Kenali AEFI - Selamatkah Suntikan Vaksin Yang Diterima Bayi Anda?

Februari 8, 2021 | Ditulis oleh: Lingheswaran Muniandy

Kenali AEFI - Selamatkah Suntikan Vaksin Yang Diterima Bayi Anda?

Apakah itu AEFI?

Jikalau di perhatikan, isu suntikan vaksin dan AEFI sedang hangat di perkatakan dan menjadi buah mulut golongan pro-vaksin dan anti-vaksin. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai suntikan vaksin dan AEFI, teruskan membaca!                  

Mengikut garis panduan farmakovigilans vaksin di Malaysia (GPFK), AEFI(Adverse Events Following Immunization), ataupun Kesan Sampingan berikutan pelalian adalah sebarang kesan selepas menerima suntikan vaksin dan ia tidak semestinya memiliki hubungkait rapat dengan pengambilan vaksin, malah ia boleh dikelaskan kepada beberapa punca seperti;

1. Kesan Suntikan

Kejadian AEFI yang berlaku disebabkan oleh rasa takut akan atau sakit selepas suntikan dan bukannya daripada suntikan vaksin itu sendiri.

2. Secara Kebetulan

Contohnya, pada masa suntikan vaksin, bayi itu secara kebetulan menghidap batuk, selesema atau demam ringan dan bukannya disebabkan oleh suntikan vaksin.

3. Kesilapan Pengendalian

Setiap imunisasi yang diberikan adalah di kendalikan, disimpan dan diberi dengan cara yang teratur dan baik tetapi kesilapan dalam program penyediaan atau pengendaliaan boleh menyebabkan kejadian AEFI namun peratus kejadian ini adalah sangat rendah sehingga tidak boleh dinilai risikonya.

4. Kesan Sampingan Vaksin

Seperti ubat-ubatan yang lain, vaksin juga mempunyai kesan sampingan. Walaubagaimanapun, peratusan kejadian AEFI serius akibat vaksin adalah sangat minima.

Kesemua AEFI serius yang dilaporkan telah disiasat . Berdasarkan siasatan yang dibuat, kes-kes berikut adalah disebabkan oleh;

  • AEFI yang tidak disebabkan secara langsung oleh vaksin berkenaan
  • Pesakit tersebut mengidap sakit lain yang boleh menyebabkan AEFI 
  • AEFI yang sangat jarang berlaku

      Sumber:National Pharmaceutical Regulatory Agency| MADRAC Newsletter August 2016

5. Tidak Diketahui

Sebab kejadian AEFI tidak dapat dikenal pasti.

Tingkatkan imuniti si manja anda dan biarkan dia mengembara.


Bagaimanakah AEFI Dinilai?

Majoriti AEFI yang dilaporkan adalah kejadian yang ringan, minor dan sembuh dalam hanya beberapa hari. Kejadian AEFI boleh dikelaskan kepada dua kelas, iaitu kesan AEFI biasa, minor atau kesan AEFI serius. 97% daripada kesan AEFI yang dilaporkan adalah daripada kelas biasa atau minor dan kelas kedua adalah sangat minima sehingga tidak boleh dikira risikonya.

  • Kesan AEFI biasa, minor

1. Reaksi Setempat - Bayi yang terkena reaksi setempat akan mengalami tanda aefi ringan seperti sakit, bengkak dan kemerahan.

2. Reaksi Sistemik -  Bayi yang terkena reaksi sistemik akan mengalami simptom seperti demam, lemah dan hilang selera makan dan minum.

  • Kesan AEFI serius

1. Kesan AEFI serius pula berlaku mengikut jenis vaksin yang disuntik dan simptom aefi ini juga boleh dikesan selepas sesuatu jangka masa setelah suntikan vaksin berkenaan. Contoh kesan AEFI serius adalah seperti sawan demam dan reaksi alergi serta anafilaksis.


Adakah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Hirau Tentang AEFI?

Bahagian Regulatori Farmasi Negara atau lebih dikenali sebagai National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) berfungsi untuk sentiasa memantau keselamatan vaksin melalui pelaporan AEFI yang boleh dibuat oleh orang awam melalui 2 cara;

1. Pemakluman terhadap AEFI perlu dibuat segera kepada anggota kesihatan di fasiliti kesihatan anda.

2. Pelaporan AEFI juga boleh dibuat secara atas talian di laman sesawang rasmi Bahagian RegulatorI Farmasi Negara (NPRA), namun anda digalakkan untuk berbincang dengan anggota kesihatan yang terlibat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang laporan AEFI.

Maklumat yang sebanyak mungkin perlu disalurkan untuk memastikan laporan yang dibuat adalah lengkap dan sahih. Nombor telefon atau emel yang betul dan lengkap juga perlukan disertakan bersama-sama untuk membantu pihak NPRA menerima maklumat lanjut daripada anda. Segala maklumat serta informasi peribadi yang dilaporkan adalah rahsia dan tidak akan diberikan kepada sesiapa tanpa kebenaran daripada pihak pelapor.

Adakah Vaksin Berbahaya?

Kebarangkalian AEFI

  • Walaupun beberapa kes AEFI yang telah dilaporkan, peratus kes AEFI yang dilaporkan setiap tahun adalah sangat rendah dan tidak melebihi 1 % daripada jumlah dos yang diberikan bagi tahun berikut. 
  • Pada tahun 2015, menurut artikel yang diterbit keluar oleh NPRA, hanya 214 kes (10 dos vaksin wajib) daripada 6,945,644 dos yang disuntik pada tahun berikut dilaporkan sebagai kes AEFI. Jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 0.0031% ( kurang daripada 1%).
  • Bukan itu sahaja, majoriti kes yang dilaporkan adalah hanya kes AEFI biasa atau minor yang boleh dirawat dengan mudah melalui carta alir spesifik yang telah ditetapkan oleh KKM kepada semua anggota kesihatan yang menerima sebarang laporan Kesan AEFI. 


Kebarangkalian Penyakit Berjangkit (Vaccine- preventable disease)

  • Pada tahun 2016, sehingga pertengahan tahun 2016 (Jun 2016), sebanyak 66 wabak demam campak telah dilaporkan. Angka ini adalah 5 kali ganda lebih berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya (2015). 
  • Negara kita juga digemparkan dengan berita wabak difteria dalam kalangan 3 beradik di Melaka serta 8 kes yang disyaki di Kedah. Satu kes yang disahkan difteria di Melaka telah dilaporkan meninggal dunia pada 18 Jun 2016 dan satu kes difteria yang disyaki di Kedah meninggal dunia pada pagi 22 Jun 2016. 
  • Setelah disiasat dengan lebih lanjut, didapati tahu bahawa kedua-dua kes tersebut tidak menerima imunisasi yang lengkap seperti yang ditetapkan oleh KKM dalam jadual pelalian bayi.
  • Maka, peratusan penyakit berjangkit adalah jauh lebih tinggi berbanding AEFI. Suntikan vaksin adalah selamat dan amat diperlukan untuk semua bayi.

Kekal sihat dan dapatkan vaksinasi anda dengan doktor kami!


5 Mitos Mengenai Vaksin Yang Anda Tidak Patut Percaya!

#Vaksin adalah penyebab autisme- SALAH

Pada tahun 1998, beberapa doktor British telah menerbitkan artikel yang berjudul vaksin dan hubungannya dengan autisme, namun artikel itu telah dibuktikan tidak cukup lengkap dan palsu. Beberapa kajian lain yang sahih telah dapat membuktikan bahawa tiada kaitan antara vaksin dan autisme.

#Vaksin menyebabkan maut- SALAH

Seperti ubat-ubatan yang lain, vaksin juga ada kesan sampingannya, namun kebanyakan tindak balas ini adalah biasa dan ringan serta boleh dirawat dengan mudah. Yang lebih parahnya adalah penularan “vaccine-preventable disease” yang kian hari semakin meningkat akibat kecuaian mengambil vaksin.

#Suntikan lebih daripada satu vaksin pada satu masa boleh meningkatkan risiko AEFI- SALAH

Kajian saintifik menunjukkan bahawa pemberian lebih daripada satu vaksin pada masa yang sama tiada kesan buruk ke atas sistem imunisasi, malah ia boleh mengurangkan kadar suntikan, lawatan ke klinik dan menjimatkan masa.

#Vaksin mengandungi merkuri yang berbahaya - SALAH                 

Menurut (CDC), tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa jumlah thiomersal (organomercury) digunakan dalam vaksin menimbulkan risiko masalah kesihatan. 

#Makanan berkhasiat cukup untuk imunisasi bayi- SALAH

Makanan yang berkhasiat sudah semestinya meningkatkan tahap ketahanan imunisasi dalam badan kita, namun, makanan yang diberikan kepada bayi tidak mencukupi untuk menghasilkan sistem imunisasi yang baik untuk melawan jangkitan tertentu sepertimana vaksin berfungsi.


Kesimpulan

Seperti ubat-ubatan yang lain, vaksin juga mempunyai hakikatnya yang sendiri iaitu kejadian AEFI, namun kebarangkalian kejadian ini berlaku adalah sangat rendah dan tidak boleh dihubung kaitkan dengan suntikan vaksin setiap masa. 

Malah, kes-kes yang semakin meningkat akibat kecuaian para ibu bapa dalam tidak mengikut jadual imunisasi yang sepatutnya adalah lebih membimbangkan dan perlu dijadikan satu titik tolak untuk segenap lapisan masyarakat untuk mengorak langkah yang pragmatik dalam memastikan setiap bayi menerima pelalian seperti yang ditetapkan.

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall

Dapatkan Konsultasi Doktor PERCUMA*