Adakah Vaksin Berkesan Mencegah Jangkitan Japanese Encephalitis?

Japanese Encephalitis (JE) | Kenali Vaksin JE - DoctorOnCall

Apa itu Japanese Encephalitis? Penyakit Japanese Encephalitis (JE) merupakan penyakit jangkitan otak yang disebabkan oleh virus Japanese Encephalitis. Virus yang menyebabkan penularan JE berasal dari kumpulan Flavivirus dan JE merupakan penyakit zoonotik, bermakna penyakit ini dapat disebarkan kepada manusia daripada haiwan. Pembawa virus ini adalah nyamuk Culex. Virus ini akan menjangkiti nyamuk Culex terlebih dahulu dan kemudiannya menjangkiti khinzir, burung dan haiwan lain sebelum menjangkiti kepada manusia terutamanya golongan yang bekerja di ladang, sawah dan kawasan kampung atau pedalaman. Tempoh pengeraman virus JE sebelum pesakit yang dijangkiti menunjukkan tanda dan gejala adalah antara 5 ke 15 hari. Setakat ini, tiada bukti kukuh yang menunjukkan virus ini berjangkit dalam kalangan manusia.

Vaksin Japanese Encephalitis

Vaksin JE merupakan vaksin jenis live-attenuated  iaitu virus hidup yang telah dilemahkan disuntik ke dalam badan untuk merangsang sistem imun badan untuk menghasilkan antibodi bagi melawan virus JE dan merendahkan risiko untuk mendapat komplikasi disebabkan oleh JE apabila terdedah kepada virus ini pada masa hadapan. 

Terdapat beberapa syarikat yang bertanggungjawab untuk menghasilkan vaksin Japanese Encephalitis dan setiap syarikat menggunakan jenama berlainan seperti IXIARO dan IMOJEV. Di Malaysia, vaksin JE yang diimport dan digunakan adalah vaksin IMOJEV.

Di negara kita, hanya bayi yang dilahirkan di Sarawak diberikan suntikan vaksin JE. Vaksin JE di Sarawak diberikan dalam 2 dos, iaitu pada umur 9 dan 21 bulan berdasarkan Jadual Imunisasi Kebangsaan

Kepentingan Vaksin Japanese Encephalitis

Suntikan vaksin JE diberikan kepada penduduk di kawasan endemik ketika bayi dan bagi mereka yang melancong ke kawasan endemik tersebut. Hal ini kerana masih belum terdapat rawatan yang khas untuk JE dan wabak ini boleh merebak sepanjang tahun terutama di Malaysia yang di kawasan tropika dan beriklim khatulistiwa. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat 50,000 hingga 60,000 kes Japanese Encephalitis dilaporkan pada setiap tahun dan terdapat 13,000 ke 20,000 kes kematian dilaporkan. JE bukan sahaja boleh menyebabkan komplikasi seperti kecacatan kekal kepada otak dan anggota badan malah dapat menyebabkan kematian disebabkan oleh radang otak dan beberapa komplikasi lain jika gagal dibendung.  Oleh sebab itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memasukkan vaksin JE di dalam jadual imunisasi kebangsaan khusus buat mereka yang tinggal di Sarawak. Bolehkah anda membezakan antara fakta dan mitos vaksin?

Tanda dan gejala Japanese Encephalitis

Kebanyakan individu yang dijangkiti oleh virus JE tidak menunjukkan sebarang gejala atau hanya mengalami gejala ringan. Namun begitu, sesetengah individu boleh mengalami jangkitan yang lebih serius sehingga menyebabkan keradangan pada lapisan selaput otak yang boleh membawa maut. Berikut merupakan tanda-tanda dan gejala yang boleh berlaku pada individu yang dijangkiti oleh virus JE:

  • Demam dengan suhu yang tinggi

  • Kesejukan dan menggigil

  • Sakit kepala

  • Leher atau tengkuk yang kejang

  • Loya dan muntah

  • Sakit perut

  • Gangguan mental seperti fikiran bercelaru dan perubahan tingkah laku

  • Sakit-sakit sendi dan otot

  • Lesu dan lemah badan

  • Penurunan berat badan

Komplikasi Penyakit JE

Jangkitan JE boleh menyebabkan beberapa komplikasi seperti:

  • Sawan

  • Perubahan personaliti

  • Lumpuh atau lemah pada anggota badan tertentu

  • Masalah pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak

  • Jangkitan bakteria (pneumonia dan jangkitan salur kencing); berkait dengan rawatan sokongan 

Rawatan JE

Buat masa ini, tiada rawatan khusus untuk penyakit Japanese Encephalitis. Semua pesakit yang dijangkiti virus JE akan mendapat rawatan sokongan untuk melegakan demam, sakit dan sengal otot, masalah neurologikal dan mengelakkan dehidrasi

Menurut United Kingdom National Health Service (NHS), 1 daripada 3 orang yang menghidap JE mati disebabkan komplikasi yang serius. Bagi pesakit yang sembuh, kadar penyembuhan boleh mengambil masa berbulan-bulan. Hampir separuh daripada pesakit yang sembuh dari JE mendapat kecacatan kekal akibat kerosakan sistem saraf tunjang dan otak. Oleh sebab itulah vaksin ini dimasukkan ke dalam jadual imunisasi kebangsaan bagi kawasan berisiko tinggi seperti di Sarawak. Jika tidak, tentu ramai kanak-kanak yang mengalami kecacatan atau meninggal dunia akibat jangkitan virus ini.

Golongan yang Perlu Mengambil Vaksin JE

Selain Malaysia, JE adalah endemik di kebanyakan negara Asia seperti India, Sri Lanka, China, Korea, Jepun, Thailand, Kemboja, Filipina dan Indonesia. Setiap negara mempunyai Garis Panduan Japanese Encephalitis mereka yang tersendiri untuk memberikan imunisasi atau kaedah pencegahan lain bagi menangani jangkitan ini dalam kalangan penduduk di negara mereka.

Golongan yang perlu mengambil suntikan imunisasi Japanese Encephalitis ialah:

  • Penduduk di kawasan endemik wabak JE

  • Pelancong yang pergi ke kawasan endemik ataupun kawasan penularan wabak JE dan meluangkan masa lebih daripada satu bulan di kawasan atau negara tersebut

  • Pekerja makmal yang terdedah kepada virus JE

Sudah tentu anda tertanya-tanya tentang berapakah harga vaksin Japanese Encephalitis. Sebagai rakyat Malaysia, kita sangat beruntung kerana vaksin JE diberikan secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada bayi yang memerlukan suntikan tersebut. 

Golongan yang perlu diberi perhatian berkenaan imunisasi JE:

  • Bayi atau individu yang mempunyai reaksi alahan yang mengancam nyawa selepas mengambil vaksin JE tak perlu mengambil dos kedua

  • Bayi atau individu yang mempunyai alahan yang boleh mengancam nyawa terhadap bahan-bahan yang terkandung dalam vaksin JE tidak perlu mengambil vaksin tersebut

  • Ibu mengandung. Tiada kajian berkenaan kesan vaksinasi JE kepada ibu mengandung telah dilakukan. Sebaiknya suntikan vaksin perlu ditangguh terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, ibu mengandung yang perlu pergi ke kawasan endemik JE di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan perlu diberikan suntikan vaksin JE setelah mengambil kira kebaikan dan keburukan yang mungkin berlaku serta berbincang dengan ibu berkenaan. 

Jika anda atau anak anda pernah mengalami sebarang masalah berkenaan vaksin, pastikan anda memberitahu doktor anda tentang sejarah alahan dan masalah yang pernah dihadapi sebelum mengambil suntikan.

 

Kesan sampingan vaksin JE:

Berikut adalah beberapa kesan sampingan suntikan vaksin JE:

  • Demam

  • Lemah dan lesu badan

  • Kesejukan dan menggigil

  • Ruam, gatal dan bengkak di tempat suntikan

  • Pening kepala

  • Sakit kepala

  • Sakit sendi dan otot

  • Selsema

  • Batuk

  • Sesak nafas

  • Sakit perut

  • Loya dan muntah

  • Cirit-birit

Kebiasaannya, kesan sampingan suntikan vaksin JE adalah ringan dan akan sembuh dalam masa yang singkat. Sila rujuk ke klinik atau hospital berdekatan sekiranya berlaku gejala yang lebih serius selepas suntikan. 

Pencegahan JE

Langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh setiap orang dalam mencegah penyakit Japanese Encephalitis daripada menular. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mencegah dan menjauhkan diri anda, keluarga dan komuniti daripada wabak JE:

  • Mendapatkan suntikan vaksin Japanese Encephalitis sekiranya anda akan menetap di kawasan endemik JE lebih daripada satu bulan.

  • Jika tidur dengan tingkap terbuka, digalakkan untuk memasang jaring atau tidur di dalam kelambu.

  • Menggunakan semburan pembasmi nyamuk dan serangga

  • Musnahkan tapak pembiakan nyamuk serta menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal


Ragu-ragu tentang vaksin? Konsult Doktor Kami Secara PERCUMA!




Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall