Adakah Suntikan Perancang Kaedah Merancang Yang Sesuai Untuk Anda?

Jun 30, 2021 | Ditulis oleh: Lutfi Yunus

Suntikan Kontraseptif

Suntikan kontraseptif mengandungi progestogen. Progestogen merupakan bahan sintetik yang memiliki sifat yang sama seperti hormon progesteron. Hormon progesteron adalah hormon yang dihasilkan pada akhir kitaran haid. Suntikan akan dilaksanakan oleh ahli kesihatan profesional pada otot penerima, lazimnya di punggung, namun boleh juga diberikan di kawasan lengan.  

Bagaimana Ia Berfungsi?

Suntikan kontraseptif berfungsi dengan cara:

• Mencegah pelepasan telur atau ovulasi.

• Menjadikan lendir di pintu masuk rahim lebih tebal, sehingga menghalang sperma bertemu dengan telur.

• Menipiskan lapisan rahim, sehingga mengurangkan kemungkinan implantasi telur yang telah disenyawakan.

Sekiranya suntikan dilakukan dalam tempoh 1 hingga 5 hari pertama haid anda, ia akan memberi kesan kontraseptif segera. Sekiranya anda melakukan suntikan selain dari waktu tersebut, suntikan anda mungkin tidak akan berfungsi dengan segera, dan disyorkan untuk menggunakan kaedah kontraseptif tambahan seperti kondom selama 7 hari pertama.

Sejauh Mana Suntikan Kontraseptif Berkesan?

Ia memiliki lebih dari 99% kadar keberkesanan sekiranya digunakan dengan tepat.

Apa Kelebihannya?

Beberapa kelebihan suntikan kontraseptif termasuk:

• Setiap suntikan berfungsi selama 8 atau 12 minggu (bergantung pada jenisnya), oleh itu anda tidak perlu memikirkan tentang kontrasepsi setiap hari atau setiap kali anda melakukan hubungan seks.

• Anda boleh menggunakannya dalam tempoh anda menyusukan anak. 

• Ia boleh menjadi pilihan jika anda tidak boleh mengambil pil kontraseptif yang mengandungi estrogen.

• Selain memiliki sifat pencegah kehamilan, ia juga dapat mengurangkan gejala pendarahan haid yang berat dan/atau menyakitkan, serta membantu saat mengalami sindrom pramenstruasi (PMS).

Apakah Kesan Sampingannya?

Kesan sampingan yang boleh berlaku termasuk kenaikan berat badan, sakit kepala, gangguan emosi, dan sakit payudara. Sekiranya anda mengalami kesan sampingan, ia tidak dapat diatasi dengan segera, kerana produk suntikan tidak dapat dikeluarkan dari badan anda serta merta. Kesan sampingan akan berterusan selagi mana hasil suntikan kontraseptif masih aktif di dalam badan.

Anda mungkin mengalami haid yang semakin tidak teratur atau lebih lama, atau tidak datang haid sama sekali. Lazimnya tidak mengalami haid itu tidak berbahaya, namun berbincanglah dengan ahli kesihatan profesional anda jika pendarahan haid anda sangat berat atau lebih lama daripada biasa. 

Bergantung pada jenis suntikan kontraseptif yang anda gunakan, ia boleh mempengaruhi tahap estrogen dalam badan anda dan menyebabkan penipisan tulang. Namun, pembentukan tulang kembali berfungsi secara normal setelah suntikan dihentikan. Masalah penipisan tulang mungkin berlaku jika anda mempunyai risiko menghidapi osteoporosis, atau jika anda berusia di bawah 18 tahun. Hubungi ahli kesihatan profesional anda untuk mengetahui lebih lanjut.

Selepas kesan suntikan mula berkurang, tahap kesuburan anda mungkin mengambil waktu sehingga satu tahun untuk kembali normal. Kaedah kontraseptif ini tidak sesuai sekiranya anda ingin merancang untuk melahirkan bayi dalam waktu yang terdekat.


Rujukan:

Bercakap Dengan Doktor

Bercakap dengan doktor melalui panggilan video atau telefon tentang Perancang Keluarga. Mudah, tidak perlu menunggu

Konsultasi Doktor

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall