Adakah Rawatan Berhenti Merokok Dengan Ubat Berkesan?

Ubat Berhenti Merokok - Adakah Rawatan Berkesan? DoctorOnCall

Berdasarkan rekod Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 oleh Kementerian Kesihatan, rokok telah dikategorikan sebagai penyumbang utama kematian dengan 20,000 kematian setiap tahun.

Melalui kajian yang dibuat, statistik menunjukkan 22.88% atau lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok, manakala mereka yang berumur 20 hingga 54 tahun adalah perokok tertinggi. Majoriti dikalangan perokok adalah lelaki, dan golongan ini perlu dibantu melalui pendidikan kesihatan. 

Statistik ini telah membuktikan bahawa budaya merokok dikalangan masyarakat adalah satu perkara negatif yang perlu dibendung dan dielakkan terutamanya warga remaja yang bakal meningkat dewasa. Selain itu, kesedaran  dan kempen mengenai tips berhenti merokok juga perlu diperluaskan kepada golongan dewasa melalui kaca televisyen, media sosial dan akhbar. Dengan kaedah begini, informasi dan mesej kesihatan dapat disampaikan kepada rakyat Malaysia dengan efisien.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperuntukkan pelbagai agenda dan program bagi memastikan kadar perokok di negara ini dapat di kurangkan, secara tidak langsung bebanan kos rawatan penyakit kronik yang melibatkan masalah paru-paru dan jantung dapat direndahkan. Justeru pelbagai kempen, klinik berhenti merokok, khidmat kaunseling serta ubat- ubatan telah diperkenalkan bagi membantu perokok daripada terus dibelenggu ketagihan.

Kaedah Perubatan Moden Untuk Berhenti Merokok

1. Varenicline 

Varenicline merupakan sejenis pil ataupun tablet  yang diambil secara makan bagi mengurangkan keinginan dan ketagihan seseorang kepada rokok. Pada masa yang sama, ubat ini juga akan bertindak dengan mengawal kesan sampingan dan simptom yang dialami oleh individu selepas berhenti merokok. Mekanisma ubat ini juga berkemampuan untuk menyekat reseptor nikotin pada bahagian otak, secara tidak langsung kadar kenikmatan merokok dapat direndahkan dan mengurangkan ketagihan seseorang kepada rokok ataupun tembakau.

Untuk makluman anda, ubat Varenicline ini merupakan rawatan ataupun terapi pilihan yang terdapat di negara kita bagi membantu golongan yang berhasrat untuk berhenti merokok. Sebelum ubat ini diberikan, individu perlu melalui beberapa sesi kaunseling dan soal jawab dengan Pegawai Perubatan ataupun Pegawai Farmasi.

Menurut kajian, pengambilan Varenicline adalah ubat berhenti merokok paling berkesan setakat ini dan masih dipantau oleh pihak berautoriti.

Terdapat pelbagai cara mengenai manual penggunaan Varenicline. Sebelum pengambilan ubat ini bermula, anda perlu:

  • Menentukan tarikh spesifik untuk berhenti merokok
  • Mulakan pengambilan ubat ini dua minggu sebelum anda berhenti merokok berdasarkan arahan dan pantauan daripada doktor
  • Ubat ini perlu diambil secara berperingkat 

Hari 1-3

0.5 mg sekali sehari

Hari 4-7

0.5 mg dua kali sehari

Hari 8-14

1 mg dua kali sehari

Pengambilan dos ubat dinaikkan secara berperingkat adalah bagi mengurangkan kesan sampingan ubat Varenicline seperti mual, pening kepala dan mimpi aneh daripada berlaku. Teruskan pengambilan ubat mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh doktor sepanjang proses rawatan berlaku iaitu selama 12 minggu.


Anda dinasihatkan untuk makan terlebih dahulu sebelum mengambil ubat. Ubat ini perlu diambil bersama segelas air agar ubat tersebut mudah dilarutkan sepenuhnya didalam sistem penghadaman badan. Pengambilan ubat secara berlebihan melebihi kadar yang ditetapkan adalah salah dan membahayakan tubuh badan anda. Dikhuatiri, kesan sampingan dan komplikasi lain mungkin berlaku seperti:

  • Mual
  • Sakit kepala
  • Muntah, pening
  • Mengantuk
  • Masalah tidur
  • Sembelit 

Seandainya masalah seperti ini berlaku kepada anda selepas pengambilan ubat Varenicline, anda diminta untuk menghubungi doktor secepat mungkin bagi mengelakkan masalah lain berlaku.

Sebagai peringatan, ubat ini tidak sesuai bagi mereka yang tergolong dalam kategori di bawah: 

  • Mengalami masalah buah pinggang
  • Wanita yang menyusukan anak
  • Kanak-kanak

Sekiranya rawatan dengan ubat berhenti merokok KKM Varenicline ini berjaya dalam tempoh 12 minggu, doktor akan menambah tempoh rawatan kepada 12 minggu sebagai rawatan susulan bagi memastikan ketagihan dan keinginan merokok ini dapat dihilangkan sepenuhnya daripada tubuh badan seseorang.


2. Bupropion

Bupropion merupakan sejenis ubat yang digunakan didalam rawatan kemurungan (Depression) dan gangguan afektif bermusim (Seosonal Affective Disorder SAD).

Berdasarkan kajian, ubat ini mendapat kelulusan untuk membantu seseorang berhenti merokok. Keberkesanan ubat ini telah dibuktikan melalui kebolehannya untuk mengurangkan ketagihan dan kesan sampingan berhenti merokok dengan meningkatkan aktiviti hormon Dopamine dan Norepinephrine di dalam otak manusia. Seterusnya keinginan dan kemahuan seseorang untuk merokok dapat dihentikan.

Ubat ini perlu diambil secara berterusan bagi memastikan tahap efektif Bupropion didalam badan seseorang berada dalam keadaan optimum, secara lazimnya ubat ini perlu diambil dua minggu sebelum tempoh berhenti merokok. Sebagai permulaan, ubat ini akan diambil dengan kadar dos yang rendah bagi meminimumkan kesan sampingan ubat tersebut. Hasil kesan ubat ini dapat dilihat selepas 4 minggu, maklumkan kepada doktor sekiranya tiada sebarang perubahan ataupun kondisi anda bertambah teruk.

Untuk makluman anda, ubat ini mempunyai beberapa kesan sampingan yang perlu dipantau seperti:

  • Mulut kering
  • Sakit kepala
  • Masalah tidur
  • Gangguan emosi
  • Muntah
  • Sakit tekak
  • Berat badan menurun
  • Sembelit

Sekiranya masalah seperti ini berlaku, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor secepat mungkin. Sebagai peringatan, ubat Bupropion tidak boleh diambil sekiranya anda mempunyai penyakit:

  • Gangguan sawan (Seizure Disorder)
  •  Ganguan pemakanan seperti Bulimia dan Anorexia Disorder 

Ubat Bupropion digunakan secara meluas diseluruh dunia bagi membantu perokok yang berazam untuk berhenti daripada ketagihan. Namun begitu, ubat Bupropion ini tidak terdapat di Malaysia.

3. Terapi Gantian Nikotin

Terapi Gantian nikotin atau Nicotine Replacement Therapy (NRT) juga merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk berhenti merokok. Menurut kajian Cochrane pada tahun 2008, NRT mampu meningkatkan kadar berhenti merokok sebanyak 50% hingga 70%. Kaedah NRT ini bertujuan untuk mengurangkan ketagihan individu terhadap nikotin serta mengurangkan atau mencegah gejala-gejala ataupun kesan yang mungkin berlaku semasa seseorang ingin berhenti merokok. Berikut adalah jenis-jenis produk NRT yang terdapat di pasaran:

  • Lozenge nikotin (nicotine lozenge)
  • Semburan hidung nikotin (nasal spray)
  • Tampalan nikotin (nicotine patch)


Kesimpulan 

Beberapa Institusi kesihatan daripada Britain dan Amerika pernah menerbitkan kajian mengenai gejala merokok. Dalam penyelidikan mereka menyatakan bahawa tembakau dan rokok akan memudaratkan kesihatan diri dan masyarakat untuk jangka masa panjang. Budaya merokok ini juga bukan sekadar memudaratkan fizikal, malahan ia boleh membawa penyebab kepada pelbagai penyakit merbahaya dan membawa maut. Selain itu, budaya merokok secara berterusan boleh mengganggu tahap kesuburan seorang lelaki, menyebabkan kepada angin ahmar, masalah paru-paru, jantung dan kanser. Oleh itu, berhenti merokok adalah langkah terbaik untuk menjaga kesihatan anda dan orang sekeliling. Walaupun sukar, terdapat banyak bantuan yang disediakan bagi memastikan kejayaan anda berhenti merokok. Namun harus diingat, setiap penggunaan ubat-ubatan perlu mengikut panduan dan arahan yang diberikan oleh Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi yang berautoriti bagi mengelakkan masalah ataupun komplikasi lain berlaku. Sila rujuk kepada doktor untuk mengetahui tentang rawatan berhenti merokok.



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!



Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall