Ketahui Perkembangan Usaha Imunisasi COVID-19 Negara Serantau

Imunisasi COVID-19 Malaysia Dan Negara Serantau - DoctorOnCall

Pengenalan

Susulan jumlah jangkitan COVID-19 di negara-negara Asia Tenggara yang telah melebihi 1.5 juta kes, serta melebihi 36000 kes kematian.

Ini telah mendorong negara-negara ASEAN (Persatuan Bangsa-Bangsa Asia Tenggara) dalam perlumbaan untuk bekalan vaksin yang terhad yang akan mengakhiri pandemik dan mengembalikan kehidupan kita kepada keadaan normal. Singapura telah menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memulakan program vaksinasi COVID-19 rasmi pada Disember 2020. Kemudian, Indonesia menyusul pada Januari 2021. Walaupun Indonesia merupakan negara ASEAN pertama yang menerima vaksin COVID-19, negara tersebut perlu menunggu lebih banyak data sebelum vaksin Sinovac boleh diedarkan kepada warga Indonesia.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Artikel ini akan mengupas lebih lanjut mengenai gerakan imunisasi COVID-19 bagi Malaysia dan negara serantau. 

Apakah Perkembangan Gerakan Imunisasi Di Malaysia Dan Negara Serantau?

Berikut adalah perkembangan gerakan imunisasi COVID-19 bagi negara-negara di Asia Tenggara:

  • Malaysia

Malaysia membelanjakan dalam anggaran 504 juta dollar Amerika Syarikat (AS) bagi pembelian vaksin COVID-19 untuk 26.5 juta individu, atau sekitar 80% penduduk.  Vaksin akan diberikan secara percuma kepada warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas. Malaysia adalah antara negara terawal di rantau Asia Tenggara yang mendapat bekalan vaksin COVID-19 selepas Singapura dan Indonesia. 

Kerajaan negara kita telah merangka perolehan sebanyak 12.8 juta dos vaksin yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal AS, Pfizer serta rakan niaga Jerman, BioNTech dalam suatu perjanjian yang ditandatangani pada Disember 2020. Pfizer dilaporkan akan membekalkan 1 juta dos vaksin kepada Malaysia pada suku pertama tahun 2021, 1.7 juta dos pada yang suku kedua, 5.8 juta pada suku ketiga dan 4.3 juta pada tiga bulan terakhir tahun 2021. Vaksin yang dipersetujui oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) dan pengawal selia Malaysia ini adalah diperuntukkan untuk 6.4 juta rakyat Malaysia. Kerajaan Malaysia masih membuat rundingan bersama pihak Pfizer berkenaan pembelian dos vaksin tambahan untuk diberikan kepada lebih kurang 20% lagi penduduk di negara kita. 

Selain itu, sebanyak 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca juga akan diperolehi menerusi kemudahan COVAX dan 6.4 juta lagi melalui pembelian secara langsung, untuk menampung kira-kira 20% lagi penduduk.

Kerajaan Malaysia turut mengadakan rundingan akhir bersama syarikat farmaseutikal Sinovac (China) untuk 14 juta dos vaksin, CanSino Biologics untuk 3.5 juta dos vaksin dan 6.4 juta dos vaksin Sputnik V (Rusia). Perjanjian itu akan melibatkan syarikat yang dapat menyediakan kapasiti pembuatan vaksin yang lengkap dan mencukupi bagi rakyat Malaysia.

Walaupun pihak kerajaan telah berusaha mendapatkan jumlah vaksin yang cukup bagi semua rakyat Malaysia, tidak dapat dinafikan terdapat golongan yang akan menolak pengambilan vaksin ini sekaligus mengekang usaha untuk membina imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat kita. Ini walaupun kajian-kajian dan artikel-artikel yang berulang kali menyatakan bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat untuk digunakan.


  • Singapura 

Singapura telah memulakan gerakan imunisasi pertama pada akhir bulan Disember 2020. 

Negara tersebut memperuntukkan sebanyak 754 juta dollar AS untuk pembelian vaksin dari beberapa syarikat farmaseutikal seperti  Arcturus Therapeutics Holding, Moderna, Pfizer dan Sinovac. Singapura juga menganggarkan bekalan vaksin COVID-19 terbabit adalah mencukupi bagi menampung sekitar 5.5 juta jumlah penduduk negara itu pada suku ketiga tahun 2021.

Petugas barisan hadapan, warga emas dan individu yang berisiko adalah menjadi keutamaan dalam program imunisasi negara itu. Singapura menyasarkan pemberian imunisasi kepada seluruh populasi individu dewasa, walaupun ianya akan dilakukan secara sukarela. Vaksin adalah percuma untuk semua rakyat Singapura dan juga penduduk yang telah lama menetap di negara itu. 


  • Indonesia

Presiden Joko Widodo merupakan individu pertama yang menerima suntikan vaksin COVID-19 di Indonesia bagi meningkatkan keyakinan rakyatnya terhadap vaksin berkenaan. Penyuntikan perdana vaksin terhadap Presiden Joko Widodo dilaksanakan di Kompleks Istana Kepresidenan Jakarta pada 13 Januari 2021. Suntikan terhadap beliau dengan menggunakan vaksin COVID-19 dari syarikat farmaseutikal China, Sinovac ini sekaligus menandakan permulaan  program imunisasi di negara republik Indonesia.

Setelah itu, Indonesia telah memulakan imunisasi dengan hanya lebih dari 9 juta dos vaksin COVID-19 diberikan kepada pekerja barisan hadapan. Negara “Garuda Pancasila” tersebut menyusun strategi dalam usaha penyediaan imunisasi kepada 181.5 juta orang dan mengutamakan golongan  yang berumur antara 18 hingga 59 tahun. 

Bekalan vaksin COVID-19 negara ini adalah daripada pelbagai syarikat farmaseutikal negara Barat serta China. Sebanyak 125.5 juta dos vaksin dari Sinovac, 50 juta dos dari AstraZeneca dan 50 juta dos lagi dari Novavax dibekalkan kepada Indonesia. Sementara itu, Indonesia juga sedang berusaha mencipta vaksin buatan negara itu sendiri yang dikenali sebagai vaksin Merah Putih, iaitu sebanyak 57.6 juta dos. Negara tersebut turut berhasrat menambah lagi 54 juta dos dari GAVI, 50 juta dos dari Pfizer serta kemudahan penyimpanan sejuk untuk vaksin COVID-19 jenis mRNA. Di samping itu, Indonesia juga mempunyai target untuk menyediakan imunisasi kepada 16 juta rakyat setiap bulan secara percuma. Namun begitu, pengurusan logistik untuk pemberian vaksin COVID-19 ke ribuan pulau di Indonesia menjadi cabaran bagi negara itu. 

  • Filipina

Filipina menyasarkan sekurang-kurangnya sebanyak 50 juta dos vaksin pada tahun 2021 untuk diberikan kepada sekitar seperempat penduduk negara itu, yang sebahagian besar kemungkinan akan tiba pada akhir tahun 2021 atau awal tahun 2022. Keutamaan untuk vaksinasi akan diberikan kepada petugas barisan hadapan perubatan, pekerja di industri yang dianggap kritikal, golongan yang berpendapatan rendah serta individu yang berisiko.

  • Thailand

Thailand berhasrat untuk menyediakan suntikan vaksin untuk kira-kira 50% penduduk negara itu pada tahun 2021. Negara ini mendapat bekalan 26 juta dos vaksin dari program Covax yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 26 juta dos vaksin dari AstraZeneca, manakala 13 juta dos vaksin lagi dari sumber lain dalam memberikan imunisasi kepada lebih daripada 30 juta rakyat Thailand. Tidak mahu hanya bergantung pada imunisasi dari luar negara, negara Gajah Putih ini turut berusaha membangun vaksin COVID-19 ciptaan sendiri.


  • Vietnam

Menurut seorang jurucakap Kementerian Luar Negeri, Vietnam sedang berusaha untuk membangun vaksin COVID-19 serta akan bekerjasama dengan syarikat pembekal apabila vaksin telah tersedia.  

Kesimpulan 

Seluruh dunia termasuk negara-negara di rantau Asia Tenggara sedang berusaha keras dalam penyediaan imunisasi kepada masyarakat bagi membendung penularan wabak COVID-19. Namun begitu, bagi menghapuskan wabak ini, sekurang-kurangnya 70% penduduk harus mendapat imuniti dan untuk mencapai target tersebut memerlukan masa. Buat masa ini, semua orang haruslah mengamalkan norma baru dengan mematuhi penjarakan sosial dan menjaga kebersihan. 

Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dengan mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall