Penuaan

Apakah Penuaan Dan Cara Melambatkan Proses Penuaan

Baca Soalan

Pengenalan

Proses penuaan merujuk kepada proses di mana usia manusia meningkat. Proses penuaan merupakan sejenis proses yang berterusan sehingga mati.

Dari segi biologi, proses penuaan ialah proses di mana sel-sel di dalam badan kita berhenti bertambah. Proses penuaan bagi manusia melibatkan akumulasi perubahan sel-sel badan yang berkumpul setiap tahun. Perubahan sel-sel badan ini biasanya akan menjejaskan fungsi sel-sel tersebut. Akibatnya, sel-sel tersebut tidak akan berfungsi dengan tahap yang optimum dan jangka hayat sel-sel tersebut akan menjadi pendek. Kadar penuaan setiap orang adalah berbeza kerana setiap orang mempunyai gaya hidup serta faktor-faktor genetik yang berlainan.

Penuaan dini biasanya merujuk kepada proses penuaan yang lebih awal berbanding dengan orang yang sihat. Faktor penyebab penuaan dini biasanya ialah gaya hidup yang kurang sihat. Ciri-ciri penuaan dini adalah lebih kurang sama dengan penuaan biasa kecuali penuaan dini bermula pada usia yang lebih muda berbanding dengan penuaan biasa. Penuaan dini juga boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit progeria yang jarang ditemui seperti sindrom Hutchison-Gilford dan sindrom Werner.

Tanda penuaan

Terdapat pelbagai gejala dan tanda penuaan yang telah ditemui. Namun demikian, kemerosotan fungsi-fungsi organ semasa proses penuaan biasanya tidak akan menjejaskan keupayaaan warga emas untuk menjalankan aktiviti-aktiviti harian. Secara amnya, warga emas hanya akan mengesan kemerosotan fungsi badan mereka apabila mereka menjalankan aktiviti-aktiviti fizikal yang tenat atau apabila mereka telah menghidap sesuatu penyakit. Sebagai contohnya, fungsi jantung akan berkurangan jika usia telah meningkat. Oleh itu, jantung seorang warga emas tidak berupaya mengepam darah dengan banyak berbanding dengan jantung orang muda. Justeru itu, seseorang warga emas itu tidak akan berasa letih semasa berjalan atau memasak tetapi akan menjadi letih dengan cepat semasa menjalankan senaman aerobik atau berjoging.

Setiap organ di dalam badan kita mengalami proses penuaan pada kadar yang berbeza. Sebagai contohnya, kadar metabolik badan kita akan mula merosot selepas usia 20-an. Sebaliknya, pendengaran kita hanya akan merosot selepas kita masuk usia 50-an. Tanda-tanda fizikal penuaan biasanya akan bermula pada usia 30-an. Antara tanda-tanda fizikal penuaan yang kerap berlaku ialah:

  • Mudah letih terutamanya selepas menjalankan aktiviti fizikal

  • Ketinggian badan yang berkurangan

  • Tulang yang lebih rapuh dan mudah patah berbanding dengan orang muda

  • Sendi yang lebih ketat

  • Kulit yang lebih longgar dan kurang cerah

  • Rambut yang menjadi putih atau kelabu

  • Badan yang makin membongkok

  • Pergerakan badan yang terhad dan lebih perlahan

  • Sembelit atau pembuangan air besar yang lebih kurang

  • Kemerosotan peringatan, fikiran dan keupayaan untuk menumpukan perhatian

  • Kesukaran untuk mengawal kesimbangan badan

  • Lebih mudah untuk jatuh atau terhantuk perkakas di sekeliling badan

  • Refleks yang lebih perlahan

  • Pendengaran yang merosot

  • Penglihatan yang makin kabur

  • Kemerosotan otot-otot badan dan kesusutan berat badan

  • Waktu tidur yang lebih pendek

  • Luka yang mengambil masa yang lebih panjang untuk pulih

  • Lebih muda menghidap penyakit dan mengambil masa yang lebih panjang untuk sembuh sepenuhnya

  • Ketidaksuburan

  • Menopos bagi kaum wanita

  • Kemunculan penyakit-penyakit seperti darah tinggi, kolesterol tinggi dan kencing manis

Risiko penuaan

Proses penuaan merupakan sesuatu proses yang tidak boleh dicegah. Namun begitu, proses penuaan boleh dilambatkan. Jika proses penuaan itu dilambatkan, jangka hayat seseorang itu akan meningkat dan kualiti hidup adalah lebih baik berbanding dengan orang yang mengalami proses penuaan pada kadar yang lebih cepat. Oleh itu, setiap orang harus memahami faktor-faktor mempengaruhi proses penuaan agar langkah-langkah yang berkesan boleh diambil untuk melambatkan risiko penuaan.

Salah satu faktor utama yang mempercepat proses penuaan ialah pemakanan yang tidak sihat. Diet pemakanan yang kaya dalam kandungan karbohidrat dan gula akan mempercepat proses penuaan. Keputusan kajian-kajian telah membuktikan bahawa pengambilan karbohidrat dan gula yang kurang adalah berkesan untuk melambatkan proses penuaan dan memanjangkan usia. Selain karbohidrat dan gula, pengambilan minyak, lemak, garam dan makanan terproses yang berlebihan juga akan mempercepat proses penuaan kerana bahan-bahan ini akan menjejaskan keupayaan sel-sel di badan kita untuk membaiki kerosakan dan menjana sel-sel baru.

Selain faktor pemakanan, kekurangan aktiviti fizikal juga akan mempercepat proses penuaan. Badan kita diibaratkan sebagai mesin. Sesebuah mesin yang jarang digunakan akan berkarat dan tidak berupaya untuk berfungsi dengan baik. Oleh itu, jika seseorang itu tidak bersenam dengan kerap, organ-organ di dalam badan akan merosot pada kadar yang lebih cepat.

Tidur yang tidak berkualiti atau tidak mencukupi juga telah terbukti akan mempercepat proses penuaan. Mengikut keputusan kajian, orang yang hidup paling lama biasanya memperoleh tidur selama 6 hingga 7 jam setiap malam. Tidur yang kurang daripada 5 jam atau lebih daripada 9 jam setiap hari akan memendekkan usia dengan drastik kerana golongan ini akan mengalami risiko tinggi untuk menghidap penyakit kardiovaskular.

Dalam dunia yang moden ini, banyak orang yang mengalami stres dan tekanan yang lebih tinggi dalam hidup mereka. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa stres yang kronik akan meningkatkan paras kortisol di dalam badan. Paras kortisol yang tinggi ini akan menjejaskan ketegangan kulit, melemahkan sistem pertahanan badan dan meningkatkan risiko menghidap penyakit kardiovaskular.

Bagaimana menjaga kesihatan ketika usia tua

  • Pengamalan gaya hidup yang sihat adalah sangat digalakkan untuk melambatkan proses penuaan dan mencegah “sakit tua” seperti penyakit kardiovaskular dan barah.
  • Makanan yang mencegah penuaan dini terdiri daripada makanan yang mengandungi kandungan karbohidrat, lemak dan garam yang rendah.
  • Makanan yang tinggi dalam zat-zat vitamin, mineral, protein dan serat akan membantu proses pembaikan badan dan mengurangkan risiko menghidap penyakit kardiovaskular dan barah.
  • Berhenti merokok dan penjagaan berat badan dalam paras BMI 22 hingga 27 akan membantu untuk memanjangkan umur.
  • Selain mengamalkan pemakanan yang baik, senaman yang kerap adalah penting untuk melambatkan proses penuaan. Menurut kajian, senaman yang terlalu kurang atau terlalu banyak akan memendekkan usia. Oleh itu, warga emas digalakkan untuk menjalankan aktiviti fizikal seperti senaman aerobik, berjalan, berjoging, berkebun atau membuat kerja rumah sekurang-kurangnya satu jam sehari untuk mencegah penuaan dini.

Selain bersenam, tidur yang mencukupi antara 6 hingga 7 jam setiap hari juga adalah penting untuk membolehkan badan menperoleh rehat yang secukupnya. Penghindaran stres dan pengamalan pemikiran yang positif juga akan menyumbang kepada umur yang lebih panjang.

Selain itu, kajian telah menunjukkan bahawa warga emas yang berkahwin dan sering bergaul sosial dengan kawan-kawan mempunyai jangka hayat yang lebih panjang dan hidup yang lebih berkualiti berbanding dengan warga emas yang selalu keseorangan. Hobi-hobi seperti membaca, bermain alatan musik atau menyelesaikan teka-teki akan mengekalkan tumpuan dan peringatan dan mencegah kemerosotan fungsi otak.

Written by: Dr M Ramzdhan

MD , Crimea State Medical University

18 Aug 2018
Tanya Doktor PERCUMA
Kunjungi ePharmacy