Berhenti Merokok Untuk Keluarga. Semakin Hari Semakin Sayang.

6 Manfaat Berhenti Merokok Untuk Keluarga Dan Kesihatan - DoctorOnCall


Adakah Anda Merokok ?

Adakah anda seorang perokok? Jika ya, pernahkah anda terfikir untuk berhenti merokok. Jika tidak pernah,  adakah anda tahu apakah kesan berhenti merokok seminggu mahupun sebulan? Mungkin anda tidak kisah apa jua kesan merokok kepada anda, tetapi pernahkah anda ambil tahu tentang kesannya kepada orang di sekeliling anda? Selagi mana anda menghembuskan asap rokok anda, selagi itulah kesihatan mereka semakin terancam. Apa yang anda dapat jika berhenti merokok? Terlalu banyak. Jika anda tidak menghiraukan tentang diri anda sekalipun, fikirkan orang yang berada di sekeliling anda. 

Mari ikuti artikel ini dalam membincangkan bagaimana berhenti merokok boleh membahagiakan keluarga anda.


Manfaat Berhenti Merokok Kepada Keluarga

1. Mengurangkan Risiko Penyakit Kanak-kanak.

Jika anda belum tahu, kanak-kanak adalah golongan paling terkesan dengan asap rokok. Kajian mendapati terdapat banyak risiko yang ditanggung kanak-kanak yang tinggal bersama ibu bapa merokok seperti 

  • Risiko kematian kot atau sudden infants death syndrome (SIDS) meningkat

  • Berisiko tinggi mendapat penyakit jangkitan kuman pada paru-paru seperti bronchitis, dan penumonia

  • Melambatkan tumbesaran paru-paru yang sihat

  • Meningkatkan risiko jangkitan dalam telinga

  • Meningkatkan risiko batuk dan sesak nafas

  • Meningkatkan risiko mereka menjadi perokok apabila dewasa

Penyakit-penyakit di atas bukan sahaja memberi masalah kepada pertumbuhan kanak-kanak secara fizikal tetapi juga secara mental. Anda mungkin merasakan merokok di luar rumah boleh mengurangkan risiko yang dinyatakan, namun sebenarnya tidak sama sekali. Kajian ada menunjukkan bahawa kadar nikotin yang melekat pada rambut kanak-kanak tetap tinggi walaupun ahli keluarga merokok di luar rumah. Hal ini kerana faktor persekitaran seperti pintu atau tingkap terbuka dan asap yang melekat di baju si perokok masih boleh hinggap pada mereka. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini!


2. Menyelamatkan Bayi Dalam Kandungan

Ibu mengandung mempunyai banyak alahan dan pantang larang termasuklah merokok dan asap rokok. Ibu hamil yang terdedah kepada asap rokok berisiko mengalami:

  • Kelahiran bayi pra-matang

  • Kelahiran bayi songsang

  • Risiko tinggi untuk melahirkan secara pembedahan atau caesarean section

  • Skor APGAR bayi yang kurang memuaskan ketika lahir

  • Pecah air ketuban secara pra-matang

 

Keadaan sebegini bukan sahaja membahayakan nyawa anak dalam kandungan malah nyawa ibu turut terlibat. Oleh itu, tidak terlambat lagi untuk para suami berhenti merokok sekarang jika anda sayangkan nyawa mereka.

3. Menjamin Kewangan Keluarga

Seperti yang kita tahu, harga rokok bukanlah murah. Sekotak rokok boleh mencecah belasan ringgit. Dalam kegawatan ekonomi yang semakin parah, rokok tentunya suatu bebanan kepada tahap kewangan anda. 

Dengan berhenti merokok, seorang perokok boleh menjimatkan puluhan malah ratusan ringgit setiap bulan. Wang ini boleh digunakan untuk keperluan keluarga. Wang ini juga boleh dijadikan sebagai pelaburan. Bayangkan membeli rokok RM10 sehari  bersamaan RM300 sebulan atau RM3600 setahun. JIka anda melabur atau menyimpan wang tersebut, kiralah sendiri hasilnya. 

Isteri anda juga sudah tentu akan tersenyum senang hati apabila wang tidak lagi dibazirkan untuk dibakar dan anda juga tentu merasa lebih tenang dan bahagia.

4. Meningkatkan Tahap Kesihatan

Tanpa rokok, tahap kesihatan seisi keluarga juga adalah lebih baik. Keluarga yang tinggal bersama perokok lebih berisiko untuk jatuh sakit akibat batuk, asma, selsema dan jangkitan lain. Bukan itu sahaja risiko untuk menghidap kanser juga adalah lebih tinggi. Kos perubatan juga adalah beban kewangan. Jika anda mahu mengambil kad perubatan, kos caruman bulanan anda adalah lebih tinggi. 

Dengan meninggalkan rokok, keluarga anda tidak lagi terdedah dengan bahaya rokok ini. Kesihatan mereka dan anda juga akan bertambah baik. Risiko jangkitan dan kekerapan jatuh sakit serta kos rawatan juga akan berkurangan. Hasilnya hidup akan lebih bahagia, ceria dan berkualiti. 

5. Memperbaiki Kualiti Hubungan Suami Isteri

Selain meningkatkan taraf kesihatan fizikal serta memperbaiki kewangan anda. Berhenti merokok juga memperbaiki kualiti hubungan suami isteri. Tanpa rokok, suami lebih banyak menghabiskan masa bersama anak dan isteri berbanding merokok dengan rakan di kedai atau sendirian di luar rumah. Tahap kesihatan batin seorang lelaki juga adalah lebih baik dengan meninggalkan rokok.

Ramai yang tidak sedar bahawa kandungan nikotin dalam rokok boleh memberi kesan kepada kesuburan seorang lelaki. Nikotin boleh menyebabkan saluran darah ke zakar mengecut dan tersumbat. Hal ini menyebabkan kesukaran zakar untuk mencapai atau mengekalkan ereksi, sekaligus menjejaskan kualiti hubungan kelamin. Malah, kualiti sperma juga turut terjejas.

Kualiti hubungan kelamin ini seharusnya di jaga oleh kedua-dua pihak, samada si suami atau isteri. Keputusan berhenti merokok boleh membantu hubungan menjadi lebih intim dan berkualiti. Hubungan ini bukan sahaja penting untuk kepuasan nafsu, malah untuk menjamin keutuhan rumahtangga.

6. Memberi Teladan Baik Buat Anak-anak

“Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”, “bapak borek anak rintik”. Kedua dua peribahasa ini menggambarkan sikap seorang ayah boleh mempengaruhi anak-anak. Sekiranya anak si perokok setiap hari melihat dan menghidu rokok, tidak pelik sekiranya suatu hari nanti mereka ingin cuba untuk merokok. Bapa pula tiada alasan untuk memarahi mereka kerana bapa sendiri melakukan tabiat tersebut.

Rokok bukan sahaja menjejaskan kesihatan mereka, tetapi pelajaran dan kewangan mereka akan turut terkesan. Walaupun memang ada golongan muda yang merokok dan ibubapa mereka bukan perokok, tetapi kadar peratusan perokok dalam kalangan orang muda adalah tinggi dalam kalangan ibu bapa atau bapa yang merokok.

Kesan Kepada Perokok Pasif

Manfaat yang disenaraikan diatas hanyalah sebahagian daripada kebaikan berhenti merokok. Si perokok tidak boleh mementingkan diri dengan merokok di mana-mana sahaja tanpa menghiraukan orang sekeliling. Hal ini kerana, tabiat anda membahayakan orang lain. 

Umum mengetahui bahawa perokok terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu perokok aktif dan perokok pasif. Siapakah mereka? Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perokok adalah mereka yang menggunakan mana-mana produk tembakau samada setiap hari atau sekali sekala. Mereka yang merokok adalah perokok aktif manakala mereka yang tidak merokok tetapi menghidu udara sekeliling yang mengandungi asap rokok adalah perokok pasif. Kasihannya kepada golongan perokok pasif kerana mereka tiada tabiat merokok tetapi terpaksa menerima kesan-kesan sampingan daripada asap rokok yang dibebaskan oleh orang sekeliling mereka. 

Golongan yang paling berisiko terjejas akibat kesan rokok adalah keluarga perokok kerana mereka sentiasa berhubung rapat, bertemu dan berada di dalam satu ruangan dengan si perokok setiap hari. Bayangkan sekiranya seorang suami merokok di dalam rumah atau kawasan rumah, si isteri dan anak-anak terpaksa menghidu asap rokok tersebut. Hal ini tidak berlaku sehari sahaja, tetapi bertahun-tahun lamanya. 

Kajian saintifik terhadap perokok pasif membuktikan bahawa status kesihatan golongan ini sangat membimbangkan. Berikut adalah kesan rokok terhadap perokok pasif: 

  • Risiko mendapat kanser paru-paru meningkat

  • Mereka yang tinggal bersama perokok aktif mempunyai risiko 20-30% mendapat kanser paru-paru

  • Berisiko tinggi untuk mati pada usia muda 

  • Meningkatkan risiko penyakit jantung sebanyak 25-40% - peratusan yang hampir sama dengan perokok aktif

Kesimpulan

Banyak langkah yang boleh diambil untuk berhenti merokok. Klinik-klinik berhenti merokok telah disediakan oleh kerajaan bagi membantu anda. Kini, anda tidak perlu lagi risau tentang gangguan setelah berhenti merokok atau sakit berhenti merokok akibat gian kepada nikotin kerana pakar yang bertauliah akan membimbing anda dengan langkah-langkah yang betul. Mungkin sahaja kawan-kawan anda pernah menceritakan pengalaman berhenti merokok mendadak sehinggakan anda takut untuk mencuba berhenti. Disini nasihat daripada pakar memainkan peranan penting supaya kesan berhenti merokok mengejut tidak berlaku. 

Kesihatan dan kesejahteraan ahli keluarga terutamanya patut diutamakan berbanding melepaskan gian terhadap rokok. Kunci utama kebahagiaan keluarga tidak bergantung kepada satu pihak sahaja, semua ahli patut mempraktikkan usaha yang baik. Kita tidak mahu, pada hari tua kita menjadi beban kepada isteri dan anak-anak gara-gara penyakit yang kita hadapi berpunca daripada rokok. Ingat, rokok membunuh anda dan ahli keluarga. Oleh itu, berhenti sebelum terlambat.


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall