Sulit
3 tahun
Batuk, Lemah badan & masalah kulit
Saya wanita bujang 20-an yang mengalami masalah batuk yang berlarutan, dengupan jantung yang tiba² laju dan mudah sesak nafas. Badan pula selalu rasa lemah & keletihan. Kebas pada tapak tangan dan kekejangan pada otot kaki juga makin kerap berlaku. Saya juga mengalami simptom seperti demam dan berpeluh pada waktu malam.
saya turut mengalami kegatalan pada kulit yang tidak terkawal, sebenarnya dah bertahun masalah kulit ni. Kadangkala muncul bintik merah tanpa sebab. Dan sudah ada bahagian kulit menjadi sangat gatal, seakan bersisik serta kesan gelap seperti hangus. ianya seringkali menganggu waktu tidur saya. Saya juga telah diminta membuat ujian darah dan doktor ada memberitahu, sel darah putih sedikit meningkat dari kadar yang normal.
Saya diberikan antibiotik dll bekalan ubat dan bakal dirujuk pada Pakar di hospital.
Sementara menanti tarikh temujanji dengan Pakar, saya berasa stress dan risau jika nanti saya disahkah mengalami masalah yang serius. Oh ye, saya dulu ade childhood asthma. Mohon pendapat doctor. Terima Kasih.
Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan doktor.
Kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang anda hadapi. Untuk makluman anda, pemeriksaan yang lebih teliti adalah diperlukan bagi mengenal pasti samada kumpulan gejala yang anda hadapi berkaitan ataupun tidak. Terdapat pelbagai soalan mengenai sejarah kesihatan anda yang perlu ditanyakan. Sel darah putih yang meningkat boleh disebabkan oleh beberapa perkara, antaranya ialah:
- Jangkitan kuman : Sel darah putih boleh meningkat akibat jangkitan virus atau bakteria. Dalam sistem imunisasi badan yang normal, sumsum tulang akan mengeluarkan lebih banyak sel darah putih apabila serangan virus atau bakteria dikesan.
- Keradangan : Terdapat banyak jenis penyakit yang menyebabkan keradangan termasuk alahan dan jangkitan. Antara penyakit ini adalah asma, ‘rheumatoid arthritis’, Crohn’s dan sebagainya.
- Melecur atau terbakar : Bahagian tubuh yang melecur atau terbakar juga boleh menyebabkan keradangan dan jangkitan.
- Pembedahan : Selepas seseorang melalui pembedahan, jumlah darah putih akan meningkat. Doktor akan memantau tanda-tanda lain untuk memastikan perkara ini bukan berlaku akibat jangkitan pada luka pembedahan.
- Ubat-ubatan : Pengambilan ubat - ubatan seperti steroid boleh menyebabkan sel darah putih meningkat.
- Stres/tekanan : Tekanan emosi atau fizikal boleh meningkatkan jumlah sel darah putih.
- Penyakit sumsum tulang : Sumsum tulang adalah tempat penghasilan sel darah putih dan merah. Sebarang masalah di bahagian ini boleh menyebabkan penghasilan sel darah putih terlalu tinggi atau terlalu rendah.
Untuk mengetahui punca sebenar masalah yang anda hadapi, maklumat dan pemeriksaan susulan daripada pakar adalah diperlukan sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat. Setelah pemeriksaan yang menyeluruh, doktor akan memberikan rawatan yang terbaik bagi membantu menyelesaikan masalah anda. Justeru, buat masa sekarang, anda dinasihatkan untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut bagi mengelakkan stres.
Jika anda mempunyai keraguan, kami nasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan kesimpulan yang lebih tepat. Anda juga boleh klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor pakar kami secara peribadi. Terima kasih