Benarkah Vaksin Coronavirus (COVID-19) Sudah Berjaya Dihasilkan?

Vaksin Coronavirus (COVID-19) Berjaya Dihasilkan China? - DoctorOnCall


    Pada awal bulan November 2020, dua buah syarikat farmasi di negara barat mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menghasilkan beberapa calon vaksin COVID 19. Syarikat farmasi dari Massachusetts dan New York itu turut menegaskan bahawa ia adalah penemuan calon vaksin pertama yang mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 90% hingga 95%. Selain itu, syarikat dari China dan Institusi penyelidikan Russia juga tidak ketinggalan dalam mengisytiharkan penemuan dan kemajuan mereka dalam membangunkan vaksin coronavirus pertama dunia. Ini semua merupakan sebuah berita yang sangat baik! 

    Memandangkan kes COVID 19 terkini telah mencecah 60juta diperingkat global. Manakala menurut Kementerian Kesihatan Malaysia bilangan kes positif setakat 08 Disember 2020 adalah sebanyak 75,306 kes. Kadar peningkatan kes coronavirus Malaysia bahkan dunia ini, bukan sahaja membimbangkan dari sudut kesihatan, keselamatan dan nyawa, malah ketidakstabilan ekonomi rentetan dari pandemik ini turut memberi impak jangka panjang yang amat menggusarkan.

    Justeru, sekiranya vaksin covid ditemui, ia bukan sahaja dapat mencegah penyebaran jangkitan coronavirus. Malahan, menghindari risiko kematian & kecacatan akibat dari komplikasinya. Tambahan pula, ia juga dapat mengurangkan beban (jangka panjang) kos rawatan jangkitan virus tersebut. Disamping itu, dari sudut sosial dapat mengembalikan kehidupan pra wabak. Seterusnya, berpotensi merancakkan kembali ekonomi tempatan dan global.


Adakah Vaksin Coronavirus Terbaru Ini Selamat?

    Sering menjadi tanda tanya, adakah calon vaksin covid terkini selamat untuk digunakan? Bagi menjawab pertanyaan ini, umum harus mengetahui dua perkara utama. Iaitu kaedah pengembangan dan jenis-jenis vaksin.

    Yang pertama, Pertubuhan Kesihatan Dunia (World Health Organization, WHO) telah menetapkan bahawa setiap syarikat farmasi harus mematuhi kaedah-kaedah asas (terbahagi kepada peringkat pra klinikal dan klinikal) dalam mengembangkan sebuah vaksin. Peringkat pra klinikal merangkumi tempoh kajian makmal yang dilaksanakan oleh para saintis, bagi mengetahui formula pembentukan dan jenis vaksin yang sesuai. Manakala peringkat klinikal pula, merangkumi tiga fasa ujian (fasa 1 hingga 3) untuk mengetahui tingkat keselamatan, kadar keberkesanan dan kesan sampingan vaksin tersebut. Keseluruhan proses ini juga perlu diawasi oleh institusi penyelidikan & perubatan yang bertauliah.

Peringkat pra klinikal
  • Kajian makmal
Peringkat klinikal
  • Ujian Fasa 1
  • Ujian Fasa 2
  • Ujian Fasa 3

    Perkara yang kedua, perlu difahamkan bahawa setiap syarikat mempunyai formula pembentukan vaksin tersendiri. Selain itu, mereka juga mampu mengembangkan jenis vaksin yang berbeza. Jenis-jenis vaksin yang dimaksudkan lazimnya terdiri daripada

  • Life attenuated vaccine (BCG, MMR, dll.)
  • Inactivated vaccine (DTap, IPV, dll.) 
  • Subunit vaccine (Hepatitis B, Hib, dll.)
  • Jenis-jenis lain                                                                         

    Namun dengan bantuan teknologi terkini, beberapa syarikat terkemuka seperti Moderna dan Pfizer/BioNTech, telah berjaya mengembangkan vaksin generasi baru - iaitu mRNA vaccine. Vaksin jenis ini bukan sahaja dijangka lebih berkesan, malah ia jauh lebih selamat! Apa yang lebih menakjubkan ialah calon vaksin ini sedang menjalani ujian klinikal fasa ketiga! Sekiranya berjaya dan mendapat kelulusan dari institusi global  - seperti WHO, Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI) dan Global Alliance for Vaccine & Immunization (GAVI) - dunia bakal menyambut kehadiran vaksin coronavirus pertama menjelang tahun 2021. 


Manusia sebagai tikus makmal?

    Jangan terkejut, proses pengembangan vaksin - di peringkat klinikal - sememangnya akan menggunakan haiwan dan manusia (sukarelawan) sebagai subjek penyelidikan. Hatta, hampir semua inovasi perubatan, perlu menjalani proses tersebut. Ini untuk memastikan produk vaksin adalah selamat dan berkesan sebelum ia diluluskan dan di distribusi ke masyarakat umum. Fakta tersebut sekaligus menyangkal dakwaan orang ramai terhadap spekulasi bahawa rakyat Malaysia akan dijadikan tikus makmal vaksinasi negara China dan lain-lain. 

    Seperti yang anda ketahui, lazimnya individu yang diuji terdiri daripada golongan sukarelawan. Hal ini secara tidak langsung menjadikan mereka seorang wira, kerana bukan sahaja membantu dalam meningkatkan keberkesanan vaksin, malah menjamin tahap keselamatan pengguna pada skala yang lebih luas. Disamping itu, dengan kajian yang teliti dan komprehensif, ia juga dapat mengurangkan risiko kesan sampingan vaksin atau Adverse Event Following Immunization (AEFI) semaksima mungkin.

    Walaupun golongan anti vaksin akan menjadikan risiko AEFI ini - dan andaian lain yang tidak berasas - sebagai alasan untuk menolak vaksinasi. Lebih-lebih lagi apabila mereka berjaya mengeksploitasi prinsip kebebasan bersuara dan hak memilih. Kita sebagai masyarakat umum perlu tahu bahawa risiko AEFI adalah jauh lebih kecil berbanding manfaat vaksin yang sangat luas. Selain itu, masyarakat harus tetap yakin dan percaya bahawa vaksinasi dan konsep imuniti kelompok (baca: herd immunity) adalah jalan yang terbaik bagi menjamin perlindungan dari wabak COVID-19 ini. Adakah anda tahu tentang fakta dan mitos vaksin?

    Komuniti kesihatan di seluruh dunia juga telah - dan sentiasa akan - melakukan yang terbaik, demi mengutamakan keselamatan dan kesihatan masyarakat awam. Khususnya dalam hal ini, ia dibuktikan dengan: 

  • Kaedah pengembangan vaksin yang sangat sistematik 
  • Proses kelulusan vaksin yang sangat tegas dan berperingkat
  • Proses pembuatan vaksin yang di observasi oleh institusi yang bertauliah

Adakah semua mampu memiliki atau membelinya?

    Sudah terang lagi bersuluh, permintaan vaksin coronavirus yang begitu tinggi telah mencetus perlumbaan dan persaingan sengit antara syarikat-syarikat farmasi & institusi penyelidikan. Persaingan ini berlaku di arena tempatan & global, khususnya di antara negara gergasi seperti Amerika Syarikat, Eropah, China dan Rusia. Mereka bukan sahaja berlumba demi kepentingan masyarakat global, malah kepentingan geopolitik dan ekonomi tempatan.

    Umumnya seluruh proses untuk mengembangkan vaksin baru, memerlukan jumlah dana dan tenaga kerja yang sangat besar. Wabak yang berpunca dari virus novel ini juga membuatkan proses pengembangan vaksin COVID-19 menjadi lebih rumit, mahal dan memakan waktu. Namun kebolehan syarikat dan institusi luar negara menghasilkan calon vaksin dalam tempoh kurang dari satu tahun ini, telah membuktikan komitmen dan kemampuan mereka untuk menyediakan vaksin pertama dunia. 

    Setimpal dengan usaha tersebut, kerajaan Malaysia sedang berusaha bagi mendapatkan vaksin COVID 19 Malaysia seawal tahun 2021 dari beberapa buah negara dan pakatan global. Pada bulan November lalu Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) telah menandatangani perjanjian COVAX yang bernilai RM94 juta (COVAX downpayment) sebagai langkah pertama dalam merealisasikan usaha tersebut.

    COVAX merupakan sebuah inisiatif antara bangsa - yang dipimpin oleh WHO, CEPI dan GAVI - bagi memastikan perolehan awal (sebahagian besar dari jumlah keseluruhan) bekalan vaksin yang diperlukan. Selain itu, kerajaan Malaysia juga sedang berkoordinasi dengan negara lain secara langsung (seperti China) agar negara mempunyai jumlah vaksin yang secukupnya dalam merealisasikan rancangan imunisasi kebangsaan. 

    Persoalan mengenai harga dan akses vaksin - buat seluruh lapisan masyarakat - di farmasi, klinik swasta mahupun fasiliti awam, masih belum diperjelaskan oleh pihak kementerian. Menurut beberapa sumber, harga pasaran vaksin coronavirus ini boleh mencecah sekitar RM80 hingga RM200 untuk setiap dos. Namun, perolehan vaksin yang diusahakan oleh kerajaan saat ini, akan diagihkan mengikut keutamaan dan kepentingan secara keseluruhan.


Siapa yang akan diutamakan?

    Menurut berita dan COVID-19 update Malaysia - rentetan dari strategi pembasmian jangkitan virus kebangsaan - keutamaan vaksin corona Malaysia ini akan diberikan kepada golongan petugas barisan hadapan atau frontliners. Golongan ini termasuk kakitangan kerajaan dari sektor kesihatan & keselamatan seperti doktor, jururawat, tentera, polis, petugas penjara dan imigresen. 

    Disamping itu, oleh kerana penyelidikan vaksin yang telah dijalankan hanya mengambil individu dewasa sebagai subjek ujian, data mengenai keselamatan dan keberhasilan vaksin pada golongan kanak-kanak masih belum jelas. Maka, golongan yang berumur 12 tahun ke bawah itu tidak akan mengambil bahagian pada fasa pertama gerakan imunisasi kebangsaan. 

    Manakala, dari sudut global, negara seperti China dan organisasi WHO telah berikrar untuk memastikan bahawa:

  • Imunisasi COVID-19 dikategorikan sebagai hak asasi manusia peringkat global
  • Negara dunia ketiga yang tidak mempunyai sumber dana yang cukup tidak terkecuali dalam proses perolehan vaksin 

    Namun perolehan vaksin yang awal, tetap diberi keutamaan pada negara yang telah menunjukkan komitmen seperti pembayaran pendahuluan dan jaminan perkongsian risiko  terhadap inisiatif seperti COVAX. Selain itu, mereka juga berharap agar negara yang lebih berkemampuan turut menyertai dan menyokong inisiatif tersebut.


Bagaimana dunia beradaptasi jika vaksin gagal?

    Masyarakat harus sedar bahawa, walaupun fasa klinikal telah memberikan hasil yang sangat positif, kegagalan imunisasi coronavirus ini masih boleh berlaku. Hal ini kerana, terdapat pelbagai faktor yang memainkan peranan. Antaranya adalah:

  • Kadar kepadanan vaksin terhadap fisiologi tubuh dan genetik masyarakat Malaysia 
  • Kepatuhan masyarakat dalam memberi kerjasama kepada gerakan vaksinasi kebangsaan
  • Kemampuan vaksin dalam memberikan imunisasi jangka panjang
  • Keberhasilan vaksin tersebut pada skala populasi yang luas

    Namun peningkatan kadar kes harian coronavirus Indonesia dan negara jiran yang lain, telah memberi impak yang sangat signifikan kepada ekonomi serantau. Malah kemunculan semula kes harian coronavirus China - yang kembali meningkat secara mendadak - membuatkan ramai tertanya, sejauh manakah pandemik ini dapat di kawal. Dalam pada waktu yang sama, keadaan seperti ini pula secara tidak langsung membuatkan masyarakat mulai menerima situasi wabak seadanya dan mula beradaptasi dengan norma baharu sepenuhnya. 

    Sekiranya vaksin coronavirus pertama ini gagal, masyarakat tetap perlu berusaha mengekang wabak ini menggunakan langkah-langkah konvensional seperti sering cuci tangan, amalkan penjarakan fizikal / sosial, menangguhkan aktiviti keramaian, serta mendisiplinkan diri untuk stay-at-home kecuali terdapat urusan yang mustahak. Selain itu, pihak berkuasa pula perlu memainkan peranan dengan meningkatkan kadar saringan COVID-19 dan contact tracing. Pihak berkuasa juga perlu memastikan kempen pencegahan dan kawalan penyebaran virus kekal berterusan. 


Konklusi

    Sebagai kesimpulan vaksin coronavirus merupakan suatu inovasi yang selamat dan sangat penting dalam mengawal krisis COVID-19. Bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada merawat - vaksin bukan sahaja dapat mencegah penyebaran wabak, namun ia juga dapat menurunkan risiko kecacatan dan kematian akibat komplikasi jangkitan COVID-19. Selain itu, vaksin coronavirus juga turut memainkan peranan yang signifikan terhadap ekonomi & sosial masyarakat tempatan dan global. Namun, walau apa jua yang berlaku, kita harus tetap mematuhi SOP dan menyokong usaha-usaha murni kerajaan demi kebaikan bersama. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui lebih lanjut mengenai vaksin.


Ragu-ragu tentang vaksin? Konsult Doktor Kami Secara PERCUMA!

 

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall