Ketahui Siapakah 11 Pengeluar Vaksin COVID-19 Dari Seluruh Dunia

Siapakah Yang Telah Berjaya Mencipta Vaksin COVID-19? - DoctorOnCall

Sejak beberapa vaksin COVID-19 berjaya dibangunkan, persaingan untuk pemberian vaksinasi COVID-19 telah meningkat dengan cepat. Kecemasan dan tekanan dari orang ramai untuk segera menubuhkan imuniti kumpulan sesegera mungkin telah mendorong peningkatan dalam vaksinasi yang pada akhirnya akan menghentikan COVID-19 dalam haluannya.

    Seperti yang kita sedia maklum, pelbagai syarikat farmaseutikal dengan kepakaran saintis dari seluruh dunia berlumba-lumba mencipta vaksin bagi jangkitan COVID-19 yang melumpuhkan dunia bermula tahun 2019 lagi. Kini, usaha tersebut kebanyakannya telah membuahkan hasil dan kita dapat lihat beberapa jenis vaksin daripada syarikat-syarikat berlainan telahpun menembusi pasaran dunia dan diberikan kepada orang awam. 

Tingkatkan sistem kekebalan tubuh dengan mengambil suplemen yang tepat.

11 Syarikat Pengeluar Vaksin COVID-19

    Berikut merupakan 11 syarikat terkemuka yang telah berjaya menghasilkan vaksin COVID-19 dari seluruh pelosok dunia. Ayuh ketahui sedikit sebanyak latar belakang institusi pembekal vaksin & perbezaan di antara vaksin-vaksin yang telah dihasilkan oleh mereka.

1. Pfizer-BioNTech

    Vaksin pertama ini adalah hasil gabungan dua buah syarikat farmaseutikal yang hebat & terkemuka. Pasti sudah terkenal oleh masyarakat kita malah di seluruh dunia, Pfizer merupakan sebuah firma gergasi yang bertaraf antarabangsa. Ia ditubuhkan semenjak tahun 1849 dan bertapak di bandar New York, Amerika Syarikat. BioNTech pula merupakan syarikat dari German yang ditubuhkan pada 2008 dan mempunyai kepakaran khas dalam bidang pembangunan vaksin (teknologi baru) jenis mRNA. 

    Apabila kepakaran BioNTech ini digandingkan bersama syarikat seperti Pfizer - yang mempunyai pengalaman & kemahiran yang cukup luas dalam bidang perubatan - adalah tidak mustahil mereka mampu mencipta vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan WHO! 

    Menurut laporan semasa, vaksin COVID 19 Pfizer merupakan vaksin coronavirus pertama yang tiba di Malaysia - iaitu pada bulan Februari 2021. Justeru, ia telah digunakan untuk merasmikan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Nama Syarikat

Pfizer & BioNTech

Negara Asal

Amerika Syarikat & Jerman

Status Kelulusan

Diluluskan WHO, Kesatuan Eropah, Arab Saudi, Australia, Malaysia (KKM), dll.

Perkembangan Semasa

- Sebanyak 41,000 ujian fasa ketiga masih dijalankan di beberapa negara asing termasuk di Amerika Syarikat, Argentina & Brazil.

- Tiba di Malaysia pada bulan Februari 2021

Jenis Vaksin

Vaksin mRNA

Sifat Khas

- Mempunyai kadar efikasi tertinggi

- Memerlukan kaedah logistik ‘cold chain’ & disimpan dalam peti sejuk beku -70 darjah celcius

Nama Vaksin

Comirnaty @ BNT16262


2. Moderna 

    Moderna merupakan sebuah syarikat farmaseutikal yang masih muda & kecil jika dibandingkan dengan firma gergasi seperti Pfizer, Johnson&Johnson, dan AstraZeneca. Moderna ditubuhkan pada 2010 dan bertapak di Cambridge, Amerika Syarikat. Ia merupakan institusi yang berfokus khusus pada bidang vaksin. 

    Yang menariknya adalah, Moderna merupakan pelopor terawal dalam bidang penyelidikan vaksin jenis DNA & mRNA. Walau bagaimanapun disebabkan syarikat ini masih kecil dan mempunyai kemampuan fasiliti produksi & pengeluaran yang terhad, mereka hanya mampu memasarkan produk di beberapa buah negara sahaja (setakat ini) dan terpaksa meletakkan harga yang jauh lebih tinggi berbanding vaksin yang lain - untuk menjamin kestabilan syarikat. 

Nama Syarikat

Moderna

Negara Asal

Amerika Syarikat

Status Kelulusan

Diluluskan WHO, Kesatuan Eropah, Greenland, Iceland, Norway, dll

Perkembangan Semasa

Sebanyak 33,000 ujian fasa ketiga masih dijalankan di beberapa negara asing termasuk di Kanada, Singapura & Switzerland

Jenis Vaksin

Vaksin mRNA

Sifat Khas

Memerlukan kaedah logistik ‘cold chain’ & perlu disimpan di peti sejuk beku -20 darjah celsius

Nama Vaksin

Moderna COVID-19 Vaccine @ MRNA 1273


3. AstraZeneca-Oxford

    Merupakan kerjasama antara universiti terkemuka dunia (Universiti Oxford) dan juga salah satu syarikat gergasi (AstraZeneca) yang telah tertubuh sejak 1999. Syarikat Anglo-Sweden yang bertaraf antarabangsa ini telah bekerjasama dengan universiti Oxford dalam menghasilkan vaksin dengan menggunakan teknologi kontemporari, iaitu vaksin adenovirus vector

    Syarikat farmaseutikal & universiti tersohor itu juga telah berikrar untuk tidak mengambil untung terhadap vaksin buatan mereka, justeru menjadikan kos perolehan dan operasi vaksin COVID 19 UK ini dikatakan antara yang paling murah di dalam pasaran ketika ini. 

    Walaupun telah mendapat kelulusan WHO dan Kesatuan Eropah, ia masih memerlukan beberapa penyelarasan & kajian akhir bagi menjamin keberhasilan vaksin berada ditahap yang terbaik. Syarikat ini juga akan bekerjasama dengan Institusi Gamaleya dari Russia sebagai salah satu langkah proaktif demi kepentingan masyarakat dunia.

Nama Syarikat

AstraZeneca & Universiti Oxford

Negara Asal

United Kingdom & Sweden

Status Kelulusan

Diluluskan WHO & Kesatuan Eropah

Perkembangan Semasa

- Sebanyak 64,000 ujian fasa ketiga masih dijalankan di beberapa negara termasuk di US, UK, Chile, Peru, Brazil, Afrika Selatan, dll.

- Sedang bekerjasama dengan Institusi Penyelidikan Gamaleya

- Akan tiba di Malaysia sekitar pertengahan tahun 2021

Jenis Vaksin

Vaksin adenovirus vector

Sifat Khas

- Harga termurah di pasaran

- Boleh disimpan di peti sejuk konvensional.

Nama Vaksin

Covishield @ AZD 1222


4. Sinopharm

    Merupakan syarikat farmaseutikal gergasi dari China yang ditubuhkan pada tahun 2003 dan mempunyai institusi penyelidikan di Beijing dan Wuhan. Ya benar, anda tidak salah dengar. Wuhan. Sebuah daerah di mana ramai mengesyaki telah menjadi lokasi lahirnya virus COVID-19. 

    Walau bagaimanapun, hal ini menyebabkan syarikat Sinopharm mempunyai kelebihan & tanggungjawab yang besar dalam memastikan vaksin yang dicipta mempunyai kualiti yang sangat memberangsangkan! Bukan sahaja untuk komuniti tempatan malah seluruh dunia.

    Selain itu, seperti majoriti syarikat pengeluar vaksin dari negara barat, syarikat-syarikat China juga telahpun mengorak langkah untuk berkolaborasi dengan komuniti antarabanga seperti gagasan COVAX. Iaitu sebuah inisiatif yang dipimpin oleh WHO, GAVI & CEPI bagi memastikan pengagihan vaksin dapat di laksanakan secara adil - khususnya kepada negara dunia ketiga.

Nama Syarikat

Sinopharm @ China National Pharmaceutical Group Croup (CNPGC)

Negara Asal

China

Status Kelulusan

Diluluskan China, UAE & Bahrain

Perkembangan Semasa

- Sebanyak 33,000 ujian fasa ketiga masih dijalankan di beberapa negara termasuk di Kanada, Switzerland, dll.

- Sedang dalam proses kelulusan WHO

Jenis Vaksin

Vaksin inactivated virus

Sifat Khas

- Boleh disimpan di peti sejuk konvensional

- Mampu dihasilkan dalam jumlah banyak dalam satu-satu masa 

Nama Vaksin

BBIBP-CorV


5. Sinovac 

    Sinovac ditubuhkan pada tahun 2001 dan bertempat di Beijing. Ia merupakan salah satu syarikat yang telah berjaya menghasilkan calon vaksin SARS ketika dunia diserang wabak selesema sekitar tahun 2002-2004. Ini merupakan sebuah hikmah memandangkan SARS dan COVID-19 merupakan suatu virus dari induk yang sama. Justeru penciptaan vaksin COVID-19 akan menjadi lebih mudah dan cepat. 

    Sinovac juga merupakan salah satu syarikat farmaseutikal yang sangat terbuka kepada kerjasama antara negara. Hal ini dibuktikan dengan kolaborasi sulung mereka bersama Turki, Indonesia dan Brazil. Menariknya, syarikat tempatan kita juga (Pharmaniaga) bakal berkolaborasi dengan Sinovac setelah mendapat kelulusan dari Lembaga Farmasi Malaysia.

    Dengan kerjasama itu, diharapkan industri tempatan bakal memainkan peranan penting dalam proses akhir pembotolan (fill & finish) vaksin COVID 19 di Malaysia tidak lama lagi.

Nama Syarikat

Sinovac

Negara Asal

China

Status Kelulusan

Diluluskan China, Indonesia, Turkey 

Perkembangan Semasa

- Sebanyak 28,000 ujian fasa ketiga masih dijalankan di beberapa negara termasuk Brazil, Turkey, dll.

- Sedang dalam proses kelulusan WHO & NPRA

- Tiba di Malaysia pada bulan Februari 2021

Jenis Vaksin

Vaksin inactivated virus

Sifat Khas

- Boleh disimpan di peti sejuk konvensional

- Kadar efikasi bervariasi namun sangat memuaskan

Nama Vaksin

CoronaVac

6. CanSino

    Merupakan syarikat ketiga dari China yang berjaya menghasilkan vaksin COVID-19 pada tahun 2020. Ia merupakan syarikat terkecil dan termuda di antara ketiga-tiga perusahaan mewakili negara China. Walau bagaimanapun CanSino Biologics telah membuktikan kemampuan mereka apabila berjaya menghasilkan vaksin tuberkulosis, vaksin pneumokokal dan vaksin virus Ebola mereka sendiri

    Menariknya adalah, syarikat ini bakal menghasilkan vaksin COVID-19 yang dapat diberikan dalam bentuk semburan. Sekiranya berjaya ia sememangnya dapat memberi keselesaan yang lebih terhadap individu yang fobia dengan jarum suntik! Justeru meningkatkan lagi kadar pengambilan vaksin di antara masyarakat.

    Syarikat ini juga bakal bekerjasama dengan salah satu syarikat Malaysia bernama Solution Biologics. Diharapkan dengan terhasilnya kerjasama seperti ini, Malaysia juga dapat meraih kepakaran dan kefahaman teknologi dalam mencipta vaksin covid 19 Malaysia suatu hari kelak.

Nama Syarikat

CanSino Biologics

Negara Asal

China

Status Kelulusan

Diluluskan di negara China sahaja setakat ini

Perkembangan Semasa

Sebanyak 41,000 ujian fasa ketiga masih dijalankan di beberapa negara termasuk di Pakistan, Argentia, Chile, Mexico, Russia, dll.

Jenis Vaksin

Vaksin adenovirus vector

Sifat Khas

- Boleh disimpan di peti sejuk konvensional

- Hanya memerlukan 1x suntikan sahaja

- Sementara mengkaji kaedah vaksinasi yang menggunakan teknik semburan hidung (nasal spray)

Nama Vaksin

Convidicea @ Ad5-nCov


7. Institusi Gamaleya  

    Merupakan salah satu institusi penyelidikan tempatan yang pakar dalam bidang epidemiologi & mikrobiologi. Berlokasi di Moscow, Institusi Gamaleya ini mungkin sedikit berbeza dengan syarikat pengeluar vaksin yang lain, hal ini kerana, mereka berada dibawah penyelenggaran penuh Kementerian Kesihatan Russia. 

    Disamping itu, Gamaleya pula merupakan nama saintis tersohor dari abad ke-20 bernama Nikolay Fyodorovich Gamaleya. Seorang tokoh negara yang pakar dalam bidang mikrobiologi dan penyelidikan vaksin.

    Menariknya tentang Institusi Gamaleya ini, mereka bukan sahaja berjaya menghasilkan vaksin adenovirus vector dengan teknologi hybrid yang baru. Malah mereka juga dalam fasa akhir untuk mencipta vaksin COVID-19 yang tersedia dalam bentuk serbuk. Justeru pencapaian ini, bakal mempermudahkan proses distribusi vaksin ke seluruh dunia!    

Nama Syarikat

Institusi Penyelidikan Gamalaya

Negara Asal

Russia 

Status Kelulusan

Diluluskan Rusia, Belarus, Argentina, Algeria, Bolivia Serbia, Hungary, UAE, dll

Perkembangan Semasa

- Sebanyak 38,500 ujian fasa ketiga masih dijalankan di beberapa negara termasuk di Rusia, India, dll.

- Dalam proses berkolaborasi dengan COVAX

Jenis Vaksin

Vaksin adenovirus vector (hybrid)

Sifat Khas

- Memerlukan kaedah logistik ‘cold chain’ & perlu disimpan di peti sejuk beku -20 darjah celsius

- Merupakan vaksin hybrid dengan kadar efikasi yang memberangsangkan

- Sementara mengkaji kaedah penyediaan vaksin dalam bentuk serbuk (lyophilisate)

Nama Vaksin

Sputnik V @ Gam-Covid-Vac


8. Bharat Biotech

    Merupakan sebuah syarikat bioteknologi dari Hyderabad, India. Ditubuhkan pada 1996 syarikat ini sangat mahir serta berpengalaman jauh dalam bidang penyelidikan, pemprosesan & pengeluaran vaksin. Mereka telah berjaya menghasilkan vaksin COVID-19 India yang pertama dan bakal memasarkan produk tersebut di US tidak lama lagi.

    Jangan terkejut, apa yang lebih menakjubkan adalah negara India sendiri merupakan pengeksport terbesar vaksin ke serata dunia. Sehingga tahun 2021 ia telah menghasilkan 60% vaksin dunia! Antaranya termasuk vaksin HiB, Polio, DPT, Measles, Mumps, Rubella, Hepatitis B dan lain-lain. Fenomena ini tidaklah mustahil memandangkan India mempunyai pusat pengilangan & pembuatan vaksin terbesar di dunia - dibawah pengelolan Serum Institute of India di Pune.

Nama Syarikat

Bharat Biotech 

Negara Asal

India

Status Kelulusan

Tiada maklumat 

Perkembangan Semasa

Sebanyak 26,000 ujian fasa ketiga masih dijalankan di beberapa negara termasuk India

Jenis Vaksin

Vaksin inactivated virus

Sifat Khas

- Boleh disimpan di peti sejuk konvensional

- Kadar efikasi masih belum jelas

Nama Vaksin

Covaxin @ BBV152


9. Janssen Pharmaseutica

    Merupakan anak syarikat kepada salah satu firma gergasi bernama Johnson&Johnson. Semestinya nama tersebut tidak lagi asing dengan masyarakat kita. Johnson&Johnson merupakan salah satu jenama yang sangat sinonim dengan produk kesihatan dan kebersihan bayi di Malaysia. Syarikat ini mempunyai 8 buah pusat penyelidikan dan 9 buah pusat perindustrian produk-produk kesihatan di seluruh benua Eropah.

    Apa yang unik pula tentang vaksin keluaran Janssen dan CanSinoBIO - jika dibandingkan dengan syarikat yang lain - adalah, mereka telah berjaya mencipta sebuah vaksin yang hanya memerlukan satu kali suntikan sahaja! Jika berjaya, satu dos sudah mampu menghasilkan imunisasi penuh terhadap virus COVID-19. Keunikan ini pasti memberi manfaat yang sangat luas terhadap masyarakat dunia & institusi kesihatan.    

Nama Syarikat

Janssen Pharmaseutica

Negara Asal

United Kingdom & Sweden

Status Kelulusan

n/a

Perkembangan Semasa

Sebanyak 90,000 ujian fasa ketiga masih dijalankan (operasi gergasi ‘ENSEMBLE’) di beberapa negara termasuk US, Belgium, Argentina, Brazil, Columbia, dll. 

Jenis Vaksin

Vaksin adenovirus vector

Sifat Khas

- Hanya memerlukan 1x suntikan sahaja

- Boleh disimpan di peti sejuk konvensional

Nama Vaksin

Janssen COVID-19 Vaccine @ Ad26.cov2-s


10 . Novavax

    Ditubuhkan pada tahun 1987 di Maryland, Amerika Syarikat. Ia merupakan antara syarikat yang mempunyai pengalaman dan kepakaran terhadap patogen dari coronavirus family. Novavax merupakan salah sebuah syarikat bioteknologi yang berjaya mencipta calon vaksin virus MERS. Sebuah wabak yang berasal dari haiwan unta yang ditemukan di benua Timur Tengah sekitar tahun 2012.

    Tahukah anda bahawa MERS, SARS & COVID-19 berasal dari virus induk yang sama. Walau bagaimanapun setakat ini masih belum terdapat ubat khusus bagi merawat ketiga-tiga jangkitan tersebut. Maka, imuniti kelompok dan norma baharu tetap menjadi senjata utama kita.

    Menariknya tentang Novavax, ia merupakan salah satu syarikat yang berkerjasama secara langsung dengan organisasi global CEPI dalam menghasilkan vaksin untuk kegunaan masyarakat dunia khususnya bagi negara yang memerlukan.

Nama Syarikat

Novavax

Negara Asal

Amerika Syarikat

Status Kelulusan

n/a

Perkembangan Semasa

Sebanyak 45,000 ujian fasa ketiga masih dijalankan di beberapa negara asing termasuk di US, UK, Mexico, dll.

Jenis Vaksin

Vaksin protein subunit

Sifat Khas

- Boleh disimpan di peti sejuk konvensional

- Kadar efikasi masih belum jelas

Nama Vaksin

Novavax COVID-19 vaccine @ NVX-Cov2373

11. PT Bio Farma

    Syarikat dari Bandung, Indonesia ini ditubuhkan pada tahun 1980. Ia merupakan syarikat pertama di asia tenggara yang akan berkolaborasi dengan syarikat pengeluar vaksin (Sinovac). Kerjasama tersebut semestinya menjadi stimulus terhadap penciptaan vaksin coronavirus Indonesia pertama tidak lama lagi.

    Menurut Menteri Riset dan Teknologi Indonesia, mereka menyasarkan vaksin tempatan itu bakal di produksi secara besar besaran seawal suku keempat tahun 2021. Justeru pelbagai institusi penyelidikan & teknologi sedang berlumba bagi menghasilkan vaksin yang diberi nama Merah Putih. 

    Antara institusi yang bersaing termasuk Lembaga Molekular Eijkman (vaksin protein subunit), Institusi Teknologi Bandung (vaksin adenovirus vector), Universitas Udayana (vaksin mRNA) dan Universitas Indonesia (vaksin DNA). Namun, hanya institusi yang berjaya mengembangkan calon vaksin yang stabil, bakal berkolaborasi dengan syarikat PT Bio Farma - bagi melanjutkan fasa Kajian Klinikal dan proses industri selanjutnya.

Nama Syarikat

PT Bio Farma

Negara Asal

Indonesia

Status Kelulusan

n/a

Perkembangan Semasa

Masih di peringkat kajian pra klinikal

Jenis Vaksin

Vaksin protein subunit / adenovirus vector / mRNA / DNA

Sifat Khas

n/a

Nama Vaksin

Merah Putih


Kesimpulan 

    Akhir kata, usaha syarikat-syarikat terkemuka & institusi tersohor dalam menghasilkan vaksin masing-masing perlu disambut baik oleh seluruh masyarakat dunia. Hal ini kerana persaingan yang sihat bukan sahaja membawa banyak manfaat dari segi penjagaan kualiti dan keterkawalan harga vaksin di pasaran semasa, namun ia juga dapat memastikan kuantiti bekalan dapat memenuhi jumlah permintaan dari seluruh lapisan masyarakat di seluruh dunia. Ini sangatlah penting! Agar setiap negara mempunyai jumlah perolehan vaksin yang mencukupi bagi membina herd immunity di negara masing-masing sesegera mungkin.

Kekal sihat dan dapatkan vaksinasi anda dengan doktor kami!

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall