Rahsia Di Sebalik Keunikan Rokok Paip. Benarkah Ia Selamat?

Rokok Paip, Antik Dan Unik. Adakah Ia Selamat? - DoctorOnCall

Pernahkah anda dengar tentang rokok paip? Menghisap tembakau daripada rokok paip adalah tabiat yang popular pada zaman 1960an. Biasanya ia digunakan ketika meraikan satu perayaan atau sambutan. Pada zaman ini, rokok paip kembali popular kerana nilai estetikanya dan terdapat banyak kedai rokok paip dibangunkan kerana permintaan yang semakin meningkat. Mereka yang menghisap rokok paip adalah biasanya golongan yang lebih berusia. Adakah rokok paip lebih selamat? Apa bezanya rokok paip dengan rokok batang? Baca artikel ini dengan lebih lanjut untuk menjawab persoalan ini. 

Kandungan Rokok Paip

Seperti rokok moden, rokok paip juga menggunakan daun tembakau. Daun tembakau rokok paip dikeringkan melalui proses pembakaran yang perlahan dalam tempoh beberapa hari atau berminggu untuk mendapatkan daun tembakau yang mempunyai kadar nikotin yang tinggi. Kebanyakkan daun tembakau rokok paip ditambah dengan perisa yang membuatkan asapnya menjadi lebih beraroma. Perisa seperti whiskey dan cognac akan disemburkan kepada daun tembakau dan rasa tersebut akan kekal segar.

Perbezaan Rokok Paip Dan Rokok

Oleh kerana rokok paip juga mengandungi tembakau, sudah tentu ia juga mengakibatkan kesan yang sama dengan kesan merokok yang lain. Sebagaimana rokok, rokok paip juga mengandungi bahan kimia berbahaya terutamanya bahan karsinogen iaitu penyebab kanser. Sebelum kita ulas dengan lebih jauh, mari lihat dahulu perbezaan antara dua rokok ini.


Rokok Biasa

Rokok Paip

Kekerapan penggunaan

Sekitar 17 batang sehari

Sekali atau 2 kali dalam sehari

Cara penggunaan

Menghisap asap rokok sehingga ke paru-paru

Menghisap hingga ke bahagian mulut sahaja

Kandungan Daun Tembakau

12.5 gram sekotak

3 gram sebatang

Bahan kimia

Mengandungi tar, karbon monoksida dan juga arsenik

Sama seperti rokok biasa

Harga

Lebih murah dan mudah didapati

Lebih mahal berbanding rokok biasa

Oleh kerana harganya yang agak mahal dan mempunyai nilai astetika tersendiri, rokok paip mungkin jarang digunakan. Oleh kerana nilainya, kebanyakan pengguna rokok paip adalah dalam kalangan mereka yang lebih berusia dan mempunyai taraf kewangan yang lebih baik. Namun adakah ia lebih baik daripada rokok biasa? Mari kita lihat alasan-alasan penggunanya dan rungkaikan kebenarannya. 

1. Jarang menggunakan rokok paip

Mungkin benar pengguna rokok tidak menggunakan rokok paip sekerap perokok biasa dan perbezaan yang jelas dilihat antara dua jenis rokok adalah kekerapan kegunaannya. Melalui data pihak CDC (Center for control disease and prevention) pada tahun 2016, seseorang perokok akan menghabiskan 17 batang rokok dalam sehari.

Secara puratanya, pengguna rokok paip akan akan menggunakan rokok paip dalam sekali atau dua kali sehari. Namun, adakah kerana ia tidak digunakan dengan kerap maka ia tidak berbahaya? 

2. Tembakau dalam rokok paip sedikit sahaja

Jika dibandingkan dengan daun tembakau rokok, sekotak rokok yang mengandungi 12.5 gram tembakau, semestinya rokok paip lebih sedikit. Rokok paip mengandungi 3 gram tembakau sahaja. Tetapi 3 gram tembakau mengandungi 150 milligram nikotin dan ini sahaja sudah mencukupi untuk nikotin menyerap masuk ke dalam saluran darah melalui mulut dan merosakkan tubuh anda. Jadi adakah tembakau rokok paip lebih selamat?

3. Cara menghisap yang berbeza

Pengguna rokok moden akan menyedut asap rokok hingga ke paru-paru untuk menikmati kesan nikotin. Bagi pengguna rokok paip pula, asap biasanya dibiarkan di dalam rongga mulut sahaja kemudian dihembuskan. Kesan nikotin diserap ke dalam saluran darah melalui rongga mulut sahaja. Ketahui jika anda bergantung kepada nikotin di sini!

Tetapi, jangan ingat ini tidak berbahaya. Kajian menunjukkan para pengguna rokok paip mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap kanser mulut berbanding perokok walaupun kadar penggunaannya lebih rendah. Jadi adakah anda masih rasa rokok paip selamat?

Adakah rokok paip lebih selamat daripada rokok biasa?

Jadi, mari kita jawab kembali persoalan tadi. Adakah rokok paip lebih selamat? Tidak sama sekali. Rokok paip mengandungi bahan kimia yang sama seperti rokok biasa. Rokok paip juga mempunyai 7000 bahan kimia berbahaya termasuklah bahan karsinogen penyebab kanser. 

Walaupun rokok digunakan lebih kerap dan mengandungi nikotin lebih tinggi berbanding rokok paip. Kesan bahan beracun daripada keduanya tetap memudaratkan. 

Oleh kerana memiliki nilai estetika, rokok paip juga dijual dengan harga yang tinggi. Ini juga adalah disebabkan oleh proses mereka bentuk kayu rokok paip serta penghasilan daun tembakaunya adalah lebih rumit. Oleh itu penggunaan rokok paip juga membakar wang di dalam poket anda dan adalah satu pembaziran. 

Antara perbezaan yang ketara yang boleh dilihat adalah rokok biasa jauh lebih murah dan mudah didapati di pasaran berbanding rokok paip yang mahal di pasaran disebabkan kayu yang digunakan untuk mereka bentuk rokok paip dan proses untuk menghasilkan daun tembakaunya. 

Biasanya rokok paip dijual di pasaran dengan harga RM100 - 550 sebatang dan tidak termasuk daun tembakau yang perlu dibeli secara berasingan.

Kesan Rokok Paip Pada Kesihatan

Sebilangan pengguna rokok paip percaya bahawa rokok paip tidak memudaratkan kesihatan seperti rokok biasa. Namun begitu, kesan tembakau di dalam rokok paip tetap mendatangkan risiko kepada kesihatan anda.

Seperti yang diterangkan di atas, cara penggunaan rokok paip meningkatkan risiko pada kanser mulut termasuk lidah, larinks (saluran pita suara) dan tekak. Rokok paip juga meningkatkan risiko menghidap kanser paru-paru, pankreas dan pundi kencing.

Selain itu, rokok paip juga boleh menyebabkan penyakit pulmonari obstruktif kronik yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas kerana kecederaan pada tisu sistem pernafasan. Terdapat juga laporan di mana rokok paip menyebabkan masalah gusi dan gigi. Malah, rokok paip boleh menyebabkan masalah seksual seperti mati pucuk

Untuk pengetahuan anda, perokok pasif bukan hanya terjadi apabila menghisap rokok sahaja tetapi ia juga boleh terjadi apabila membakar produk tembakau seperti menghisap rokok paip. Seperti rokok biasa, rokok paip juga boleh menghasilkan asap rokok basi (secondhand smoke) yang mengandungi 7000 bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan pada orang sekeliling anda seperti keluarga anda. Kanak-kanak yang menjadi mangsa pada asap rokok boleh mendapat penyakit seperti, jangkitan telinga dan paru-paru. Orang dewasa yang terdedah pada asap rokok basi mempunyai risiko penyakit jantung, kanser paru-paru dan strok.

Setelah mengetahui maklumat mendalam tentang rokok paip. Anda haruslah sedar bahawa rokok paip tidak selamat seperti yang dikatakan penggunanya atau penjualnya. Jadi, baik pengguna rokok, mahupun rokok paip. Berhenti merokok adalah jalan yang terbaik untuk anda hidup sihat dan selamat. Ingat, bukan sahaja untuk anda, tetapi juga untuk orang sekeliling anda terutamanya mereka yang tersayang. Rujuk kepada doktor untuk mengetahui cara-cara berhenti merokok hari ini!



Ingin berhenti merokok? Konsult doktor kami secara PERCUMA!


Rujukan:

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall