Tanda-Tanda Kanser Ovari Yang Anda Tidak Harus Diabaikan!

Masalah Haid atau Kanser? 5 Tanda Kanser Ovari Yang Mengejutkan! - DoctorOnCall

Kanser ovari merupakan sejenis kanser yang berkembang di dalam ovari yang merupakan salah satu organ pembiakan perempuan. Selain itu, ovari berfungsi untuk menghasilkan telur (ovum) dan hormon seperti estrogen dan progesteron.

Secara amnya, kanser ovari bermula apabila sel-sel abnormal berkembang di dalam satu atau kedua-dua ovari. Sel kanser ini boleh membiak dengan cepat dan menyerang tisu-tisu badan yang sihat, akhirnya membawa kepada kanser ovari.

Kanser epitelial ovari merupakan sejenis kanser ovari yang paling umum dan membentuk hampir 85 hingga 90% daripada semua kes kanser ovari yang agresif.

Adalah penting bagi kita untuk mengenali tanda-tanda dan gejala kanser ovari kerana pengesanan awal dapat meningkatkan peluang untuk pulih.

#1: Perut Kembung

Jika anda rasa kenyang dan menganggap ia hanya masalah angin, kemungkinan besar perut kembung yang berterusan boleh menjadi tanda awal kanser ovari.

Kanser ovari boleh memberi tekanan di dalam perut yang menjadikan ia bengkak dan membesar. Ini berlaku apabila sel-sel kanser berkembang dalam ovari atau tiub fallopio yang merupakan sebahagian daripada sistem reproduksi wanita.

#2: Masalah Haid

Kanser ovari boleh memberi kesan kepada kitaran haid seseorang, seperti pendarahan yang lebih berat atau tidak teratur.

Ketumbuhan di bahagian rahim atau tumor ovari boleh mempengaruhi kitaran haid seseorang dan menyebabkan haid terlewat atau tidak datang pada masa yang sepatutnya. 

Tumor ovari juga boleh menghasilkan estrogen yang menyebabkan kitaran haid yang tidak menentu atau pendarahan faraj luar biasa. Kanak-kanak ataupun remaja perempuan yang mempunyai tumor ini mungkin mengalami akil baligh, haid dan perkembangan payudara yang awal.

Adalah penting bagi kita untuk memperhatikan pendarahan yang tidak normal dan tanda-tanda kanser ovari lain untuk mengesan masalah yang mungkin timbul pada peringkat awal.

#3: Sakit Ketika Seks

Jika anda merasa sakit semasa atau selepas melakukan hubungan seksual bersama pasangan anda, ia boleh merupakan salah satu simptom kanser ovari. Kesakitan semasa bersama suami biasanya disebabkan oleh tekanan tumor ke atas rahim, serviks, atau organ-organ lain di dalam kawasan abdomen.

Kanser ovari juga boleh menyebabkan perubahan hormon yang mengakibatkan kekeringan faraj, yang juga boleh menyebabkan ketidakselesaan semasa melakukan hubungan intim.

#4: Sakit Abdomen

Sakit abdomen juga adalah salah satu gejala yang terdapat pada tahap awal kanser ovari dan boleh disebabkan oleh pertumbuhan tumor ovari. Ketumbuhan ini boleh menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan pada kawasan abdomen atau pelvis.

Dalam beberapa kes, tumor boleh berkumpul di dalam pelvis, abdomen, usus, serta diafragma dan menyebabkan ketidakselesaan dan sakit perut berpanjangan. 

Penting untuk diingatkan bahawa terdapat pelbagai faktor lain yang boleh menyebabkan sakit abdomen selain daripada kanser ovari. Contohnya, penyakit refluks gastroesofageal atau asid refluks dan masalah pencernaan lain juga boleh menyebabkan gejala ini berlaku.

#5: Tabiat Usus Tidak Normal

Perubahan tabiat usus seperti cirit-birit, sembelit, dan najis menjadi lebih halus yang berlarutan selama beberapa hari juga merupakan simptom kanser ovari.

Tanda ini boleh didiagnosis sebagai masalah gastrointestinal seperti sindrom iritasi usus (IBS) jika tidak diberi perhatian yang wajar. Oleh itu, adalah penting untuk doktor mempertimbangkan kemungkinan tumor pada bahagian ovari supaya kesilapan diagnosis dapat dielakkan.

Kanser Ovari: Diagnosis dan Rawatan

Apakah yang perlu anda lakukan sekiranya anda mempunyai faktor risiko kanser ovari? Langkah pertama adalah untuk mendapatkan nasihat doktor anda. Di samping bertanyakan sejarah kesihatan, pakar perubatan anda akan menjalani pemeriksaan fizikal serta imbasan bunyi (ultrasound) atau biopsi jika diperlukan.

Setelah diagnosis kanser ovari telah disahkan, doktor anda akan menentukan rawatan yang bersesuaian dengan anda. Terdapat pelbagai rawatan kanser ovari seperti pembedahan, kemoterapi, terapi sasaran (ubat-ubatan), dan radioterapi. Rawatan yang ditentukan akan bergantung kepada pelbagai faktor seperti saiz dan peringkat tumor, umur pesakit, dan kesihatan keseluruhan.

Walaupun simptom penyakit ini boleh dikaitkan dengan masalah kesihatan yang lain, anda perlu sentiasa berbincang dengan doktor sekiranya anda mempunyai sebarang kebimbangan, terutamanya jika anda pernah menjalani terapi penggantian hormon atau mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser ovari atau payudara.

Terdapat pelbagai cara untuk merawat kanser ovari dan rawatan yang betul dapat membantu anda untuk pulih daripada penyakit ini. Jika anda mengalami simptom-simptom yang dinyatakan, adalah penting untuk berjumpa dengan doktor anda secepat mungkin. 

Pengesanan awal adalah kunci bagi mendapat peluang yang lebih tinggi untuk sembuh dengan lebih cepat.

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall