Melawan Kanser Serviks: Memahami Pilihan Rawatan Anda

Rawatan Kanser Serviks: Apa Yang Perlu Dijangka? - DoctorOnCall

Kanser serviks merupakan sejenis kanser yang menjejaskan serviks, iaitu di bahagian bawah rahim yang berhubung dengan faraj. Menurut Persatuan Kanser Amerika (American Cancer Society), terdapat dua jenis kanser serviks iaitu squamous cell carcinoma dan adenocarcinoma.

Jangkitan human papillomavirus (HPV) merupakan punca kanser serviks yang utama dan merupakan kanser yang keempat tertinggi dalam kalangan wanita di dunia. 

Dalam artikel ini, kami akan membincangkan peringkat-peringkat kanser serviks dan pilihan rawatan yang tersedia ada.

Pemeriksaan Kanser Serviks

Kanser serviks dikesan melalui ujian saringan yang memeriksa sel-sel pra-kanser, yang juga dikenali sebagai lesi pra-invazif atau dysplasia. Ujian saringan ini termasuk:

  • Ujian Pap: Prosedur ini mengumpul sel dari serviks untuk dianalisis bagi melihat perubahan yang boleh menunjukkan perkembangan kanser.

  • Ujian HPV: Ujian ini memerhatikan kehadiran jangkitan HPV berisiko tinggi dalam sel serviks.

Tahap Kanser Serviks

Tahap kanser serviks dapat menentukan kadar penyebaran kanser tersebut bagi mengetahui rawatan yang paling sesuai. Tahap kanser serviks termasuk:

  • Kanser Serviks Tahap 0: Pra-kanser

  • Kanser Serviks Tahap 1: Kanser telah menyebar dari lapisan serviks ke tisu yang lebih dalam tetapi hanya dijumpai di rahim dan belum menyebar ke organ tubuh yang lain.

  • Kanser Serviks Tahap 2: Kanser telah menyebar ke luar rahim dan ke kawasan seperti vagina atau tisu berhampiran serviks tetapi masih berada di dalam kawasan panggul dan belum menyebar ke organ tubuh yang lain.

  • Kanser Serviks Tahap 3: Tumor telah melibatkan bahagian bawah vagina dan telah menyebar ke dinding panggul dan noda limfa berhampiran. Ini boleh menyebabkan pembengkakan ginjal (dikenali sebagai hidronefrosis) dan gangguan fungsi buah pinggang.

  • Kanser Serviks Tahap 4 Kanser telah menyebar ke pundi kencing, rektum (saluran usus) atau ke organ tubuh yang lain.

Pilihan Rawatan Kanser Serviks

Pilihan rawatan kanser serviks bergantung kepada tahap kanser, kesihatan keseluruhan pesakit dan faktor lain. Berikut adalah beberapa pilihan rawatan:

Pembedahan

Pembedahan adalah rawatan utama untuk kanser serviks peringkat awal. Tujuan pembedahan adalah untuk mengeluarkan tisu kanser dan mana-mana kawasan berhampirannya yang mungkin terjejas. 

Terdapat pelbagai jenis rawatan pembedahan. Ini yang bergantung kepada saiz dan tahap kanser, beserta keinginan untuk merancang kehamilan pada masa depan.

  1. Biopsi kon: Melibatkan pembuangan tisu serviks yang berbentuk kon. Ini menjadi pilihan untuk wanita yang ingin mempertimbangkan kehamilan di masa depan.

  2. Trachelectomy: Ia mengeluarkan serviks dan beberapa tisu berhampiran, sementara rahim dibiarkan, membolehkan wanita menjadi hamil selepas prosedur tersebut.

  3. Histerektomi: Pembedahan ini melibatkan pengeluaran serviks, rahim, dan noda limfa berhampiran. Walaupun prosedur ini mampu menyembuhkan kanser serviks peringkat awal dan mencegah pengulangan, pembedahan ini menjadikan sukar untuk wanita menjadi hamil.

Radioterapi

Beam radiasi berkuasa tinggi digunakan untuk merawat kanser serviks dengan membunuh sel kanser. Prosedur ini juga digunakan bersama dengan kemoterapi sebagai rawatan utama untuk kanser serviks peringkat lanjut. 

Terdapat dua jenis radioterapi utama:

  • Radioterapi Luaran (external beam radiotherapy): Mengarahkan beam radiasi ke kawasan yang terjejas.

  • Terapi Dalaman (brachytherapy): Meletakkan punca radiasi di dalam atau berdekatan dengan kawasan kanser selama beberapa minit.

Kemoterapi

Kemoterapi adalah rawatan ubat yang menggunakan bahan kimia untuk membunuh sel kanser. Rawatan ini boleh digabungkan dengan rawatan radioterapi untuk kanser serviks peringkat lanjut ataupun digunakan secara sendirinya untuk membantu mengawal simptom kanser serviks yang teruk. Kemoterapi boleh diambil secara oral atau intravena.

Pemulihan dan Pemantauan

Mendapatkan rawatan pemantauan yang berterusan bagi tanda-tanda kanser serviks bersama pakar perubatan anda adalah penting untuk memastikan tiada penularan atau pertumbuhan semula kanser serviks, terutamanya bagi wanita yang menghidapi kanser serviks invazif. 

Pakar perubatan anda akan menyediakan jadual pemeriksaan berkala, termasuk ujian imej dan pemeriksaan fizikal.

Dalam beberapa kes, rawatan kanser serviks mungkin akan menjejaskan kesuburan dan hubungan kelamin. Hal yang demikian, anda perlu berbincang dengan pakar perubatan sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan atau pertanyaan berkaitan isu-isu ini.

Pencegahan dan Faktor Risiko Kanser Serviks 

Institut Kanser Nasional (National Cancer Society) mencadangkan untuk mengurangkan risiko perkembangan kanser serviks dengan:

  • Ujian pemeriksaan kanser serviks secara berkala

  • Mendapatkan vaksin HPV untuk mengelakkan jangkitan HPV

  • Menggunakan kondom

Anda juga perlu mengekalkan gaya hidup sihat, termasuk diet yang seimbang, bersenam dan menghindari diri dari merokok dan mengurangkan pengambilan alkohol. Pemilihan gaya hidup ini boleh membantu meningkatkan kesihatan secara keseluruhan dan mengurangkan risiko untuk mendapat kanser serviks.

Kesimpulan

Mengesan tanda-tanda awal kanser serviks dan mendapatkan rawatan yang betul adalah penting untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup. Ujian pengesanan kanser serviks secara berkala dan vaksinasi HPV boleh membantu mencegah kanser serviks. 

Sekiranya anda didiagnosis dengan kanser serviks, rujuk dengan pakar kesihatan anda untuk memastikan pilihan rawatan terbaik berdasarkan tahap kanser anda.




* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall