
Sulit
3 tahun
Badan Berangin Ketika Mengandung
Assalamualaikum & Salam Sejahtera Doktor.
Isteri saya berumur thaun dan sekarang usia kandungan baru berusia 9 minggu. Isteri saya kerap berasa pening dan merasakan angin yang terlampau banyak di dalam badan sehingga membuatkan sakit dibahagian perut. Isteri saya juga turut batuk seolah olah ingin muntah tetapi tiada apa yang keluar.
Saya ingin meminta nasihat doktor untuk apakah ubat atau makanan yang dapat membantu isteri saya membuang angin di dalam badan dan dalam masa yang sama tidak menjejaskan kandungan.
Sekian.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Walaikumussalam dan Salam Sejahtera,
Terima kasih kerana menghubungi kami.
Berdasarkan penerangan anda, kami memahami isteri anda yang sedang hamil mengalami gejala pening dan merasakan angin dalam badan sehingga sakit perut. Isteri anda juga mengalami gejala batuk. Anda ingin mengetahui tentang ubat dan makanan yang dapat membantu isteri anda. Kami akan cuba membantu anda.
Untuk makluman anda, gejala yang isteri anda alami boleh disebabkan oleh perubahan fisiologi yang normal semasa mengandung. Namun, ia juga boleh berpunca daripada patologi pada sistem penghadaman. Oleh itu, sebaiknya anda merujuk perkara ini kepada doktor untuk mendapatkan kepastian.
Walaubagaimanapun, terdapat beberapa cara untuk isteri anda mengatasi masalah badan berangin. Yang paling penting, penjagaan pemakanan. Isteri anda perlu mengesan jenis-jenis makanan yang menyebabkan badan berangin dan perlu mengelakkan makanan tersebut. Antara makanan yang sering dikaitkan dengan perut berangin adalah :
- Brokoli
- Kubis
- Kentang
- Kekacang
- Makanan bergandum
Selain itu, isteri anda juga boleh meningkatkan pengambilan makanan berserat atau mengambil supplemen serat. Kami juga menggalakkan isteri anda untuk minum air dengan banyak, dan mengelakkan minuman berkafein.
Kami menyarankan anda untuk merujuk kepada doktor sebelum mengambil sebarang ubat atau supplemen, terutamanya semasa mengandung kerana ia boleh membawa kesan sampingan untuk pertumbuhan bayi. Anda boleh menghubungi doktor kami secara atas talian supaya kami dapat membantu anda dengan lebih lanjut.
Terima kasih, kami berharap jawapan ini dapat membantu anda.
Klik di sini untuk bercakap dengan doktor.