Virus COVID-19 Bermutasi, Adakah Suntikan Dos Ke-3 Vaksin Diperlukan?

Adakah Dos Ke-3 Vaksin Perlu Untuk Menangani COVID-19? - DoctorOnCall

Mutasi Coronavirus

Tiga varian mutasi coronavirus telah dikenal pasti iaitu varian United Kingdom (UK), Africa Selatan dan Brazil. Perkara ini mencetuskan kebimbangan kepada para ahli kesihatan. Hal ini kerana ketiga-tiga varian itu boleh melakukan kombinasi atau mutasi silang yang membuatkan virus tersebut menjadi semakin berbahaya dengan kemungkinan kematian

 Varian Afrika Selatan dan Brazil dipercayai mempunyai kaitan dengan mutasi yang dikenali sebagai E484K. Berdasarkan laporan Agensi Kesihatan Awam England (PHE), mutasi baharu itu dikesan dalam sampel strain B.1.1.7.

Mutasi yang dilihat terjadi daripada varian ini membolehkan virus menjangkiti sel manusia yang sihat dengan lebih mudah serta menyukarkan sistem imun untuk melawannya. Menurut beberapa orang pakar, varian yang dikesan ini boleh mendatangkan risiko terhadap perlindungan yang ditawarkan oleh vaksin dan mampu menyebabkan jangkitan semula terhadap individu yang pernah dijangkiti.

Adakah Vaksin Sedia Ada Memadai Untuk Melawan Mutasi Coronavirus?

Novavax mengumumkan keberkesanan vaksinnya sebanyak 89 peratus berkesan dalam ujian percubaan fasa tiga, namun, hanya 60 peratus sahaja didapati berkesan dalam kajian berasingan fasa dua di Afrika Selatan.

Manakala vaksin Johnson & Johnson menunjukkan keputusan keberkesanan ujian percubaan fasa tiga yang berbeza mengikut negara dengan 72 peratus di AS berbanding 57 peratus di Afrika Selatan. 

Dalam kesemua ujian percubaan, sebanyak 90 hingga 95 peratus kes di Afrika Selatan dikaitkan varian B1.351 yang mengandungi mutasi E484K. Hasil kajian yang diperolehi daripada kajian makmal menunjukkan antibodi tidak mampu mengubah struktur protein spike.

Contoh yang dapat dilihat adalah menerusi kajian baru yang menemui antibodi daripada individu yang telah divaksin menjadi kurang efektif dalam meneutralkan virus sintetik yang mengandungi mutasi B.1.1.7 dan E484K.

Menurut pakar Dr Fauci dan Paul Offit, data yang ada menunjukkan vaksin Pfizer dan Moderna masih berkesan untuk memberi perlindungan terhadap virus yang telah bermutasi. Namun, persiapan untuk masa depan perlu dijalankan bagi menghadapi segala kemungkinan.

Perlukah Dos Ketiga/Tambahan Bagi Melawan Mutasi Coronavirus?

Menurut Bill Gates, jutawan yang membiayai kajian Astrazeneca, Johnson & Johnson dan Novavax di Afrika Selatan, dos ketiga atau dos tambahan bagi vaksin coronavirus mungkin diperlukan untuk mencegah kes serius varian baru penyakit ini. Kenyataan ini dikeluarkan oleh beliau akibat kebimbangan semakin meningkat bahawa vaksin semasa kurang berkesan terhadap varian Afrika Selatan dan juga varian Brazil. 

Semua syarikat pengeluar vaksin sedang berusaha untuk melakukan pengubahsuaian dan penambahbaikan. Mereka yang sudah mengambil dua dos suntikan mungkin perlu mendapatkan suntikan vaksin yang ketiga.

Hasil kajian mendapati Astrazeneca mempunyai cabaran dengan varian vaksin, manakala Johnson & Johnson kurang berkesan terhadap varian namun masih memadai keberkesanannya. Jika coronavirus ini tidak berjaya dibasmi, suntikan tambahan akan diperlukan di masa akan datang.

Pendapat Pakar Mengenai Isu Ini

1) Dr. Scott Gottlieb, mantan ketua Pentadbiran Makanan dan Dadah percaya vaksin yang sedia ada dapat memberi perlindugnan terhadap varian coronavirus. Namun begitu, beliau mengingatkan suntikan tambahan mungkin akan diperlukan apabila tiba musim luruh.

2) Menurut Dr. Anthony Fauci iaitu Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit, vaksin COVID-19 perlu dinaik taraf untuk mengatasi varian baru coronavirus.

3)Pakar vaksin dari Children's Hospital of Philadelphia, Dr.Paul Offit, yang juga merupakan seorang konsultan FDA berkata kita harus bersiap sedia dengan dos tambahan walaupun masalah varian coronavirus masih mampu ditangani pada waktu ini. 

4) Janet Woodcock, Pemangku Pesuruhjaya FDA memberitahu bahawa kita mesti bersiap sedia untuk semua kemungkinan. Agensi tersebut akan mengeluarkan panduan untuk industri mengenai variannya.

5) Saintis Penyelidikan Epidemiologi, Sekolah Kesihatan Awam Yale, Joseph Fauver berkata, perkembangan baru itu bukan berita baik bagi keberkesanan vaksin. Tambahnya lagi, penemuan baharu itu perlu dipantau di Amerika Syarikat (AS) secara berterusan dengan melakukan kajian lanjut terhadap varian tersebut.

6) Dr. Peter Marks, Pengarah Urusan Vaksin FDA berkata untuk mengubah atau menaik taraf vaksin tidak perlu lagi mengulangi prosedur uji klinikal dengan puluhan ribu orang tetapi cukup sekadar pada ratusan orang bagi melihat keberkesanannya.

7) Richard Webby Pengarah World Health Organization (WHO) Flu Center ada mengatakan untuk memastikan vaksin mampu bertindak optimum terhadap virus bukanlah sesuatu yang mudah. Namun kebanyakkan vaksin COVID-19 dihasilkan dengan teknologi baru yang sangat fleksibel dan memudahkan proses untuk menambah baik vaksin.

Kesan Mutasi Coronavirus Terhadap Program Imunisasi Di Malaysia

Sejak kemunculan varian baru daripada coronavirus, beberapa syarikat farmaseutikal melaporkan keberkesanan vaksin mereka berkurangan terhadap mutasi baharu Afrika Selatan yang dikenali sebagai B1.351.

Namun begitu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa Malaysia berhak mendapat penghantaran baharu daripada syarikat pengeluar Pfizer, sekiranya vaksin itu tidak berkesan terhadap sebarang mutasi COVID-19. Ini telah termaktub didalam isi kandungan dalam perjanjian tentang jaminan bekalan vaksin yang telah ditandatangani oleh kerajaan bersama syarikat pengeluar.

Tambahnya lagi, bekalan vaksin baru bagi memastikan ia berkesan terhadap sebarang mutasi coronavirus juga tidak memperuntukkan bayaran tambahan kepada pengeluar.

Pfizer merupakan antara syarikat pengeluar yang memberi jaminan bahawa vaksinnya berkesan terhadap varian baru yang dilaporkan sedang menular di beberapa buah negara.  Seandainya tidak berkesan, pihak pfizer mengatakan mereka hanya memerlukan enam minggu untuk melakukan perubahan kepada formula vaksin supaya mampu mengatasi jangkitan daripada mutasi baru yang berlaku.

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall