Insomnia

Manfaat, Indikasi, Kos Dan Kesan Sampingan Ubat Tidur (Insomnia)

Baca Soalan

Masa tidur kita berubah dengan usia kita. Secara umumnya, orang dewasa memerlukan 6-8 jam tidur setiap hari. Kanak-kanak memerlukan masa tidur yang lebih panjang, manakala warga emas (mereka yang berumur 60 tahun ke atas) hanya memerlukan 4-5 jam tidur setiap hari. Kesukaran tidur, lebih dikenali sebagai insomnia, merupakan masalah kesihatan yang dihadapi oleh ramai pesakit di Malaysia.

Insomnia merupakan perasaan yang subjektif di mana seseorang itu berasa kekurangan tidur atau berasa tidak puas sedangkan seseorang itu telah mendapat peluang untuk tidur dengan secukupnya. Oleh sebab fisiologi tidur berubah dengan peningkatan usia, insomnia didapati bukan sesuatu masalah dengan jumlah jam tidur, tetapi masalah dengan keupayaan tidur itu dalam merehatkan diri dari segi fizikal dan minda. Kekerapan insomnia ialah antara 40 hingga 50 peratus bagi warga emas dan masalah ini lebih biasa ditemui dalam kalangan wanita berbanding dengan kaum lelaki.

Klasifikasi insomnia

Secara amnya, insomnia mempunyai tiga kelas yang mempunyai penyebab yang berbeza:

  • Insomnia Sementara: Masalah ini selalunya disebabkan oleh perubahan jangka pendek kepada keadaan persekitaran atau emosi. Antara contoh situasi yang boleh menyebabkan insomnia sementara termasuklah melancong, kemasukan ke hospital dan keghairahan. Masalah tidur ini selalunya hilang selepas beberapa hari dan tidak seharusnya menyebabkan masalah tidur yang lebih serius.

  • Insomnia Jangka Pendek: Punca masalah sukar tidur yang disebabkan oleh insomnia jenis ini ialah kejadian besar yang berlaku dalam kehidupan harian seseorang. Antara contoh kejadian-kejadian ini termasuklah kematian ahli keluarga, dibuang kerja dan perceraian. Masalah tidur ini boleh berlangsung daripada beberapa hari hingga lebih kurang 3 minggu.

  • Insomnia Kronik: Insomnia kronik boleh berlaku sekiranya insomnia jangka pendek berlarutan dan tidak dirawat. Insomnia jenis ini biasanya berlangsung daripada beberapa bulan hingga beberapa tahun. Faktor-faktor yang boleh menyebabkan insomnia kronik bertambah teruk termasulah keresahan, pengambilan sesetengah ubat, penyalahgunaan alcohol atau dadah, serta masalah perubatan yang lain. Pengenalpastian punca insomnia amatlah penting supaya rawatan yang berkesan boleh diberikan.

Punca-punca insomnia

Punca seseorang sukar tidur termasuklah:

  • Stres dalam kehidupan harian

  • Pelancongan dan jadual kerja yang menggangu masa tidur

  • Amalan tidur yang kurang memuaskan seperti penggunaan komputer atau telefon bimbit sebelum tidur.

  • Makan dalam kuantiti yang besar sebelum tidur

  • Penyakit-penyakit psikiatri seperti kemurungan dan keresahan. Bagi sesetengah kes insomnia, sukar tidur tanda sakit mental.

  • Sesetengah ubat asma, ubat darah tinggi, ubat tahan sakit dan ubat selesema.

  • Masalah kesihatan yang lain seperti kanser, diabetes, penyakit jantung, asma, pedih ulu hati, penyakit tiroid dan penyakit Alzheimer.

  • Kafein, nikotin (bahan racun dalam rokok) dan minuman arak.

Gejala insomnia

Tanda-tanda insomnia ialah:

  • Kesukaran mula tidur (mengambil masa yang lama daripada masa melelapkan mata sehingga masa mulanya tidur)

  • Masa tidur yang tidak nyenyak bertambah lama

  • Sentiasa terjaga lebih awal daripada masa bangun biasa

  • Sering berasa letih pada waktu siang

  • Kemurungan dan keresahan

  • Susah memberi tumpuan semasa menjalankan aktiviti harian

  • Sentiasa risau dengan gangguan tidur

Sila mendapatkan nasihat doktor sekiranya insomnia mengganggu kehidupan harian anda. Doktor anda mungkin akan menjalankan pemeriksaan lebih lanjut dan mengenal pasti punca insomnia anda supaya rawatan yang sesuai boleh diberikan.

Komplikasi insomnia

Seperti kebanyakan penyakit yang lain, insomnia boleh mengakibatkan kesan-kesan negatif tertentu sekiranya tidak dirawat dengan berkesan. Kesan susah tidur malam adalah seperti berikut:

  • Letih dari segi fizikal dan mental

  • Keresahan dan panas baran

  • Risiko kemalangan meningkat kerana reaksi yang lebih lambat (contohnya risiko jatuh)

  • Kemerosotan prestasi aktiviti harian yang disebabkan oleh gangguan ingatan dan kesukaran memberi tumpuan

  • Kadar kematian meningkat

  • Risiko penyalahgunaan dadah

  • Risiko penyakit lain seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung

Rawatan insomnia

Kajian tentang insomnia telah menunjukkan bahawa amalan tidur yang baik amatlah penting dalam meningkatkan kualiti tidur kita. Jika doktor anda tidak mendapati apa-apa masalah perubatan yang boleh menyebabkan insomnia, nasihat amalan tidur yang baik merupakan langkah awal yang paling sesuai untuk anda.

Amalan tidur yang baik merangkumi kriteria-kriteria berikut:

  • Cuba menetapkan waktu tidur dan waktu bangun anda

  • Kurangkan tidur pada waktu siang

  • Dapatkan nasihat doktor tentang ubat-ubatan yang anda sedang ambil kerana sesetengah ubat boleh menyebabkan insomnia.

  • Kurangkan pengambilan kafein dan minuman arak. Berhenti merokok.

  • Tidak bersenam semasa berdekatan dengan masa tidur. Bersenamlah pada waktu siang kerana senaman yang mencukupi boleh membantu kita tidur nyenyak.

  • Tempat tidur haruslah digunakan untuk tidur atau hubungan kelamin sahaja. Elakkan bekerja atau menonton televisyen di dalam bilik tidur.

  • Elakkan makan malam yang terlalu berat terutamanya semasa berdekatan dengan masa tidur.

  • Amalan yang tetap sebelum tidur adalah sangat digalakkan. Antara contoh amalan ini termasuklah memberus gigi dan membasuh muka.

  • Pakailah pakaian yang selesa semasa tidur

  • Kurangkan cahaya dan bunyi bising di dalam bilik tidur yang boleh menjejaskan kualiti tidur

  • Jika susah masuk tidur, bangun dan cubalah membaca di bilik yang lain sehingga mengantuk.

Selain amalan tidur yang baik, kadang-kala insomnia juga boleh dirawat dengan ubat susah tidur. Walaupun begitu, pengunaan pil tidur seharusnya dipantau dan hanya digunakan sekiranya rawatan lain didapati kurang berkesan. Penggunaan ubat yang silap berkemungkinan akan melaratkan masalah tidur dan mengakibatkan masalah ketagihan.

Benzodiazepine merupakan satu kelas ubat yang sering digunakan untuk merawat insomnia. Contoh-contoh yang terdapat dalam kelas ubat ini ialah triazolam, estazolam, temazepam, flurazepam dan quazepam. Penggunaan ubat-ubat ini biasanya dihadkan dalam 4 hingga 6 minggu kerana risiko ketagihannya. Ubat-ubat lain yang mungkin digunakan termasuklah eszopiclone, zaleplon, zolpidem dan zopiclone. Para pesakit disarankan berbincang dengan doktor sebelum menggunakan apa-apa ubat tidur kerana ubat-ubat ini mempunyai kesan sampingan yang tersendiri dan biasanya digunakan untuk jangka pendek sahaja.

Insomnia juga boleh dirawat dengan terapi-terapi psikiatri seperti cognitive behavioural therapy (CBT) dan relaxation therapy. Terapi-terapi ini membantu para pesakit mengawal fikiran-fikiran negatif yang mungkin menyebabkan kesukaran tidur. Terapi CBT juga menggalakkan amalan tidur yang baik dan mengurangkan amalan yang menjejaskan kualiti tidur. Sebenarnya, CBT telah didapati lebih berkesan berbanding dengan ubat tidur.

Kesimpulan

Kesimpulannya, insomnia merupakan masalah kesihatan yang menjejaskan ramai orang di Malaysia. Mereka yang menghadapi masalah insomnia disarankan berjumpa dengan doktor secepat mungkin untuk mengenal pasti punca insomnia dengan tepat. Rawatan yang berkesan sentiasa ada dan para pesakit digalakkan berbincang dengan doktor mereka supaya rawatan yang paling sesuai boleh diberikan.

Written by: Dr Nur Syuhada Binti Zulkifli

Degree in Medicine, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?