Pedih Ulu Hati

Penyebab, Gejala, Diagnosis Dan Rawatan Sakit Pedih Ulu Hati (Refluks)

Baca Soalan

Sakit pedih ulu hati tidak berasal dari hati atau jantung anda meskipun diberi nama sedemikian. Pedih ulu hati sebenarnya disebabkan refluks asid ke dalam esofagus daripada perut. Penyakit ini lebih dikenali sebagai Gastro Esophageal Reflux Disease (GERD).

Nama ulu hati diberi kerana sakit ulu hati selalunya dirasa pada bahagian bawah dada dan berdekatan dengan jantung. Pedih ulu hati boleh berlaku pada sesiapa pun. Ia sebenarnya merupakan perkara yang tidak begitu serius.

Anda harus berwaspada jika anda mengalami gejala penyakit pedih ulu hati atau GERD kerap.

Anatomi Bahagian Tengah Atas Perut

Apabila anda makan, makanan dikunyah akan memasuki kerongkong dan memasuki saluran makanan (yang dikenali sebagai esofagus).

Esofagus menjadi perantaraan yang membawa makanan daripada kerongkong anda kepada perut untuk proses pencernaan.

Perut pula mempunyai dua injap yang berfungsi sebagai penahan makanan daripada memasuki usus atau kembali kepada saluran makanan. Perut mempunyai sel and tisu yang berbeza daripada saluran makanan. Hal ini kerana perut perlu menghasilkan makanan dan mula mencerna makan yang berada d idalamnya. Penyakit GERD bermula apabila injap yang berfungsi menahan makanan daripada memasuki saluran makanan tidak berfungsi dengan baik. Ini menyebabkan asid perut yang kuat memasuki tiub saluran makanan anda. Tiub ini tidak diperbuat daripada tisu dan sel yang sama seperti perut anda.

Asid dan makanan yang terkeluar daripada injap tersebut boleh melukakan tiub saluran makanan anda dan memberi sakit ulu hati yang pedih dan nyeri.

Gejala Pedih Ulu Hati

Gejala yang paling kerap dialami oleh pesakit adalah kepedihan dan sakit di bahagian perut bahagian atas atau bahagian bawah dada.

  • Sakit ulu hati setelah makan yang boleh bertahan dari beberapa minit ke beberapa jam merupakan gejala penyakit GERD.
  • Kadangkala, anda juga akan merasa sakit dada terutamanya selepas anda bongkok atau makan.
  • Pesakit juga sering kali merasa sensasi membakar di bahagian belakang kerongkong atau seperti ada cecair yang terasa panas, masam, berasid atau masam dalam kerongkong.
  • Penyakit ini juga boleh menyebabkan batuk jangka panjang, sakit tekak atau suara yang serak.
  • Pedih ulu hati juga boleh disebabkan oleh sakit jantung atau sakit otot. Jika sakit jantung, anda akan rasa sesak atau tekanan yang kusam yang sakitnya berpusat di dada. Pesakit akan rasa seperti tali pinggang sedang diperketatkan di sekitar dada anda. Sakit akan merebak ke bahu sebelah kiri, leher, rahang atau lengan anda.
  • Sakit jantung juga akan reda selepas mengambil nitorglycerin (ubat bawah lidah) dan tidak reda dengan ubat gastrik.
  • Anda akan rasa sesak nafas dan juga mula peluh sejuk. Jika gejala penyakit anda begini, anda harus bergegas ke bilik kecemasan yang berdekatan dengan anda.

Penyebab Pedih Ulu Hati

Faktor risiko termasuk faktor-faktor yang meningkatkan pengeluaran asid di dalam perut serta masalah struktur yang membolehkan refluks asid ke dalam saluran makanan. Beberapa makanan yang anda sering makan boleh menyebabkan penghasilan asid yang lebih banyak.

Antaranya adalah: 

  • alkohol
  • kafein
  • aspirin (ubat cair darah)
  • ibuprofen
  • minuman berkarbonat
  • jus berasid (limau gedang, jeruk dan nanas) tomato
  • oren
  • coklat
  • Makanan yang penuh dengan lemak dan minyak juga boleh menyebabkan sakit ulu hati anda lebih teruk.
  • Asap yang dihisap daripada rokok juga boleh memburukkan keadaan luka dalaman anda.
  • Masalah fizikal seperti mengandung dan obesiti juga boleh menyebabkan tekanan dalam perut anda lebih tinggi dan boleh menyebabkan masalah GERD atau pedih ulu hati.

Cara-Cara Merawat Pedih Ulu Hati

Rawatan utama untuk penyakit pedih ulu hati yang berulang adalah untuk mengurangkan pengeluaran asid tersebut.

Perubahan dalam gaya hidup boleh membantu mencegah atau mengurangkan pedih ulu hati. Amalkan diet pemakanan yang sihat dengan mengurangkan pengambilan makanan yang berlemak dan berminyak.

Elakkan berbaring sejurus selepas makan dan duduk lurus sewaktu makan. Jangan mengangkat berat, kerana ini dapat meningkatkan tekanan dalam perut. Pantau makanan anda dan berwaspada dengan makanan yang dapat mencetus penyakit anda seperti alkohol, kafein, makanan pedas, susu krim penuh, air bergas, makanan ringan, tomato, limau atau jus oren. Cuba berhenti merokok dan mengurangkan berat badan jika berat badan anda berlebihan. Elakkan daripada mengambil makanan dengan banyak dan bahagikan makanan anda kepada bahagian yang lebih kecil dan makan dengan lebih kerap. Jika anda rasa sakit waktu tidur, tidur dengan kepala anda dinaikkan sebanyak 6 inci. Dengan ini, makanan dan asid perut anda tidak dapat naik semula ke salur makanan anda kerana daya graviti. Pedih ulu hati boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius.

Jika anda mempunyai gejala yang telah dijelaskan, dapatkan rawatan doktor dan ikut nasihat yang telah diberikan. Pedih ulu hati yang tidak dirawat dan dibiarkan boleh menyebabkan kanser esofagus , masalah pernafasan, esofagitis, dan masalah menelan dalam jangka masa panjang.

Doktor atau pakar farmasi anda boleh membantu memberi anda ubat antasid untuk membantu mengurangkan asid atau kesan asid pada perut anda. Penyakit pedih ulu hati merupakan masalah yang kecil dan akan hilang dengan masa dan rawatan secukupnya, tetapi jika anda rasa sakit semasa menelan atau rasa tersedak, mulut atau tekak anda sakit apabila anda makan, suara anda serak tiba-tiba, muntah yang mengandungi darah, ataupun anda rasa sukar untuk bernafas, hubungi doktor anda atau pergi ke bilik kecemasan dengan segera.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?