Klasifikasi Demam Denggi. Bagaimana Mengenali Gejala Bagi Setiapnya?

Jenis-jenis Demam Denggi

Terdapat empat jenis virus denggi (DENV1-4) yang telah dikenalpasti1,2. Demam denggi disebabkan oleh mana-mana satu daripada empat jenis virus ini. Keempat-empat jenis virus ini telah merebak di seluruh dunia dan boleh menjangkiti semua peringkat umur1. 

Malaysia adalah sebuah negara di mana denggi adalah hiperendemik3. Hiperendemisiti ditakrifkan sebagai keadaan di mana terdapat kejadian denggi yang berterusan dan tinggi4. Setiap empat hingga lima tahun, wabak denggi di Malaysia cenderung untuk melonjak lebih tinggi5. Tahun 2019 menyaksikan kes denggi tertinggi di negara kita dengan 131,101 kes dilaporkan6.

Virus denggi disebarkan oleh nyamuk Aedes, yang menggigit terutamanya pada waktu siang biasanya pada awal pagi dan pada waktu petang sebelum senja1. Virus ini beredar dalam darah individu yang dijangkiti (dieram) selama kira-kira 4-10 hari sebelum individu tersebut mula menunjukkan simptom demam denggi1. Anda boleh dijangkiti sehingga 4 kali sepanjang hayat anda. Jangkitan kedua yang disebabkan oleh jenis virus yang berbeza boleh meningkatkan risiko denggi yang parah1.

Walaupun kebanyakan jangkitan denggi adalah tanpa gejala, demam denggi bergejala dikelaskan kepada 2 jenis utama iaitu demam denggi (dengan dan tanpa tanda amaran) dan demam denggi parah1. Adalah penting untuk memerhatikan tanda-tanda amaran walaupun anda hanya menghidap demam denggi ringan kerana ia boleh menjadi lebih serius dengan cepat

Demam Denggi

Demam denggi berlaku disebabkan jangkitan oleh salah satu virus denggi1. Ia biasanya bermula dengan demam dengan suhu yang tinggi 4-10 hari selepas gigitan nyamuk Aedes yang membawa virus1. Gejala akut ini, biasanya boleh berlangsung selama 2 hari hingga seminggu. Tanda demam denggi lain yang mungkin anda hadapi semasa fasa ini termasuk1,2:


  • Sakit di belakang mata 
  • Sakit kepala yang teruk
  • Sakit otot dan sendi
  • Mual dan muntah-muntah
  • Bengkak kelenjar
  • Ruam kulit

Gejala demam denggi yang ringan mungkin boleh dianggap sebagai demam biasa. Oleh itu, pemantauan haruslah dilakukan terhadap pesakit yang mengalami gejala demam terutamanya dengan suhu yang tinggi. Sekiranya terdapat gejala yang membimbangkan, segera rujuk kepada doktor untuk pengesahan dan rawatan.


Tanda Amaran Denggi 

Demam denggi yang bermula dengan gejala ringan boleh menjadi lebih serius dalam masa yang singkat. Oleh itu, sila ambil perhatian terhadap tanda amaran denggi yang menunjukkan tahap jangkitan yang lebih serius. Gejala-gejala yang perlu anda ambil perhatian adalah apabila suhu badan menurun di bawah 38 C dan disertai oleh salah satu gejala berikut1,7:


  • Sakit perut yang serius
  • Muntah yang kerap dan berterusan
  • Pernafasan menjadi laju
  • Gusi berdarah
  • Muntah darah
  • Keletihan
  • Resah
  • Mengantuk


Denggi Parah

WHO sebelum ini mengklasifikasikan denggi kepada demam denggi dan demam denggi berdarah8. Namun, klasifikasi tersebut telah disemak semula atas beberapa sebab8:

Gejala boleh bertindih semasa fasa demam dan sukar untuk dibezakan

Denggi dengan renjatan boleh berlaku tanpa memenuhi semua kriteria Demam Denggi Berdarah (DHF)

Pesakit boleh mengalami kegagalan organ tanpa renjatan

Pengelasan awal tidak merangkumi keseluruhan spektrum denggi

Seperti yang dinyatakan di atas, WHO kini telah mengklasifikasikan denggi kepada tahap keparahan yang membantu dalam pengurusan pesakit8.

Denggi parah boleh membawa maut kerana kebocoran plasma, pengumpulan cecair, gangguan pernafasan, pendarahan teruk atau disfungsi organ1.

Demam Denggi Berdarah (DHF) 

Demam denggi berdarah (DHF) adalah salah satu istilah yang mungkin kerap anda dengari apabila bercakap tentang denggi. Jadi, apakah itu denggi berdarah?

Demam denggi berdarah sebelum ini disahkan melalui 4 kriteria utama iaitu9:


  • Demam dengan suhu yang tinggi
  • Pendarahan
  • Pembesaran hati (hepatomegali)
  • Kegagalan peredaran darah (bagi kes yang parah)

Seseorang yang mengalami demam denggi boleh mengalami gejala ini 3-5 hari selepas demam bermula dan ini mungkin menunjukkan demam denggi berdarah9.


  • Pendarahan
  • Kesukaran bernafas (efusi pleura)
  • Gelisah
  • Muntah
  • Sakit perut
  • Penurunan suhu secara mendadak

Apabila WHO menyemak semula garis panduan denggi pada tahun 20098, istilah demam denggi berdarah tidak lagi digunakan untuk klasifikasi jangkitan denggi.


Sindrom Kejutan Denggi (DSS)

Sindrom kejutan denggi (DSS) atau sindrom renjatan denggi berlaku akibat kesan kebocoran plasma yang teruk8,10. 

Kriteria diagnosis bagi renjatan/kejutan (shock) adalah seperti berikut10:


  • Nadi laju tetapi lemah
  • Tekanan darah rendah (hipotensi)
  • Kurang perfusi (pengisian semula kapilari lambat)
  • Kulit sejuk dan berpeluh
  • Keresahan

Ringkasan Klasifikasi Demam Denggi


Rujukan1,8

Apa Anda Perlu Buat Jika Dijangkiti Demam Denggi?

Adalah penting untuk mendapatkan rawatan segera jika dijangkiti demam denggi. Tiada rawatan khusus untuk demam denggi1, tetapi dengan diagnosis dan rawatan awal kebanyakan pesakit boleh pulih walaupun daripada denggi yang parah1. Kelewatan boleh menyebabkan kejutan atau kegagalan organ yang meningkatkan risiko kematian10.

Cara mengatasi demam denggi adalah dengan berehat, kekal terhidrat dan dapatkan nasihat perubatan11. Ubat-ubatan untuk mengurangkan demam dan kesakitan seperti paracetamol boleh diambil untuk mengurangkan gejala12. Bergantung pada keadaan, pesakit boleh dihantar pulang, dirujuk untuk pemantauan di hospital, atau memerlukan rawatan kecemasan dan rujukan segera13. 

Bagi denggi yang parah, rawatan perubatan oleh pakar perubatan dan jururawat yang arif dengan gejala dan perkembangan penyakit denggi boleh menyelamatkan nyawa, sekaligus mengurangkan kadar kematian kepada kurang daripada 1% di kebanyakan negara1.

Rujukan:

1. World Health Organisation. Dengue and Severe Dengue | https://tinyurl.com/46vwdxu7 | Accessed on September 23, 2022

2. Kaur. J. Demam Denggi. Portal | https://tinyurl.com/2kj8u8bx | Accessed on September 23, 2022

3. Rathakrishnan A, Klekamp B, Wang SM, Komarasamy TV, Natkunam SK, Sathar J, et al. (2014) Clinical and Immunological Markers of Dengue Progression in a Study Cohort from a Hyperendemic Area in Malaysia. PLoS ONE 9(3): e92021 | https://tinyurl.com/yck86uwh | Accessed on September 23, 2022

4. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Lesson 1: Introduction to Epidemiology | https://tinyurl.com/wtnp8djx | Accessed on September 23, 2022

5. Malaysia catat Kes demam Denggi Terendah Sejak Sedekad Lalu'. (2022, January 31) Berita Harian | https://tinyurl.com/4wc5pzmk | Accessed September 15, 2022

6. CodeBlue. (2020, January 6). Malaysia reports 130,000 dengue cases in 2019, highest since 2015 | https://tinyurl.com/26365jyk | Accessed on September 23, 2022 

7. Tanda-tanda amaran bagi jangkitan denggi yang teruk. World Health Organisation - Western Pacific Region. | https://tinyurl.com/5ayww5mr | Accessed on September 23, 2022

8. Ministry of Health Malaysia. 2015. Clinical Practice Guideline - Management of Dengue Infection In Adults (Third Edition) | https://tinyurl.com/yc7a2xwv | Accessed on September 23, 2022

9. Wang, W.-H., Urbina, A. N., Chang, M. R., Assavalapsakul, W., Lu, P.-L., Chen, Y.-H., & Wang, S.-F. (2020, March 26). Dengue hemorrhagic fever – a systemic literature review of current perspectives on pathogenesis, prevention and Control. Journal of Microbiology, Immunology and Infection | https://tinyurl.com/2p83nntx | Accessed on September 28, 2022 

10. World Health Organization. (1970, January 1). Comprehensive guideline for prevention and control of Dengue and dengue haemorrhagic fever. revised and expanded edition | https://tinyurl.com/4k8pvttr | Accessed on September 23, 2022

11. MIMS. Supportive Therapy | MIMS Malaysia | https://tinyurl.com/23p2arr7 | Accessed on September 23, 2022

12. MIMS. Dengue Treatment | MIMS Malaysia | https://tinyurl.com/3pavak3p | Accessed on September 23, 2022

13. MIMS. Dengue Diagnosis | MIMS Malaysia | https://tinyurl.com/4vuckzze | Accessed on September 23, 2022

C-ANPROM/MY/DENV/0088 OCT 2022


Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. 200901025887 (868989-K)

Penafian:

Maklumat di dalam laman web ini tersedia kepada umum untuk tujuan maklumat sahaja; ia tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis atau merawat masalah kesihatan atau penyakit. Ia tidak bertujuan untuk menggantikan khidmat nasihat daripada ahli perubatan bertauliah. Sila rujuk kepada ahli perubatan bertauliah untuk mendapatkan nasihat perubatan.