Benarkah Pengambilan Alkohol Dilarang Bagi Penerima Vaksin COVID-19?

Minuman Beralkohol Jejaskan Fungsi Vaksin COVID-19? - DoctorOnCall

Pengambilan minuman alkohol secara berterusan dalam kuantiti yang tinggi pada setiap hari akan mengakibatkan kepada pelbagai jenis penyakit seperti masalah jantung, kanser dan penyakit hati. Kajian mengenai alkohol juga telah menunjukkan bahawa minuman alkohol secara berlebihan boleh menyebabkan keradangan pada usus dan merosakkan mikro organisma yang berfungsi untuk mengawal sistem imun manusia. Memandangkan negara kita sedang menjalankan program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, mari kita lihat kesan alkohol terhadap pengambilan vaksin ini. Adakah minuman alkohol akan menjejaskan keberkesanan vaksin COVID-19 didalam badan ?



Bagaimana Vaksin COVID-19 Berfungsi ?

Untuk pengetahuan anda, vaksin yang dihasilkan oleh Pfizer dan Moderna ini menggunakan teknologi messenger RNA (mRNA) untuk meningkatkan tindak balas imun didalam badan. Kemudian mRNA akan bertindak dengan meransang sel anda untuk  menghasilkan protein. Penghasilan protein ini akan menyebabkan tubuh badan anda menghasilkan sejenis antibodi yang mampu melawan virus COVID-19 secara agresif. Penggunaan vaksin ini akan menjadikan tubuh badan anda lebih bersedia sekiranya dijangkiti ataupun terdedah kepada virus COVID-19. 



Adakah Minuman Alkohol Dibenarkan Sebelum Dan Selepas Suntikan Vaksin COVID-19 ? 

Kajian lanjut mengenai vaksin COVID-19 masih diteruskan walaupun terdapat sebahagian vaksin telahpun diberikan kepada masyarakat di seluruh dunia. Maklumat mengenai kesan alkohol terhadap keberkesanan vaksin ini masih belum mencukupi. Namun begitu beberapa pakar dari seluruh dunia telah menyuarakan pendapat mereka berdasarkan maklumat sedia ada sebelum ini.

Menurut pakar kesihatan di United Kingdom dan Rusia, mereka menekankan agar individu perlu mengelakkan pengambilan minuman beralkohol buat seketika waktu sebelum dan selepas  menerima suntikan vaksin COVID-19.

Namun begitu, pakar kesihatan di Amerika Syarikat pula menyatakan pengambilan minuman alkohol dalam kuantiti yang sedikit adalah dibenarkan dan tidak akan menjejaskan tindak balas imun didalam badan. Namun, pengambilan minuman alkohol secara berlebihan dalam sesuatu masa perlu dielakkan kerana boleh membawa kepada kemudaratan fizikal.

Pakar Imunolgi, Doktor Falsafah di Manchester University, United Kingdom menyarankan agar setiap individu perlu berhenti daripada  pengambilan minuman alkohol beberapa hari sebelum dan selepas disuntik. Menurutnya, setiap orang perlu memastikan sistem imun didalam badan berada dalam keadaan yang baik supaya dapat menghasilkan tindak balas yang positif kepada vaksin. 

Pegawai kesihatan di Rusia pula menegaskan kepada individu yang bakal menerima vaksin COVID-19 perlu berhenti daripada tabiat minuman alkohol selama 2 bulan bagi memastikan keberkesanan dan kebolehupayaan vaksin dalam pencegahan virus.



Mengapa Minuman Alkohol Perlu Dielakkan ? 

Menurut pakar Imunolgi dan mikrobiologi di Loyola Universiti, beliau menegaskan bahawa pengambilan alkohol secara berlebihan perlu dielakkan sepanjang proses vaksinasi dilaksanakan. Walaupun tiada kajian ataupun fakta yang khusus mengenai kesan alkohol kepada vaksin COVID-19, tetapi terdapat beberapa kajian sebelum ini menunjukkan alkohol boleh memberi kesan kepada sistem imun seseorang dan tindak balas kepada vaksin. Beliau berkata, secara umumnya minuman alkohol perlu dielakkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum suntikan dos pertama dan sebulan selepas suntikan dos kedua.

Pengambilan minuman alkohol secara kerap dan melebihi kadar yang ditetapkan dalam sesuatu masa dikategorikan sebagai bahaya dan boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan. Apabila minuman ini diambil dalam kuantiti yang banyak, ia akan mengganggu fungsi imun didalam badan manusia. Ini dapat dilihat apabila banyak imun sel berfungsi secara tidak teratur, pada masa yang sama peningkatan keradangan berlaku di seluruh badan terutamanya kepada organ hati dan jantung berlaku akibat pengambilan alkohol berlebihan. 



Minuman Secara Sederhana

Dari sudut pandangan yang lain, minuman alkohol secara berhemah mengikut kadar kuantiti yang dibenarkan iaitu dua gelas sehari bagi lelaki dan satu gelas sehari  bagi wanita sebenarnya boleh meningkatkan tindak balas kepada vaksin tertentu.

Minuman secara sederhana dilihat akan menghasilkan antibodi yang lebih bagus dan baik didalam badan manusia. Alkohol yang diambil secara berhemah boleh menghasilkan cytotoxic (CD8) dan tindak balas T-Cell. Menurut sesetengah kajian, alkohol yang diambil secara sederhana boleh meningkatkan tidak balas antiviral didalam badan  Namun begitu kebaikan dan manfaat minuman alkohol ini tidak dapat dipastikan secara tepat sama ada bersifat sementara ataupun untuk jangka masa panjang.

Kesimpulan

Penggunaan dan pengambilan minuman alkohol sebaiknya dielakkan bagi memastikan suntikan yang diberikan kepada tubuh badan dapat berfungsi dengan baik dalam pencegahan wabak virus. Pengambilan minuman beralkohol yang banyak bukan sahaja boleh menjejaskan keupayaan vaksin, malah juga fungsi-fungsi organ yang lain. 




Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall