
Sulit
3 tahun
Bayi Tidak Buang Air Besar Dalam Dua Hari
Salam sejahtera,
Saya mempunyai anak yang berusia 24 hari. Saya bagi susu badan dan juga susu formula setiap hari. Di awalnya, saya bagi susu formula Similac Total Comfort dan dia membuang air besar dengan kerap, satu hari sekurang-kurangnya enam kali.
Baru-baru ini, saya tukar dengan Similac Tanpa Laktosa dan saya mendapati anak saya tidak membuang air besar selama dua hari.
Saya menukar semula dengan susu yang saya gunakan di awal, tetapi hanya sekali saja dia membuang air besar. Najisnya kuning dan cair. Kuantitnya banyak memenuhi lampin. Sehari kemudian, dia tidak membuang air besar lagi.
Dia membuang air kecil agak banyak. Kekerapan menukar lampin sekurang-kurangnya lima kali sehari. Dia juga kerap kentut. Setiap tiga jam, saya akan susukan dengan susu formula sebanyak 100 ml. Dalam tempoh tiga jam, sekiranya dia ingin susu lagi, saya akan tambahkan susu badan.
Tidurnya tidak terganggu. Malam juga dia nyenyak seperti selalu. Cuma keadaannya membuatkan saya sedikit risau.
Apa nasihat atau saranan yang boleh doktor berikan?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Salam sejahtera,
Terima kasih atas soalan anda.
Berdasarkan pertanyaan anda di atas, saya memahami bahawa anda berasa bimbang tentang masalah anak anda. Saya akan cuba untuk membantu anda.
Untuk makluman anda, kekerapan untuk membuang najis seorang bayi bergantung kepada individu tersebut. Sesetengah bayi membuang najis sekali sehari, ada juga sekali dalam beberapa hari malahan ada juga sekali seminggu. Selagi perkembangan bayi anda sihat dan berat badan meningkat secara normal, anda tidak perlu begitu risau tentang bilangan kekerapan membuang najis.
Namun begitu sekiranya bayi anda mengalami simptom sembelit, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor. Antara simptom sembelit adalah:
- Bayi kerap menangis
- Kurang selera menyusu atau makan
- Meneran dengan berlebihan sehingga muka berubah warna merah tanpa keluar najis
- Najis yang sedikit dan keras
- Najis yang kering dan berwarna gelap
Oleh itu, saya menyarankan anda supaya merujuk anak anda kepada doktor untuk mendapat rawatan yang tepat. Anda boleh berhubung dengan doktor kami secara atas talian untuk mendapat maklumat serta rawatan yang lebih lanjut.
Saya berharap agar jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.
Klik di sini untuk bercakap dengan doktor