Adakah Wanita Mengandung Boleh Mengambil Vaksin COVID-19?

Adakah Vaksin COVID-19 Berbahaya Untuk Wanita Hamil? -DoctorOnCall

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah pun bermula sejak penghujung bulan Februari 2021. Vaksinasi secara berperingkat ini mensasarkan pemberian vaksin yang awal kepada golongan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 seperti petugas barisan hadapan kerana sifat pekerjaan mereka. Pada pandangan lain, wanita mengandung juga mempunyai risiko mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti COVID-19. Benar, risikonya dipercayai lebih tinggi berbanding wanita yang tidak mengandung dan jangkitan COVID-19 juga telah dikaitkan dengan peningkatan risiko kelahiran pra matang. Namun, pengambilan vaksin COVID-19 oleh ibu yang mengandung mahupun yang sedang menyusukan anak belum menjadi keutamaan buat masa ini. Mengapa perkara sedemikian berlaku? Ikuti artikel ini untuk penjelasan lanjut.

Adakah Vaksin COVID-19 Selamat Untuk Wanita Mengandung?

Menurut Centers for Disease Control and Prevention (CDC), wanita hamil berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19. Walau bagaimanapun, masih terdapat data yang tidak mencukupi dalam hal ujian klinikal dan kajian tambahan mengenai keselamatan vaksin COVID-19, termasuk vaksin mRNA yang akan diberikan semasa kehamilan. Untuk masa ini, maklumat yang tersedia untuk pertimbangan vaksin COVID-19 bagi wanita hamil adalah seperti berikut.

  • Data yang tersedia buat masa ini hanyalah dari kajian mengenai kesan toksik terhadap pembiakan haiwan. Kajian berikut menunjukkan tidak ada masalah keselamatan yang ditunjukkan pada tikus makmal yang menerima vaksin Moderna COVID-19 sebelum atau semasa kehamilan, manakala, kajian mengenai vaksin Pfizer-BioNTech sedang dijalankan.
  • Para pengkaji masih menilai faktor keselamatan, toleransi, dan imunogenik dalam kajian yang dijalankan terhadap wanita yang hamil. 

Merujuk kepada sebuah penelitian yang sedang dijalankan oleh salah satu syarikat farmaseutikal iaitu Pfizer, data penting tentang keselamatan vaksinasi semasa kehamilan bakal dihasilkan. Namun, pada masa ini, data yang diperlukan masih belum ada bagi penelitian Fasa 3. Kajian pada Fasa 2 dan 3 akan melibatkan kira-kira 4.000 wanita dengan usia kehamilan 24 hingga 34 minggu. Sebahagian sukarelawan akan disuntik vaksin, manakala sebahagian yang lain akan diberi suntikan plasebo. Sama dengan sukarelawan vaksinasi yang lain, wanita mengandung juga akan mendapat dua dos vaksin dengan jarak 21 hari. Setelah vaksinasi dilakukan, ibu mengandung akan dipantau selama 7 hingga 10 bulan berikutnya.  Selepas waktu bersalin, bayi turut akan dipantau sehingga usia mencecah 6 bulan.

Sehubungan itu, CDC dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) akan melakukan pemantauan keselamatan yang teliti untuk merekod maklumat mengenai vaksinasi selama kehamilan.

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan vaksinasi COVID-19 kepada wanita hamil pada masa ini disebabkan data yang tidak mencukupi. Walau bagaimanapun, pengecualian itu berlaku jika wanita hamil tersebut terdedah tinggi kepada jangkitan COVID-19, seperti pekerja kesihatan. Vaksinasi boleh dipertimbangkan dengan izin dan nasihat pakar. Sementara itu, bagi individu yang menyusukan anak dengan kemungkinan terdedah yang sama disarankan untuk divaksinasi. WHO juga tidak menggalakkan wanita untuk berhenti menyusukan anak selepas divaksinasi.

Perkara yang sama ditegaskan oleh pihak berkuasa tempatan bahawa buat sementara waktu,  wanita mengandung tidak menjadi keutamaan untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19  kerana ketiadaan data yang mencukupi tentang hal ini. Wanita mengandung boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, namun perlu mendapatkan nasihat pakar atau doktor masing-masing. Di samping itu, wanita mengandung atau wanita yang cuba untuk mengandung perlu mendapatkan nasihat lanjut daripada pakar bagi menentukan keperluan mengambil vaksin COVID-19, bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing. Perkara ini ditegaskan susulan masih terdapat kekeliruan kerana ramai menyangka mereka dilarang terus daripada mengambil vaksin COVID-19 kerana bimbang akan kesan sampingan terhadap diri mereka, kandungan serta anak yang sedang menyusu.

Pastikan kehamilan anda sihat dan selamat. Doktor pakar ibu dan anak (obstetrician) boleh membantu anda.

Adakah Pengambilan Vaksin Bagi Wanita Mengandung Adalah Suatu Pilihan Peribadi?

Berdasarkan pandangan CDC, ibu mengandung dan sebahagian daripada kumpulan yang disyorkan untuk menerima vaksin COVID-19, seperti kakitangan kesihatan, boleh memilih dalam hal pengambilan vaksin. Nasihat daripada pakar atau doktor masing-masing  dapat membantu golongan ini dalam memutuskan samada untuk menerima vaksin ataupun tidak. 

Pertimbangan vaksinasi terhadap ibu mengandung yang perlu dibincangkan adalah berdasarkan beberapa perkara seperti:

  • Sifat rentan (terdedah) terhadap jangkitan COVID-19
  • Risiko COVID-19 kepada ibu mengandung dan potensi risiko terhadap janin 
  • Pengetahuan tentang vaksin - termasuk fungsi terhadap sistem kekebalan tubuh, kesan sampingan vaksin yang diketahui, dan kekurangan data kajian tentang penggunaan vaksin semasa kehamilan.

Kesimpulan

Tuntasnya, pengambilan vaksin COVID-19 bagi wanita mengandung tidak menjadi keutamaan buat masa ini. Namun, bukan bermakna ianya berbahaya terhadap golongan ini. Sebarang spekulasi adalah tidak digalakkan sebelum data yang kukuh diperolehi daripada sumber yang dipercayai. Jika anda sedang mengandung dan ingin mengambil vaksin, anda dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor anda mengenai perkara ini memandangkan ianya sebuah pilihan serta bergantung kepada tahap kesihatan masing-masing. 

Mencegah jangkitan dan penyakit dengan meningkatkan imuniti anda


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall