Ini Sebenarnya Alasan Golongan Anti Vaksin. Tidak Masuk Akal!

Golongan Anti Vaksin Menolak Imunisasi, Punca Penyakit - DoctorOnCall

​​Ancaman Anti Vaksin

Gerakan anti vaksin bukan lah perkara yang baru. Sejak 1800,  sebahagian manusia telah menolak vaksinasi untuk penyakit cacar air yang diambil dari lepuhan kulit pesakit cacar. Antara sebab-sebab mereka menolak vaksin tersebut adalah kerana mempertikaikan kebersihan, keselamatan dan melanggar hukum agama. Malah pada sekitar tahun 1970an, vaksin untuk difteria, tetanus dan pertusis ditolak oleh sebahagian masyarakat kerana dilaporkan menyebabkan penyakit neurologi.

Di Malaysia, penyakit seperti batuk kokol, difteria dan tetanus telah lenyap sejak tahun 2000. Namun disebabkan gerakan anti vaksin, penyakit-penyakit ini muncul kembali dan membawa ancaman bukan sahaja kepada kanak-kanak di negara kita malah golongan dewasa yang berisiko.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organization (WHO) telah menyatakan bahawa anti vaksin membawa ancaman pada dunia kerana keputusan ahli-ahli anti vaksin ini bukan dipegang oleh diri sendiri sahaja tetapi juga disebarkan kepada masyarakat dan orang di sekeliling mereka. Disebabkan kewujudan golongan anti vaksin, imuniti kelompok yang telah terbina, mula terjejas. Lalu penyakit-penyakit yang telah bertahun-tahun berjaya dicegah, muncul kembali.

Gerakan anti vaksin ini sangat berbahaya dan anda boleh lihat sendiri apa yang terjadi di negara Filipina di mana terdapat peningkatan kes demam campak sebanyak 700% iaitu sebanyak 5120 kes. Apabila dikenal pasti penyebab peningkatan kes yang mendadak ini, kebanyakkannya adalah kerana ramai kanak-kanak tidak menerima vaksin. Jika kita memberikan peluang untuk kumpulan anti vaksin untuk terus mempengaruhi masyarakat dan berleluasa, negara kita akan kembali diserang dengan pelbagai penyakit yang bahaya dan boleh meragut nyawa.


Apakah Vaksin?


    Untuk pengetahuan anda, vaksin mengandungi kuman sama yang menyebabkan penyakit. (Contohnya, vaksin campak mengandung virus campak, dan vaksin Hib mengandung bakteria Hib.) Tetapi ia telah dibunuh atau dilemahkan sehingga tidak membuat anda sakit. Beberapa vaksin hanya mengandungi sebahagian daripada kuman penyakit seperti protein yang ditemui di permukaan sel kuman tersebut. Vaksin biasanya diberi dalam bentuk suntikan. Namun ada juga vaksin yang diberikan secara oral.

Vaksin mengurangkan risiko terkena penyakit berjangkit dengan bekerjasama dengan pertahanan semula jadi tubuh anda untuk membina perlindungan. Vaksin merangsang sistem imun anda untuk menghasilkan antibodi, sama seperti jika anda terdedah kepada penyakit ini..

Setelah mendapat vaksin, anda mengalami imuniti terhadap penyakit itu, tanpa perlu mendapat penyakit terlebih dahulu. Sekiranya anda terkena penyakit berkaitan, kebarangkalian untuk mendapat komplikasi penyakit adalah sangat rendah.

Kini, kita telah mempunyai vaksin untuk mencegah lebih daripada 20 penyakit yang mengancam nyawa. Imunisasi pada masa ini telah mencegah 2-3 juta kematian setiap tahun akibat penyakit seperti difteria, tetanus, pertusis, influenza dan campak.

Golongan Anti Vaksin Dan Alasan Mereka


    Maksud anti vaksin ialah sekumpulan individu yang mempunyai idealogi di mana vaksin sebenarnya bahaya. Mereka lebih percaya bahawa vaksin membawa penyakit dan tidak selamat untuk kanak-kanak. Antara faktor anti vaksin ialah tidak percaya kepada para doktor, teknologi dan sains.

Untuk pengetahuan anda, keputusan untuk menangguhkan atau menolak vaksin mempengaruhi kesihatan awam. Apabila pecahan daripada keseluruhan populasi yang kebal terhadap penyakit (imuniti kelompok) menurun, kelaziman penyakit bertambah lalu meningkatkan kemungkinan penyakit pada mereka yang berisiko seperti: 

  • Mereka sebelumnya diberi vaksin, tetapi vaksin tidak membina imuniti. Terdapat 2 hingga 5% penerima tidak bertindak balas terhadap dos pertama vaksin campak. 
  • Imuniti boleh berkurang dari masa ke masa (contohnya, pada orang tua). 
  • Mereka (iaitu, beberapa pesakit yang mengalami masalah imun) tidak dapat menerima vaksin virus hidup (misalnya, campak-beguk-rubella, varicella) dan bergantung pada imuniti kelompok untuk perlindungan terhadap penyakit tersebut.

Ibu bapa teragak-agak untuk melakukan vaksinasi anak-anak mereka kerana banyak sebab-sebab yang diwar-warkan oleh kumpulan anti vaksin. Antara alasan dan punca anti vaksin menolak suntikan imunisasi ialah:

1.     Vaksin boleh menyebabkan autism jika kanak-kanak menerima terlalu banyak vaksin. Kandungan aluminium dalam vaksin dipercayai dapat menyebabkan autism. Namun, kandungan aluminiumnya sangat rendah. Bahkan, bayi yang menyusu susu ibu selama 6 bulan mengandungi lebih banyak aluminium daripada yang terkandung dalam vaksin. Ia juga lebih rendah daripada makanan atau ubat-ubatan yang diambil dalam kehidupan seharian. 

 2.     Selain itu, ada juga yang percaya bahawa sekiranya anak orang lain menerima suntikan vaksin, maka anak mereka tidak memerlukannya. Kefahaman ini salah kerana anak mereka masih boleh mendapatkan jangkitan ini dan besar kemungkinan boleh mendapat komplikasi buruk seperti kematian. Semakin ramai yang berpegang pada mentaliti ini, semakin lemahlah imuniti kelompok.

 3.     Terdapat juga kerisauan bahawa vaksin membawa banyak kesan sampingan yang serius. Kenyataan sebenarnya, kesan sampingan yang serius memang jarang berlaku. Reaksi setelah menerima vaksin yang lebih kerap berlaku ialah sakit pada bahagian suntikan atau demam. Terdapat kes yang menunjukkan gangguan usus selepas penerimaan vaksin rotavirus. Namun, seperti yang telah dijelaskan, perkara ini jarang sekali berlaku. 

 4.    Ada juga segelintir orang yang bimbang kandungan vaksin merbahaya. Hakikatnya ialah, vaksin tidak menggunakan sebarang bahan yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang. Pengecualiannya adalah untuk vaksin hidup yang harus dielakkan dalam pesakit yang mempunyai sistem imun lemah. Kandungan lain adalah seperti bahan pengawet, bahan penstabil, adjuvant dan bahan lain.

 5.   Di Malaysia, kebanyakan keraguan yang timbul berkaitan penggunaan vaksin adalah kerana terdapat DNA khinzir. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin BioThrax dan RotaTeg adalah tidak dibenarkan dan tidak diberikan kepada muslim di Malaysia kerana:

  • Situasi kini dianggap tidak darurat;
  • Terdapat bahan atau ubat alternatif selain penggunaan unsur babi dalam pemprosesan kedua-dua vaksin; dan
  • Tiada data sokongan yang kuat untuk membuktikan rakyat negara ini memerlukan kedua-dua vaksin ini.

Terdapat vaksin meningococcal yang juga menjadi isu. Iaitu vaksin Menactra. Muzakarah bersetuju bahawa penggunaan vaksin ini adalah diharuskan kerana tiada komponen bahan mentah yang mengandungi sumber haiwan atau bahan-bahan yang diragui daripada aspek syarak digunakan serta tiada perkongsian saluran pemprosesan dengan produk vaksin yang tidak halal. Selain vaksin di atas, vaksin-vaksin yang lain terutamanya dalam jadual imunisasi kita halal untuk digunakan sebagai pencegahan penyakit. Disebabkan gerakan anti vaksin, ramai ibu bapa terpedaya dan mengambil pilihan untuk tidak melakukan vaksinasi kepada anak-anak mereka dan akhirnya menyebabkan penyakit-penyakit berjangkit menular semula di Malaysia. Ketahui fakta dan mitos mengenai vaksin dengan mengambil quiz ini.


Kesimpulan

    Anti vaksin adalah ancaman kepada kesihatan di seluruh dunia. Ia bermula daripada andaian-andaian tidak berasas yang disebarkan oleh individu yang tidak mahu menerima kebenaran walaupun telah terbentang di hadapan mata. Oleh itu, anda haruslah berwaspada dan sentiasa memastikan maklumat yang diterima adalah sahih sebelum menyebarkannya. Jangan lupa, patuhi jadual vaksinasi anak anda! Jika terdapat keraguan, terus tanya pada doktor dan bukannya di media sosial. 


Ragu-ragu tentang vaksin? Konsult Doktor Kami Secara PERCUMA!



Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall