Dikemaskini pada: Ogos 7, 2020
Terima kasih atas soalan anda. Sakit kepala adalah salah satu masalah yang biasa terjadi dalam kalangan masyarakat. Biasanya sakit kepala yang menyerang adalah disebabkan oleh sakit kepala jenis primari yang terbahagi kepada sakit kepala ketegangan atau “tension headache”, “cluster headache” yang biasanya menyebabkan kesakitan pada bahagian mata atau migrain yang biasa menyerang kaum wanita. Sakit kepala jenis ini selalunya terjadi akibat keletihan, tekanan dan kadang kala tabiat pemakanan seperti minuman berkafein.
Namun begitu, kita tidak dapat menyangkal bahawa sakit kepala juga boleh menjadi salah satu tanda kepada masalah yang lebih serius. Masalah ini dipanggil sakit kepala jenis sekunder atau “Secondary headache”. Sakit kepala jenis ini adalah disebabkan oleh masalah di dalam struktur kepala sama ada tulang, otak dan selaput otak. Masalah ini boleh disebabkan oleh pendarahan, jangkitan, atau ketumbuhan.
Oleh yang demikian, anda disarankan untuk merujuk perkara ini kepada doktor agar maklumat lanjut dan pemeriksaan dapat dijalankan. Ujian seperti ujian darah dan teknik pengimejan juga mungkin diperlukan agar diagnosis dapat dicapai dan rawatan yang sesuai dapat diberikan kepada anda.
Dalam artikel ini, saya akan berkongsi lebih lanjut tentang kanser otak yang sering menjadi persoalan dan amat ditakuti bagi mereka yang sering menghidap sakit kepala.
Kanser adalah keadaan di mana sel-sel yang tidak normal tumbuh dan hidup pada mana mana organ atau struktur tubuh. Sel-sel ini bersifat agresif, bertambah dengan cepat, memerlukan lebih banyak nutrient, boleh menekan atau mengganggu struktur sekitarnya serta boleh berpindah ke bahagian tubuh yang lain.
Sel-sel ini boleh hidup di otak bermula dengan sel otak sendiri atau sel kanser dari bahagian tubuh lain merebak ke bahagian otak melalui saluran limfa dan dipanggil “metastatic cancer”. Apabila sel-sel ini tumbuh di otak, ia akan hidup dan membesar dengan cepat. Seterusnya ketumbuhan ini boleh mengganggu struktur lain dalam otak. Ia biasanya akan menghimpit struktur sekitarnya serta mengakibatkan tekanan yang tinggi di dalam otak. Selain itu, sel kanser juga menyerap nutrient dengan lebih banyak dan memberi kesan negatif kepada struktur lain sekitarnya. Sel yang bersifat agresif serta boleh tersebar ke bahagian tubuh lain ini digelar “malignant tumour”.
Selain tumour yang bersifat agresif atau malignan ini, satu lagi jenis tumour dipanggil “benign” atau tumour jinak. Tumour jenis ini tidak membesar dan merebak ke tempat lain, namun ia tetap boleh menyebabkan gangguan kepada struktur sekelilingnya dan menyebabkan tekanan tinggi di dalam otak. Selain itu, struktur otak adalah struktur yang sensitif kerana mengandungi banyak saraf dan neuron yang penting bagi setiap inci fungsi tubuh. Oleh itu, untuk membuang ketumbuhan di kawasan ini adalah sukar dan amat berisiko.
Tumor otak timbul daripada pelbagai jenis tisu otak atau metastatik iaitu berasal dari tisu lain di dalam tubuh dan merebak ke otak melalui saluran limfa. Walaubagaimanapun, punca-punca perubahan sel normal ke sel kanser bagi kedua-dua tumor otak primer (asal) atau metastatik tidak difahami sepenuhnya. Data yang dikumpul oleh ahli penyelidikan menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai faktor tertentu lebih cenderung menghidap kanser otak. Antara risiko kanser otak adalah:
Umur - Kanser otak lebih banyak menyerang kanak kanak dan golongan berusia. Namun begitu, ia boleh terjadi kepada semua peringkat umur.
Jantina - Golongan lelaki didapati lebih cenderung untuk menghidap kanser otak. Namun begitu sesetengah jenis tumor otak lebih banyak berlaku dalam kalangan wanita berbanding lelaki.
Merokok
Terdedah kepada bahan pelarut, bahan bakar, racun serangga, bahan getah, atau “vinyl chloride” boleh meningkatkan risiko kanser otak. Namun begitu, tiada kajian yang berjaya membuktikan perkaitan bahan-bahan ini secara langsung dengan kanser otak. Namun begitu, pekerjaan seperti pekerja kilang minyak, pengendali bahan api jet atau bahan kimia, dan pekerja industri getah menunjukkan kadar kanser otak yang lebih tinggi daripada masyarakat umum.
Sejarah keluarga - sebanyak 5% tumor otak dikaitan dengan penyakit keturunan.
Terdedah kepada radiasi
Jangkitan virus HIV
Kaum dan etnik - Kajian menunjukkan tumor otak turut mempunyai kecenderungan berbeza bagi etnik dan kaum tertentu.
Jangkitan seperti Epstein Bar Virus dan Cytomegalovirus boleh meningkatkan risiko kanser otak.
Medan elektromagnetik: kebanyakan kajian tidak membuktikan perkaitan medan elektromagnet dengan risiko perkembangan tumor otak dalam kalangan orang dewasa. Walaubagaimanapun, penggunaan telefon bimbit haruslah dihadkan dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.
Kecederaan kepala dan sawan
Kompaun N-nitroso - N-nitroso yang terbentuk dalam badan adalah daripada nitrit atau nitrat yang terdapat dalam daging yang diawet, asap rokok, dan kosmetik. Walau bagaimanapun, penyelidikan selanjutnya perlu dijalankan untuk mengesahkan perkaitan bahan ini dengan kanser otak.
Gejala tumor otak bergantung kepada lokasi dan saiz tumor. Tumor boleh menyebabkan kerosakan langsung pada tisu otak atau menyebabkan tekanan pada struktur otak. Gejala yang dihadapi akan semakin ketara dan mungkin mengganggu fungsi tubuh seseorang apabila saiz tumor semakin membesar.
Sakit kepala adalah tanda awal kanser otak. Sakit kepala yang dihadapi akibat kanser otak biasanya menyerang pada waktu pagi dan bertambah teruk apabila melakukan aktiviti.
Sawan
Perubahan personaliti atau tabiat
Sering mual dan muntah
Keletihan walaupun mendapat rehat yang cukup
Kerap mengantuk walaupun mendapat tidur yang cukup
Sukar tidur atau menghadapi gangguan ketika tidur
Daya ingatan merosot
Sukar bergerak atau melakukan aktiviti seharian
Pelan rawatan kanser otak bergantung kepada beberapa perkara:
Jenis kanser, lokasi, saiz tumor, gred tumor
Adakah tumor tersebut menekan struktur penting dalam otak
Adakah tumour tersebut telah merabak ke bahagian otak atau tubuh yang lain
Kemungkinan kesan sampingan yang boleh menjejaskan pesakit selepas rawatan
Kesihatan umum pesakit
Pilihan pesakit
Doktor akan berbincang dengan pesakit mengenai rawatan yang sesuai. Antara rawatan yang boleh dijalani oleh pesakit kanser otak adalah:
Rawatan untuk mengurangkan gejala yang mengganggu pesakit boleh diberikan sebelum rawatan lain dilakukan. Contohnya pemberian ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan atau gejala mual dan muntah.
Pembedahan dijalankan untuk membuang sel-sel tumor dengan memotong tumor dari tisu otak yang normal. Pembedahan ini adalah berisiko tinggi kerana ia boleh menggangu bahagian otak yang lain sewaktu pembedahan dijalankan dan mengakibatkan kesan sampingan selepas pembedahan.
Penggunaan terapi radiasi
Kemoterapi
Radiosurgeri
“Targeted therapy” - Terapi ini menggunakan bahan yang ditujukan khusus untuk memusnahkan sel-sel kanser dengan memanipulasi faktor-faktor tertentu yang penting dalam tumbesaran sel-sel kanser.
Terapi fizikal, terapi pekerjaan, dan terapi pertuturan boleh membantu pesakit untuk pulih dan menjalani kehidupan seperti biasa selepas pembedahan.
Jika anda mengalami sebarang gejala yang merisaukan, sila berbincang dengan doktor anda. Pemeriksaan dan ujian tertentu harus dilakukan bagi mengenalpasti diagnosis yang tepat agar rawatan dapat diberikan sebelum kanser tersebut menjadi lebih parah. Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor-doktor kami di laman www.doctoroncall.com.my. Terima kasih.
Rujukan
Soalan berkenaan - kanser otak peringkat awal, tanda kanser otak peringkat awal, ciri ciri tumor otak, ciri ciri tumor otak jinak, cara mengobati kanker otak
Artikel ini dikemaskini dan diselenggarakan oleh DoctorOnCall. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai jawapan, sila email kami di contact@DoctorOnCall.com.my