Bagaimana Kanser Paru-Paru Dikesan?

Pengesanan Kanser Paru-Paru: Kaedah Terbaik Doktor | DoctorOnCall

Apa itu Kanser Paru-Paru?

Kanser paru-paru adalah sejenis kanser yang berlaku apabila sel-sel abnormal tumbuh secara tidak terkawal dalam tisu paru-paru. Paru-paru adalah organ yang terletak di dalam rongga dada dan bertanggungjawab untuk membawa oksigen ke dalam badan dan mengeluarkan karbon dioksida.

Kanser paru-paru adalah jenis kanser yang paling kerap dikesan dan merupakan punca utama kematian berkaitan kanser di seluruh dunia. Bagaimanakah kanser ini dikesan dan apakah kos ujian saringan kanser? Mari kita ketahui bersama-bersama.

Cara Mengesan Kanser Paru-Paru

Jika anda mengalami gejala kanser paru-paru atau mempunyai sejarah perubatan keluarga kanser ini, anda harus menjalani beberapa ujian diagnostik. Ujian ini digunakan untuk membantu doktor mengesan sel kanser paru-paru dan menentukan tahap dan jenis kanser. 

Ujian ini boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu ujian imbasan dan ujian lain.

Ujian Imbasan

Ujian imbasan adalah kaedah biasa yang digunakan oleh pakar perubatan. Terdapat beberapa jenis ujian imbasan yang digunakan untuk mengesan kanser paru-paru seperti: 


1. Ujian X-ray


Ujian x-ray digunakan untuk menghasilkan imej paru-paru. Ujian ini boleh mengenal pasti sebarang perubahan yang berlaku pada paru-paru. Ia juga boleh membantu doktor menentukan tahap kanser paru-paru.


2. Imbasan CT

Imbasan CT (Computed Tomography) ialah ujian imbasan yang menggunakan x-ray untuk menghasilkan imej paru-paru. Imej ini adalah lebih terperinci daripada imej x-ray biasa. Ia memberi maklumat lanjut mengenai kanser yang dihidapi.


3. Imbasan PET-CT

Imbasan PET-CT (Positron Emission Tomography-Computed Tomography) ialah ujian imbasan yang menggabungkan teknologi PET dan CT. Teknologi PET menggunakan bahan radioaktif untuk mengesan sel kanser yang aktif. 

Imej yang dihasilkan daripada ujian ini boleh membantu doktor menentukan tahap dan saiz kanser paru-paru.


4. Imbasan MRI

Imbasan MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) ialah ujian imbasan yang menggunakan gelombang magnet dan radio untuk menghasilkan imej paru-paru. Ini boleh menunjukkan tanda kanser pada paru-paru.

Imej yang dihasilkan daripada ujian MRI adalah lebih terperinci daripada imej x-ray atau imbasan CT.


5. Imbasan Tulang

Imbasan tulang ialah ujian imbasan yang digunakan untuk mengesan sama ada sel kanser telah merebak ke tulang. Bahan radioaktif disuntik ke dalam urat pesakit dan kemudian imej diambil untuk melihat sebarang perubahan pada tulang.


Ujian Lain

1. Bronkoskopi

Bronkoskopi adalah ujian diagnostik yang menggunakan instrumen khas untuk memeriksa saluran pernafasan di dalam paru-paru. Proses ini melibatkan tiub nipis yang dimasukkan melalui hidung atau mulut ke dalam saluran pernafasan. 

Pemeriksaan saluran pernafasan boleh menentukan kehadiran tumor atau perubahan lain.


2. Biopsi


Biopsi melibatkan pengambilan sampel tisu untuk menguji kehadiran sel kanser. Terdapat beberapa jenis biopsi yang biasa digunakan untuk mengesan kanser paru-paru, termasuk torakoskopi, mediastinoskopi, dan biopsi jarum perkutaneus.


  • Torakskopi/Thoracoscopy

Torakskopi adalah prosedur di mana tiub nipis yang dilengkapi dengan kamera dimasukkan ke dalam ruang antara paru-paru dan dinding dada. Ini membolehkan doktor melihat perubahan pada tisu paru-paru dan mengambil sampel untuk ujian biopsi.


  • Mediastinoscopy

Mediastinoscopy adalah prosedur di mana doktor memasukkan tiub nipis melalui lubang kecil di leher untuk mengambil sampel tisu daripada kelenjar limfa di mediastinum iaitu kawasan di antara dua paru-paru.


  • Biopsi Jarum Perkutaneus

Biopsi jarum perkutaneus melibatkan prosedur memasukkan jarum ke dalam paru-paru melalui kulit di dada untuk mengambil sampel tisu.


Apakah Risiko Biopsi?

Prosedur perubatan yang melibatkan pengambilan biopsi atau sampel tisu boleh membawa risiko jangkitan dan kerosakan pada organ berdekatan. Walau bagaimanapun, risiko ini jarang berlaku dan kebanyakan orang boleh menjalani biopsi dengan selamat.


3. Thoracentesis

Thoracentesis adalah prosedur di mana doktor akan memasukkan jarum ke dalam ruang antara paru-paru dan dinding dada anda untuk mengeluarkan cecair dari kawasan tersebut.

Ini boleh membantu mengesan tanda kanser atau jangkitan pada paru-paru.


4. Ujian Fungsi Paru-Paru

Ujian paru-paru melibatkan penggunaan alat khas untuk mengenal pasti tahap kesihatan dan fungsi paru-paru. Ini termasuk kapasiti paru-paru anda, kadar pernafasan dan kadar pertukaran gas.


5. Ujian Kahak/Sputum

Ujian kahak/sputum melibatkan pengambilan sampel cecair kahak untuk dianalisis di makmal. Ini boleh membantu mengesan sel-sel kanser atau tanda jangkitan lain  pada paru-paru anda.


6. Ujian Darah

Kanser boleh menyebabkan perubahan drastik dalam badan anda. Ujian darah boleh menunjukkan tanda-tanda awal kanser dalam badan anda. Sebagai contoh, peningkatan tahap protein yang dihasilkan oleh sel kanser.


7. Ujian Genetik

Ujian genetik pula digunakan untuk mencari mutasi dalam gen tertentu yang boleh dikaitkan dengan kanser paru-paru. Ini dapat membantu doktor anda menentukan risiko kanser paru-paru serta rawatan yang sesuai. 

Siapa Yang Patut Lakukan Ujian Saringan Kanser Paru-Paru?

Individu yang berisiko tinggi menghidap kanser paru-paru seperti perokok tegar disyorkan untuk mendapatkan pemeriksaan berkala kanser paru-paru. Selain itu, individu yang pernah menghidap kanser paru-paru sebelum ini, dan individu yang mempunyai sejarah keluarga kanser juga wajib melakukan ujian saringan kanser paru-paru.

Adakah Ujian Diagnostik Sakit?


Ujian saringan kanser paru-paru boleh menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan pada pesakit. Sebagai contoh, dalam ujian bronkoskopi, pesakit mungkin mengalami ketidakselesaan atau kesakitan apabila ia dimasukkan ke dalam saluran pernafasan mereka.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa ujian saringan kanser paru-paru adalah penting untuk mengesan kanser paru-paru pada peringkat awal, yang boleh membantu pesakit mendapatkan rawatan awal dan meningkatkan peluang untuk pulih sepenuhnya.

Di Mana Boleh Buat Ujian Saringan Kanser?

Anda boleh mendapatkan ujian saringan kanser paru-paru di Malaysia melalui pusat kesihatan dan hospital yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Beberapa pusat kesihatan yang menawarkan ujian saringan kanser paru-paru termasuk Klinik Kesihatan, Hospital Kerajaan dan Klinik Swasta. 

Anda boleh berbincang dengan doktor atau pakar kesihatan anda untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang ujian saringan dan tempat yang menawarkannya di kawasan anda.

Kos Ujian Saringan Kanser Paru-Paru


Kos ujian saringan kanser paru-paru di Malaysia bergantung kepada jenis ujian yang dijalankan dan klinik atau hospital yang menyediakannya. 

Antara jenis ujian saringan kanser paru-paru yang biasa dilakukan di Malaysia ialah ujian X-ray dan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan).

Kos ujian X-ray biasanya berharga antara RM50 hingga RM150. Kos ujian imbasan CT adalah lebih tinggi iaitu antara RM300 hingga RM2,000 bergantung kepada jenis imbasan CT yang dilakukan dan tempat ujian dijalankan.

Lakukan Pemeriksaan Hari Ini!

Kanser adalah penyakit yang sangat berbahaya. Kebanyakan orang masih tidak menyedari kepentingan saringan awal. Ia adalah sangat penting untuk mengesan kanser paru-paru pada peringkat awal supaya rawatan berkesan dapat diberikan dan peluang pesakit untuk sembuh juga meningkat.

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall