Anda Mahu Memilih Jenis Vaksin COVID-19? Ketahui Apa Yang Penting

Perlukah Memilih Jenis Vaksin COVID-19 Yang Anda Terima?-DoctorOnCall

Ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 dari syarikat Pfizer-BioNTech pada 21 Februari 2021 di Malaysia merupakan detik bersejarah bagi negara kita. Program imunisasi COVID-19 fasa awal negara dirangka untuk diberikan kepada  571,802 petugas barisan hadapan. Sementara itu, Malaysia masih menunggu tambahan beberapa kumpulan vaksin keluaran syarikat yang lain untuk diberikan kepada seluruh populasi penduduk negara ini. Umum mengetahui bahawa terdapat pelbagai jenis vaksin yang telah dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal seluruh dunia bagi membendung wabak COVID-19 ini, jadi adakah penting untuk memilih jenis vaksin COVID-19 yang anda hendak terima? Ikuti kupasan lanjut menerusi artikel ini. 

Adakah Penting Untuk Memilih Jenis Vaksin COVID-19 Yang Anda Terima?

Malaysia sangat bertuah kerana menjadi antara negara pertama di Asia Tenggara yang menerima vaksin. Ini telah menjadi faktor penting dalam usaha negara untuk melindungi penduduknya daripada penyakit ini. Selain itu, ini dapat meningkatkan lagi usaha negara kita untuk kembali kepada keadaan normal.

Justeru, jenis vaksin yang anda terima bukanlah suatu yang hal yang penting dan perlu dibimbangkan ketika ini. Apa yang penting adalah kejayaan anda untuk menerima suntikan vaksin yang telah ditawarkan oleh negara Malaysia. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media pada bulan Februari 2021 menegaskan tentang dasar kerajaan iaitu apa-apa vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah selamat untuk digunakan. Menurutnya lagi, menerusi program imunisasi COVID-19 kebangsaan yang telah bermula sejurus setelah penerimaan vaksin kumpulan pertama, orang ramai tidak dibenarkan memilih jenis vaksin COVID-19 yang hendak diterima mereka, sebaliknya ia akan ditentukan oleh pihak berkuasa kesihatan. Perkara ini selari dengan dasar kerajaan yang ditegaskan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. 

Seorang pakar perubatan dari Fakulti Perubatan, Universiti Harvard juga mengulas tentang isu memilih jenis vaksin COVID-19 yang bakal diterima. Bekalan vaksin untuk setiap jenis yang dikeluarkan adalah amat terhad. Oleh itu, menurut beliau, sesiapa yang akan mendapat vaksin dalam masa terdekat ini hanya perlu mengambil apa jua pilihan vaksin yang ada. Perkara yang menjadi keutamaan adalah sama ada vaksin ada atau tidak dan bukannya jenis mana yang anda mahukan. Kenyataan itu dikeluarkan kerana terdapat dua jenis vaksin yang diberikan di Amerika Syarikat pada fasa awal program vaksinasi di negara tersebut. 

Penghasilan vaksin COVID-19 yang begitu pantas oleh para saintis merupakan suatu pencapaian yang amat memberangsangkan. Namun, pengeluaran vaksin ini adalah terhad pada satu-satu masa, ditambah dengan permintaan yang tinggi dari pelbagai negara sekaligus menjadikan pengedaran vaksin ini kepada semua penduduk dunia adalah cabaran yang cukup besar. Maka, tidak hairanlah pembelian vaksin COVID-19 kini seolah olah menjadi satu perlumbaan. Setiap negara di seluruh dunia bertungkus-lumus dalam mendapatkan pembekalan vaksin COVID-19 untuk diberikan kepada rakyat masing-masing, begitu juga dengan Malaysia. 

Pelbagai strategi telah disusun oleh negara kita termasuklah memeterai perjanjian dengan beberapa syarikat pengeluar vaksin bagi memastikan negara mendapat bekalan vaksin yang mencukupi untuk semua orang. Justeru, harapan terhadap program imunisasi ini adalah supaya kita sama-sama dapat “lindungi diri, lindungi semua”. 

Kesimpulan

Jadi kesimpulannya, pentingkah untuk memilih jenis vaksin COVID-19 yang patut anda terima? Jawapannya mudah sahaja,  vaksin COVID-19 yang tersedia sekarang telah terbukti selamat dan berkesan. Kenyataan ini ada lah berdasarkan ribuan ujian klinikal yang dilakukan sebelum vaksin tersebut diluluskan dan diedarkan ke seluruh pelusuk dunia. Setelah itu, vaksin yang diterima juga perlu untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum diberikan kepada masyarakat.  Dengan erti kata lain, tidak menjadi masalah sama ada boleh atau tidak memilih ataupun vaksin yang mana anda terima, kerana buat masa ini, mana-mana suntikan vaksin COVID-19 adalah lebih baik berbanding jika anda tidak mendapat suntikan sama sekali.

Tingkatkan ketahanan sistem imun tubuh dan sentiasa amalkan pemakanan yang seimbang.

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall