Kurangkan Risiko Anda: Panduan Pencegahan Kanser Serviks

Kondom atau Vaksin: Bolehkah Kanser Serviks Dicegah? - DoctorOnCall

Kanser serviks adalah sejenis kanser yang menjejaskan sel-sel serviks, iaitu bahagian bawah rahim. Ia berlaku apabila sel-sel abnormal berkembang secara tidak terkawal dalam serviks dan membentuk ketumbuhan yang dikenali sebagai tumor1.

Penyakit ini boleh dicegah dengan beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko anda. 

Berhenti Merokok

Merokok adalah faktor risiko utama yang mengembangkan kanser serviks. Tabiat ini boleh merosakkan sistem imun anda dan meningkatkan risiko kanser serviks dan lesi pra-kanser2

Jika anda seorang perokok, berhenti merokok adalah langkah terbaik bagi mengurangkan risiko umtuk mendapat penyakit.

Menggunakan Kondom

Menggunakan kondom boleh membantu anda mencegah kanser serviks. Kanser serviks adalah sejenis kanser yang kerap berlaku dalam kalangan wanita, namun dengan penggunaan kondom, ia dapat mengurangkan risiko jangkitan kelamin.

Kondom adalah alat yang berguna dalam mencegah penyebaran pelbagai jenis jangkitan seksual (STI), termasuk Human Papillomavirus (HPV). Dengan menggunakannya, peluang menghidap kanser serviks dapat dikurangkan jika virus ini tidak terdedah melalui hubungan seksual3.

Jauhi Dari Mempunyai Pelbagai Pasangan Seksual

HPV merupakan penyakit seksual yang boleh menyebabkan ketumbuhan pada alat kelamin, kanser serviks, serta beberapa jenis kanser yang lain.

Dengan menjaga kesetiaan hubungan atau berada dalam hubungan monogami dengan seseorang yang tidak mempunyai pasangan lain, anda dan pasangan anda dapat mengurangkan risiko jangkitan HPV4

Mendapatkan Vaksinasi HPV

Vaksin HPV berperanan untuk melindungi tubuh badan anda daripada jenis-jenis virus HPV yang dapat menyebabkan kanser serviks.

Walaupun vaksin tersebut berkesan untuk mencegah jangkitan HPV, ia tidak merawat sebarang jangkitan yang sedia ada.

Menurut American Cancer Society, vaksin HPV disyorkan bagi5:

  • Kanak-kanak perempuan dan lelaki berumur 9 hingga 12 tahun

  • Individu yang berumur 13 hingga 26 tahun

  • Remaja yang belum mendapat ketiga-tiga dos vaksin tersebut.

Walaupun mendapatkan vaksin HPV amat penting, namun ia tidak dapat menjamin bahawa kanser tersebut tidak akan berlaku. Oleh itu, pengesanan awal melalui ujian saringan amatlah penting bagi mengelakkan kanser menjadi lebih serius.

Ujian Saringan Kanser Serviks 

Melakukan ujian saringan secara berkala seperti ujian Pap dan HPV boleh membantu mengesan sel prakanser pada peringkat awal sebelum ia berkembang menjadi kanser yang lebih serius6.

  • Ujian Pap Smear: Ujian ini digunakan untuk mengesan perubahan dalam sel-sel serviks. Ia boleh menemui lesi prakanser dan kanser jika ada.

  • Ujian HPV: Ujian HPV mencari virus-virus HPV berisiko tinggi yang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser serviks.

Rumusan

Langkah proaktif ini tidak hanya memberi ketenangan fikiran, malahan memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencegah kanser serviks. Dengan mengambil inisiatif untuk mengubah gaya hidup dan menjalani ujian saringan secara berkala, anda boleh mengurangkan risiko kanser ini dan memastikan kesihatan anda terjaga dengan lebih baik.

* Inisiatif konsultasi doktor percuma disokong dan ditanggung sepenuhnya oleh DoctorOnCall