Gula-Gula Getah Terapi Gantian Nikotin (NRT). Adakah Berkesan?

Gula-Gula Getah NRT: Terapi Pengganti Nikotin - DoctorOnCall

Masih Sukar Untuk Berhenti Merokok?

Risiko untuk mendapat penyakit berkaitan rokok dapat dikurangkan apabila tabiat merokok dihentikan. Antara rawatan untuk berhenti merokok adalah dengan menjalani proses Terapi Gantian Nikotin atau dipanggil Nicotine Replacement Therapy (NRT).

Selain itu, terdapat sejenis ubat yang dinamakan Varenicline yang juga merupakan rawatan untuk berhenti merokok. Tujuan utama NRT adalah bagi menggantikan nikotin yang terdapat di dalam rokok agar keinginan untuk merokok dapat dikurangkan dan perokok boleh berhenti merokok dalam masa yang sama.

Merujuk kepada kajian, pada tahun 2008, NRT mampu meningkatkan kadar berhenti merokok sebanyak 50% hingga 70%. Salah satu terapi gantian nikotin (NRT) adalah dengan menggunakan gula-gula getah nikotin.

Gula-gula Getah Nikotin

Gula-gula getah nikotin boleh didapati di kebanyakkan farmasi. Gula-gula getah ini mengandungi nikotin supaya apabila dikunyah, nikotin akan diserap melalui lapisan mulut. Ia sama seperti mengunyah gula-gula getah biasa, namun yang membezakan antara keduanya adalah kandungan nikotin.

Gula-gula getah nikotin mengandungi nikotin dalam dos yang rendah tanpa bahan-bahan kimia lain seperti yang terdapat dalam asap rokok. Ia berfungsi untuk menghantar simulasi kepada otak sebagai gantian nikotin daripada rokok.

Hal ini bertujuan bagi mengurangkan rasa keinginan terhadap nikotin serta mengurangkan atau mencegah gejala sindrom sarak (nicotine withdrawal) yang mungkin berlaku semasa proses berhenti merokok.  Kebiasaanya, penggunaan NRT adalah dalam tempoh dua sehingga maksimum enam bulan.

Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini!

Bagaimana Cara Menggunakan Gula-gula Getah Nikotin?

Cara menggunakan gula-gula getah nikotin bergantung kepada keadaan atau tahap ketegaran perokok. Contohnya jika anda merokok kurang daripada 25 batang setiap hari, anda hanya perlu menggunakan gula-gula getah dengan kandungan nikotin sebanyak 2mg.

Namun jika anda merokok 25 batang sehari atau lebih, anda digalakkan untuk mengambil gula-gula getah yang mengandungi 4mg nikotin.

Setelah mendapatkan gelua-gula getah dengan dos nikotin yang betul, ikuti langkah di bawah untuk menggunakan gula-gula getah nikotin secara berkesan:

  1. Kunyah gula-gula getah secara perlahan sehingga terasa pedas atau berangin.

  2. Apabila rasa pedas/berangin semakin kuat, selitkan gula-gula getah dalam ruang mulut anda di antara rahang dan pipi. Nikotin akan diserap melalui lapisan mulut anda.

  3. Selepas rasanya semakin hilang, kunyah gula-gula getah sehingga rasa pedas/berangin menjadi kuat kembali.

  4. Pastikan langkah 2 dan 3 diulang selama 30 minit.

Selain itu, rujuk jadual di bawah sebagai panduan bilangan pengambilan gula-gula getah nikotin:

Minggu 1 - 12

8 - 12 biji sehari

Minggu 13 - 14

4 - 6 biji sehari

Minggu 15 - 16

2- 3 biji sehari sebelum dikurangkan kepada 1 biji sehari jika keinginan merokok datang kembali.

Perkara Lain Yang Perlu Anda Tahu:

  • Jangan mengunyah seperti mengunyah gula-gula getah lain. Gunakan teknik “kunyah dan selit”.
  • 1 biji gula-gula getah memberikan anda 30 minit nikotin
  • Dilarang makan atau minum 15 minit sebelum menggunakan gula-gula getah nikotin.
  • Jika anda termakan atau terminum 15 minit sebelum, bilaskan atau basuh mulut dengan air sehingga bersih sebelum menggunakan gula-gula getah nikotin.
  • Elakkan daripada menggunakan gula-gula getah nikotin jika anda mempunyai sejarah sakit pada bahagian rahang mulut seperti masalah pada TMJ (Temporal Mandibular Joint).

Sakit mulut, sakit rahang, sedu-sedu dan sakit perut merupakan antara kesan sampingan penggunaan gula-gula getah nikotin ini. Hal ini mungkin berkait dengan cara penggunaan yang salah. Oleh itu, teliti semula cara penggunaanya.

Kesan Sampingan Gula Getah Nikotin

Berikut merupakan antara kesan sampingan yang mungkin boleh terjadi. Sebahagian kesan-kesan sampingan ini mungkin jarang berlaku namun ia boleh terjadi pada tahap yang serius. Dapatkan nasihat doktor jika anda mengalami salah satu kesan sampingan yang berikut, lebih-lebih lagi jika gejala tersebut berlarutan.

  • Sakit pada bahagian mulut atau ulcer mulut
  • Kerap tersedu
  • Sakit rahang
  • Radang gusi
  • Loya
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Pening atau sakit kepala
  • Sawan
  • Kelesuan atau kepenatan

Golongan Yang Dilarang Menggunakan Gula-gula Getah Nikotin:

  • Mereka yang alergik atau alah kepada nikotin mahupun kandungan lain di dalam NRT
  • Bukan perokok tegar
  • Ibu hamil dan menyusu
  • Mempunyai gejala masalah TMJ

Adakah Gula-gula Getah Nikotin Membantu Seseorang Berhenti Merokok?

Banyak kajian dibuat untuk membuktikan sama ada NRT (gula-gula getah nikotin) membantu perokok yang ingin berhenti merokok untuk  enam bulan atau lebih lama.

Hasil kajian mendapati ia terbukti bahawa kesemua bentuk NRT termasuk gula-gula getah nikotin mampu membantu seseorang untuk berhenti merokok. Peluang untuk berhenti merokok telah bertambah sebanyak 50% hingga 60% dengan penggunaan NRT. NRT terbukti berjaya dengan atau tanpa bantuan kaunseling tambahan serta tidak memerlukan preskripsi doktor. 

Dari sudut keselamatan, pelbagai kajian telah dilakukan khusus untuk melihat aspek keselamatan dan hasilnya sangat memberasangkan apabila hanya sedikit orang yang mengalami kesan negatif NRT. Bukti daripada rumusan yang lain jelas menunjukkan NRT adalah ubatan yang selamat untuk digunakan tanpa ragu-ragu.

Kesimpulan

Para perokok yang mengalami kesukaran untuk berhenti secara serta-merta (cold turkey) boleh beralih kepada terapi gantian nikotin dan berhenti secara beransur-ansur. Gejala sindrom sarak akibat penarikan nikotin (nicotine withdrawal) yang dialami oleh perokok dapat dikurangkan melalui kaedah ini.

Usaha untuk berhenti merokok kini telah menjadi semakin mudah dengan wujudnya Klinik Berhenti Merokok (KBM) di hospital dan klinik kesihatan kerajaan. KBM mempunyai pasukan yang lengkap dengan memiliki Pegawai Perubatan, Pegawai Farmasi, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat Terlatih. Sepanjang menjalani program KBM, pesakit akan mendapat bantuan kaunseling secara berkala yang akan diberikan oleh anggota yang berpengalaman.

Jika rawatan farmakoterapi diperlukan, ubat-ubat yang bersesuaian mengikut tahap ketagihan kepada nikotin akan diberikan. Di hospital dan klinik kesihatan kerajaan, terdapat dua jenis ubat-ubatan untuk berhenti merokok, iaitu terapi gantian nikotin (jenis gula-gula getah atau jenis tampalan). Kaunseling akan diberikan oleh Pegawai Farmasi kepada pesakit setiap kali rawatan farmakoterapi hendak dimulakan.

Oleh itu, mereka yang ingin berhenti merokok tidak perlu risau dan ragu-ragu untuk memulakan langkah ke arah masa depan yang lebih sihat dan bebas rokok. Pelbagai terapi dan bantuan sokongan boleh didapati. Mahu atau tidak? Tepuk dada tanya selera. Rujuk kepada doktor hari ini untuk berhenti merokok.


Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!

Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall