Ketahui Apa Yang Anda Perlu Lalui Selepas Berhenti Merokok

Berhenti Merokok - Apa Yang Anda Perlu Hadapi Selepas Berhenti Merokok - DoctorOnCall

Niat untuk berhenti merokok adalah langkah pertama anda untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat. Merokok adalah suatu ketagihan disebabkan bahan kandungan nikotin yang berfungsi untuk mengeluarkan hormon dopamin dan membuatkan anda merasa gembira. Namun rokok mempunyai pelbagai bahan yang akan menyebabkan kesihatan anda merosot termasuklah menyebabkan kanser. Namun begitu, berhenti merokok bukanlah perkara yang mudah. Banyak perkara yang anda perlu lalui sebelum berjaya berhenti merokok selama-lamanya. Terdapat pelbagai langkah dan mungkin rawatan yang perlu anda ambil bagi memastikan anda dapat berhenti merokok dengan jayanya. Ramai dalam kalangan perokok yang ingin berhenti kembali kepada rokok kerana tidak mampu mengharungi dugaan dan cabaran selepas berhenti. Oleh itu, kami kongsikan buat anda, apa yang anda perlu jangka akan terjadi dan perlu bersedia untuk hadapi apabila anda mula berhenti merokok. Mari ikuti artikel ini untuk tahu lebih lanjut.


Perkara Yang Anda Perlu Jangka Selepas Berhenti Merokok

1. Kesan Sarak Nikotin (Nicotine Withdrawal)

Berhenti merokok adalah perkara yang sukar kerana ketagihan rokok dikatakan sekuat ketagihan dadah opioid. Perkara pertama yang anda perlu jangka dan bersedia adalah untuk menghadapi kesan sarak nikotin atau nicotine withdrawal.

Antara kesan simptom penarikan nikotin adalah seperti berikut:

  • Sakit kepala

  • Mual

  • Insomnia

  • Nafsu makan meningkat

  • Tidak dapat menumpukan perhatian

  • Berpeluh

  • Gelisah

  • Cepat marah dan hilang sabar

  • Kemurungan

Kesan simptom sarak ini bukanlah ringan dan mudah ditangani. Ramai yang kembali kepada rokok kerana tidak tahan dengan keadaan ini. Dalam tempoh beberapa minggu hingga bulan, tubuh anda mungkin akan berasa tidak selesa dan keinginan rokok membuak-buak sepanjang masa. Ia juga menyebabkan emosi anda tidak stabil, mudah marah dan sebagainya. Sepanjang tempoh ini, sokongan orang sekeliling terutamanya yang tersayang adalah amat penting. Mengetahui perkara ini terlebih dahulu juga boleh membantu anda mengatasinya dengan lebih baik. Berikut adalah tips untuk anda menangani gejala simptom penarikan nikotin ini:

  • Elakkan bersama dengan perokok lain. Melihat mereka merokok hanya akan meningkatkan ketagihan anda dan besar kemungkinan anda akan terpengaruh dan kembali mengambilnya.

  • Elakkan pengambilan alkohol. Rokok dan alkohol adalah kombinasi amat buruk. 

  • Sentiasa ingat matlamat asal dan jangan terlalu yakin. Ingat, anda bukanlah manusia sempurna. 

  • Pastikan mendapat tidur dan rehat yang cukup. Rehat dan tidur yang cukup dapat membantu anda mengawal emosi dengan lebih baik.

  • Elakkan berada di dalam keadaan yang boleh memberi tekanan dan sentiasa berfikiran positif. 

  • Mengunyah gula-gula getah atau snek boleh membantu anda mengalihkan tumpuan kepada rokok. Tapi ingat pilih gula getah tanpa gula dan ambil snek yang sihat. 

  • Gunakan terapi pengganti nikotin. Terapi gantian nikotin dalam bentuk gula getah dan tampalan boleh mengurangkan gejala simptom sarak nikotin.

  • Lakukan pelbagai aktiviti seperti bersenam, berbasikal, bercucuk tanam, menari dan sebagainya agar dapat mengalih tumpuan dan menjadikan badan anda lebih sihat dan bertenaga.

  • Dapatkan bantuan kaunseling. Jangan takut untuk mendapatkan bantuan jika anda perlukannya. 

 

2. Godaan Untuk Merokok

Oleh kerana rokok telah menjadi sebahagian daripada hidup anda setelah sekian lama, apabila anda mula berhenti merokok, godaan untuk kembali kepada rutin adalah amat kuat. Tambahan pula, nikotin boleh memberikan anda ketenangan minda, tenaga dan rasa gembira. Namun, ketahuilah bahawa semua itu hanyalah ilusi sahaja. Penggunaan nikotin dalam rokok yang berpanjangan menyebabkan anda bergantung kepada bahan ini untuk gembira. Dalam kata lain, tanpa rokok anda akan gelisah, murung dan tidak bertenaga. Jadi, jangan tertipu lagi, teruskan perjuangan dan anda pasti boleh gembira dan bertenaga semula tanpa rokok tidak lama lagi. 

Bagi melawan godaan merokok, anda disarankan untuk mengubah kebiasaan anda agar tidak mengingatkan anda tentang rutin merokok. Jika anda biasa merokok selepas minum kopi, tukar minuman anda kepada teh atau jus buah-buahan. Sesetengah tempat juga mungkin mengingatkan anda seperti bilik merokok, pantri dan sebagainya. Adalah penting untuk anda kenal pasti apa yang boleh mencetuskan ingatan anda terhadap rokok. Anda boleh menjauhinya atau lebih bersedia untuk melawan godaan apabila berhadapan dengannya. 

3. Tergelincir

Ingat, anda bukanlah manusia sempurna. Dalam tempoh cubaan anda berhenti merokok, anda mungkin boleh tergelincir apabila berhadapan dengan situasi tertentu seperti ketika majlis keraian bersama rakan-rakan. Anda mungkin telah menerima pelawaan mereka untuk merokok kerana situasi yang menyebabkan anda sukar menolaknya. 

Sekiranya anda tergelincir, jangan terlalu menghukum diri anda. Perkara ini adalah sesuatu yang sering terjadi kepada perokok dalam tempoh mereka berhenti merokok. Perkara ini juga tidak bermakna anda telah gagal sepenuhnya. Mulakan kembali langkah anda dan terus bergerak ke masa depan yang lebih sihat. 

 

Berhenti Merokok Secara Mengejut

Apabila anda mula membuat keputusan untuk berhenti merokok, ia haruslah dilakukan secara berperingkat. Tindakan untuk berhenti merokok secara mengejut boleh mengundang bahaya. Menurut pakar, tindakan berhenti merokok secara tiba-tiba boleh mencetuskan masalah kesihatan bagi mereka yang berusia dan berpenyakit.

Bagi sesetengah orang, tindakan berhenti merokok secara tiba-tiba juga menyebabkan mereka lebih mudah kembali kepada rokok kerana cara berhenti yang tidak betul.

Sebaiknya anda dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan pakar seperti Klinik Berhenti Merokok agar cara berhenti merokok yang paling sesuai untuk anda boleh disarankan. Bantuan seperti terapi gantian nikotin juga boleh didapati bagi membantu anda berhenti merokok dengan lebih baik.

Kebaikan Berhenti Merokok

Jangan terlalu takut dengan simptom penarikan nikotin atau perkara buruk lain selepas anda berhenti merokok. Hakikatnya, gejala yang tidak enak itu hanyalah sementara sahaja dan banyak lagi manfaat lain yang akan anda nikmati selepas anda berjaya berhenti merokok. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini!

1. Kadar risiko kanser berkurang

Tanpa bahan karsinogen dalam rokok, tentu sahaja risiko kanser anda semakin menurun.

2. Pembuangan nikotin

Tanpa nikotin yang mempengaruhi mood anda, kini anda boleh merasai kegembiraan yang sebenar.

3. Kelancaran aliran darah

Bahan dalam rokok yang mengecutkan saluran darah anda tiada lagi! 

4. Penambahbaikan deria rasa dan bau

Dalam masa 48 jam, sensori lidah dan hidung akan pulih. Kini anda boleh menikmati makanan dengan lebih baik.

5. Memperbaik hubungan seks anda

Membuang rokok dari hidup anda juga mampu mengembalikan keintiman pasangan suami isteri!

6. Menambah tenaga

Tiada lagi bahan yang mengganggu pertukaran oksigen di paru-paru anda. Dengan bekalan oksigen yang cukup, organ-organ anda semakin pulih, dan anda juga semakin bertenaga.

7. Meningkatkan immuniti

Tanpa rokok, kekuatan imuniti juga semakin meningkat untuk melawan penyakit

8. Hidup lebih bahagia

Rokok yang selama ini menjadi racun dalam hidup anda tiada lagi. Kini hubungan  kekeluargaan anda semakin mesra. Anak dan isteri anda juga tidak lagi menjadi perokok pasif. Tidak perlu beli rokok, kewangan juga lebih stabil!

Kesimpulan

Jangan mudah putus asa dalam usaha untuk berhenti merokok. Tidak semua perokok berjaya berhenti merokok pada percubaan kali pertama. Namun demi mendapatkan kehidupan yang lebih sihat, tidak rugi untuk kita terus mencuba bagi merealisasikan hasrat untuk berhenti merokok.

Tidak perlu berasa malu atau segan untuk meminta pertolongan dalam kita berusaha untuk berhenti merokok, mintalah keluarga dan kawan-kawan untuk menyokong usaha kita untuk berhenti merokok. Sentiasa memotivasikan diri dan selalu ingatkan diri sendiri tentang tujuan utama anda ingin berhenti merokok. Dapatkan nasihat doktor atau farmasi bagi mendapatkan bantuan perubatan seperti terapi gantian nikotin. 


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall