Kanser Paru-Paru: Punca, Gejala, Rawatan & Pencegahan

Kanser Paru-Paru A-Z: Segala Info Yang Anda Perlu | DoctorOnCall


Kenali Kanser Paru-Paru

Kanser paru-paru merupakan kanser ke-3 paling biasa dalam kalangan masyarakat kanser Ia juga merupakan punca utama kematian akibat kanser. Kanser paru-paru berlaku apabila sel-sel abnormal dalam paru-paru tumbuh secara tidak terkawal dan membentuk tumor yang boleh merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain. Mari kita lihat kenapa kanser ini sangat berbahaya dan cara mengurangkan risiko anda.

Apakah Penyebab Kanser Paru-Paru?

Terdapat beberapa punca dan faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap kanser paru-paru. Berikut adalah beberapa punca dan faktor risiko kanser paru-paru:

Punca Kanser Paru-Paru

      1.  Merokok

Merokok adalah punca utama kanser paru-paru. Rokok mengandungi lebih daripada 70 bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser. Oleh itu, individu yang merokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser paru-paru berbanding mereka yang tidak merokok.


      2.  Pendedahan kepada asap rokok

Orang yang kerap terdedah kepada asap rokok, khususnya perokok pasif, sama ada di rumah atau di tempat kerja, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru.


      3.  Pencemaran udara

Pencemaran udara, seperti gas beracun dan habuk, juga boleh menyebabkan kanser paru-paru. Individu yang tinggal di kawasan yang mempunyai tahap pencemaran udara yang tinggi atau bekerja di sektor perindustrian berisiko tinggi untuk mendapat kanser paru-paru.


      4.  Radon

Radon ialah gas radioaktif yang terdapat dalam tanah dan batu. Pendedahan berterusan kepada radon juga boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser paru-paru.

Faktor Risiko Kanser Paru-Paru

      1.  Usia

Risiko mendapat kanser paru-paru meningkat dengan usia. Kebanyakan kes kanser paru-paru berlaku pada orang yang berumur 65 tahun ke atas.


      2.  Genetik

Terdapat bukti bahawa faktor genetik boleh mempengaruhi risiko seseorang mendapat kanser paru-paru. Individu yang mempunyai sejarah kanser paru-paru mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi kanser ini.


      3.  Penyakit paru-paru kronik

Individu yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, seperti bronkitis kronik atau emfisema, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru.


      4.  Kurang aktif

Kajian menunjukkan individu yang kurang aktif mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru.


      5.  Pengambilan makanan yang tidak seimbang

Pengambilan makanan yang kaya dengan lemak dan kurang nutrisi boleh meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap kanser paru-paru.

Gejala Kanser Paru-Paru


Gejala kanser paru-paru adalah tanda yang menunjukkan kehadiran tumor di dalam paru-paru. Kebanyakan tanda-tanda ini muncul pada peringkat dimana penyakit itu telah menjadi lebih serius, namun beberapa gejala masih muncul pada peringkat awal. Berikut adalah beberapa gejala yang biasanya dikaitkan dengan kanser paru-paru:


  • Batuk kronik: Batuk yang berterusan selama 2 minggu atau lebih, terutamanya batuk yang semakin teruk atau berdarah, boleh menjadi tanda kanser paru-paru.


  • Kesukaran bernafas: Sesak nafas atau kesukaran bernafas juga boleh menjadi gejala awal kanser paru-paru. Ia berlaku semasa melakukan aktiviti berat seperti menaiki tangga.


  • Sakit dada: Sakit dada yang berterusan terutama di bahagian dada yang berdekatan dengan paru-paru juga boleh menjadi petanda kanser ini.


  • Kehilangan berat badan: Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan adalah tanda potensi kanser paru-paru. Pesakit juga boleh kehilangan selera makan serta berasa letih. 


  • Demam: Kanser paru-paru boleh menyebabkan peningkatan suhu badan. Demam adalah petunjuk ketidakseimbangan dalam sistem imun badan dan tidak boleh diabaikan.


  • Sakit kepala: Kanser paru-paru yang telah merebak ke otak boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk dan berterusan.


  • Pembengkakan pada wajah atau leher: Kanser paru-paru boleh menekan urat di dada dan menyebabkan bengkak di muka atau leher.


  • Perubahan suara: Kanser paru-paru yang telah merebak ke saraf yang mengawal suara boleh menyebabkan perubahan pada suara seperti serak.


Cara Mengesan Kanser Paru-Paru

Pengesanan awal kanser paru-paru adalah penting untuk memastikan rawatan yang lebih berkesan. Berikut adalah beberapa cara untuk mengesan kanser paru-paru:

      1.  Pemeriksaan Fizikal

Doktor perlu melakukan pemeriksaan fizikal untuk mencari tanda-tanda kanser paru-paru. Ini termasuk memeriksa pernafasan, degupan jantung, dada dan kawasan perut.


      2.  X-ray


Sinar-X atau X-ray adalah kaedah yang paling biasa digunakan untuk mengenal pasti kanser paru-paru. Ia merupakan ujian yang menghasilkan gambaran struktur dalaman paru-paru.


      3.  Imbasan PET 

Imbasan PET atau imbasan Positron Emission Tomography ialah kaedah imbasan yang menggunakan bahan radioaktif untuk mengesan tumor serta sel-sel kanser yang mungkin telah merebak ke bahagian lain badan.


      4.  Imbasan CT

Imbasan CT atau Imbasan Tomografi Berkomputer adalah kaedah yang lebih canggih daripada X-ray. Ia menggunakan teknologi komputer untuk menghasilkan imej tiga dimensi struktur dalaman paru-paru.


      5.  Biopsi

Biopsi ialah kaedah mengambil sampel tisu dari paru-paru untuk tujuan mengenal pasti sel kanser. Terdapat beberapa kaedah biopsi termasuk biopsi aspirasi jarum halus, biopsi bronkoskopi, dan biopsi mediastinoscopy.


      6.  Ujian Fungsi Paru-Paru

Ujian fungsi paru-paru dilakukan untuk memeriksa kesihatan paru-paru serta fungsinya. Ia boleh membantu doktor menentukan tahap kerosakan yang disebabkan oleh kanser paru-paru.


      7.  Ujian Darah

Ujian darah boleh memberikan petunjuk tentang kesihatan seseorang. Ujian darah seperti CA-125, CEA, dan SCCA boleh membantu mengesan kanser paru-paru.


Cara Merawat Kanser Paru-Paru

Rawatan kanser paru-paru adalah proses yang kompleks dan melibatkan pelbagai rawatan dan perubahan gaya hidup. Berikut adalah beberapa rawatan kanser paru-paru di Malaysia:

      1.  Pembedahan

Pembedahan biasanya dilakukan untuk membuang tumor dan tisu di sekeliling paru-paru yang terjejas. Pembedahan adalah pilihan utama jika tumor belum merebak ke bahagian lain di badan.


      2.  Radioterapi

Radioterapi menggunakan sinar-X dan sinar gamma untuk membunuh sel-sel kanser. Rawatan ini boleh dilakukan secara bersendirian atau bersama dengan pembedahan dan kemoterapi.


      3.  Kemoterapi 


Kemoterapi melibatkan penggunaan ubat untuk membunuh sel kanser. Ia biasanya digunakan dengan kombinasi rawatan pembedahan atau radioterapi. Contoh ubat kemoterapi ialah Carboplatin, Gemcitabine dan Cisplatin.


      4.  Terapi bersasar

Terapi bersasar ialah rawatan yang melibatkan ubat-ubatan yang direka khas untuk menyekat tindak balas sel kanser. Terapi ini juga berguna dalam pengurangan kesan sampingan kemoterapi. Contoh ubat terapi ini ialah Crizotinib , Ceritinib  dan Alectinib 


      5.  Imunoterapi 

Imunoterapi adalah rawatan yang melibatkan penggunaan ubat-ubatan untuk merangsang sistem imun pesakit untuk melawan sel-sel kanser. Rawatan ini digunakan dalam kombinasi dengan kaedah rawatan lain. Contoh ubat imunoterapi ialah Durvalumab, Atezolizumab  dan Pembrolizumab.

Tips untuk Menjaga Kesihatan Paru-Paru Anda


      1.  Berhenti merokok!

Penghentian merokok adalah langkah pencegahan yang paling berkesan untuk kanser paru-paru. Kurangkan kekerapan merokok atau bertukar kepada alternatif yang disyorkan oleh doktor untuk mengatasi ketagihan ini. 


      2.  Kurangkan pendedahan kepada asap rokok

Jika anda tidak merokok, pastikan anda mengelak asap rokok atau kawasan yang mempunyai asap rokok, termasuk kawasan awam. Pastikan bahagian dalam rumah anda bebas daripada asap rokok dan tiada orang yang merokok di kawasan tersebut.


      3.  Amalkan gaya hidup sihat

Gaya hidup sihat boleh membantu mengurangkan risiko kanser paru-paru. Sentiasa bersenam, dan elakkan penggunaan dadah berbahaya seperti heroin dan kokain yang boleh merosakkan paru-paru.


      4.  Ambil langkah keselamatan di tempat kerja

Jika anda terdedah kepada bahan kimia berbahaya di tempat kerja, pastikan anda mengambil langkah keselamatan yang sesuai seperti memakai pelindung pernafasan atau meminta majikan anda mengekalkan persekitaran kerja yang selamat.


      5.  Peranan makanan

Makanan yang kaya dengan antioksidan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran boleh membantu melindungi paru-paru daripada kerosakan sel serta mengurangkan risiko kanser paru-paru.

Makanan yang mengandungi nutrien seperti vitamin C, vitamin E, beta-karotena, dan selenium juga membantu mengekalkan kesihatan paru-paru untuk melawan penyakit.


      6.  Terapi penjagaan diri

Terapi penjagaan diri seperti yoga dan meditasi boleh membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan keupayaan tubuh untuk melawan penyakit. Terapi ini boleh membantu mengurangkan risiko kanser paru-paru.

Jangan Putus Harapan!

Natijahnya, pesakit kanser paru-paru tidak perlu berhenti berharap. Terdapat banyak perubahan positif dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan yang baik dapat membantu meningkatkan peluang sembuh dan kualiti hidup. Teruslah berjuang dan jangan putus harapan!

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall