.

Kira Kalori

Antara teknik untuk kurus adalah dengan mengira jumlah kalori yang anda ambil setiap hari. Mengira kalori akan membuatkan anda lebih berwaspada dengan makanan yang anda boleh makan dalam sehari dan membantu anda mengurangkan berat badan.

Jangan Biarkan Diri Kelaparan

Kebanyakan orang yang ingin kurus akan melakukan diet yang melampau sehingga sanggup menahan lapar. Cara ini sebenarnya tidak efektif kerana ia akan menyebabkan anda makan lebih banyak.

Jika anda ingin menurunkan berat badan, jangan berlapar. Makan diet yang rendah karbohidrat dan tinggi protein. Makan snek yang rendah kalori di antara setiap waktu makan seperti kekacang atau buah-buahan yang boleh mengenyangkan anda.

Rujukan:

Ditulis oleh Haris Asyraf, Bachelor's Degree In Medicine and Surgery (MBBCh) of Zagazig University, Egypt on

Disemak oleh DoctorOnCall Panel Doctor

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall