
Sulit
4 tahun
Perut sakit berpanjangan
Hai doktor, saya lelaki 22 tahun mengalami sakit perut berpanjangan. sebelum ini saya ada gastriks dah sudah reda. namun sejak kebelakangan ini saya asyik sakit perut dan mengeluar kekadang najis pucat, najis berserta biji biji hitam dan nampak tompokan darah dalam najis. apakah yang mungkin saya hadapi, adakah gastrik yg membuat kan najis saya ada biji hitam. takde pulak saya makan buahan biji hitam dan sebagainya. minta pendapat dr

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang dituju.
Berdasarkan simptom-simptom yang anda hadapi sejak kebelakangan ini, kemungkinan masalah sakit perut dan pengeluaran najis yang pucat bersertakan biji-biji hitam ini boleh berkait dengan penyakit hati, hempedu hati dan juga pankreas yang membantu dari segi sistem penghadaman anda.
Untuk makluman anda, gejala najis pucat ini adalah disebabkan oleh masalah rembesan bahan kumbahan bilirubin, iaitu sesuatu bahan yang dikumuhkan dari darah. Ia dikumuhkan melalui sistem hati dan hempedu hati, dan bercampur dengan najis anda dan turut memberi warna coklat atau kuning pada najis anda. Oleh itu, sekiranya warna najis anda adalah pudar, maka terdapat masalah sistem aliran cecair hempedu atau rembesan cecair hati yang mengganggu rembesan tersebut.
Mengenai biji-biji hitam tersebut, terdapat kemungkinan bahawa itu adalah batu karang hempedu yang boleh menganggu aliran bilirubin tersebut bagi perkumuhan. Oleh itu, kemungkin besar bahawa anda tengah menghadapi masalah batu karang hempedu atau dikenali sebagai Cholethiliasis yang menyebabkan gangguan perkumuhan bahan bilirubin tersebut.
Perkumuhan Bilirubin yang terganggu boleh menyebabkan pengekalan dan pengumpulan bahan tersebut dalam darah dan hati, dan ini adalah satu perkara yang bahaya yang boleh menjejaskan kesihatan anda secara umum dan juga kesihatan hati anda. Anda mungkin akan mengalami kekuningan pada badan serta gatal-gatal jika perkara ini tidak diambil perhatian secepat mungkin. Oleh itu, kami sarankan anda untuk berjumpa dengan doktor anda bagi mendapatkan rawatan secepat mungkin.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tambahan, anda boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.