
aimansera.suwandi
5 tahun
Gejala COVID-19. Adakah unsur gejala yang saya alami perlu membuat saringan di hospital?
Saya seorang rider Foodpanda, saya ingin tahu ada perlu pergi ke hospital sekirangan terdapat unsur penat didada, bersin tapi tidak kerap, sedikit batuk. Walaubagaimana pun suhu badan saya masih diparas bawah 37 darjah celsius.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
5 tahun
Salam sejahtera. Terima kasih atas soalan yang diajukan.
Pertama sekali, terima kasih atas khidmat anda dalam masa negara kita dilanda wabak coronavirus.
Menurut laporan WHO, berikut merupakan gejala lazim bagi jangkitan coronavirus ini:
Demam (lebih dari 37.5 celcius)
Batuk
Sesak nafas
Sakit badan
Gejala penat di dada dan bersin adalah bukan gejala lazim dalam jangkitan ini.
Berdasarkan simptom sahaja, sukar untuk menentukan adakah ianya jangkitan covid atau masalah lain yang boleh menyebabkan gejala sama seperti berikut. Oleh itu, penilaian risiko hendaklah dilakukan bagi membantu pakar perubatan membuat keputusan serta menetukan keperluan untuk anda melakukan ujian saringan. Anda boleh melakukan ujian penilaian risiko COVID-19 untuk menilai status kesihatan anda berkenaan dengan wabak ini. Melalui ujian ini anda akan dikelaskan kepada beberapa kategori dan ikuti nasihat yang tertera di penghujung kuiz untuk langkah seterusnya. Langkah ini adalah bagi mengurangkan kesesakan di hospital serta mengelakkan anda untuk keluar dari rumah tanpa alasan yang kukuh
Buat masa sekarang, saya amat menyarankan supaya anda mengawasi gejala. Sekiranya ia berlanjutan atau semakin parah, anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mengetahui punca serta mendapatkan rawatan yang sesuai.
Selain itu, amalkan langkah pencegahan berdasarkan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penyakit Malaysia seperti berikut:
- Mencuci tangan dengan sabun dan air.
- Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut dengan tangan yang tidak dicuci.
- Jauhi daripada orang yang sakit terutamanya yang menunjukkan simptom jangkitan Coronavirus
- Elakkan daripada mengunjung kawasan tumpuan ramai orang
- Elakkan daripada memakan daging mentah atau yang tidak dimasak dengan sempurna
- Pastikan mulut serta hidung ditutup dengan tisu ketika batuk atau bersin dan buang tisu ke tong sampah
- Cuci permukaan objek atau barangan secara berkala.
Anda juga boleh merujuk doktor KKM dengan klik Tanya Doktor Pakar KKM di laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (COVID-19 Portal) untuk bertanyakan isu COVID-19 bermula dari jam 8.30 am hingga 5.00 pm.
Selepas jam 5.00 pm hingga 12.00 am, sila ajukan pertanyaan anda di laman sesawang DoctorOnCall pada link ini https://www.doctoroncall.com.my/tanya/
Di kesempatan ini juga saya ingin mengingatkan anda untuk tinggal di rumah seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa dan hanya keluar sekiranya perlu. Dengan kerjasama semua pihak, saya berharap wabak ini dapat dibendung sebelum ianya bertukar menjadi lebih parah. Terima kasih.
Sila layari https://covid-19.moh.gov.my/ untuk maklumat terkini dan garis panduan tentang COVID-19 dan Vaksinasi COVID-19
Untuk Membuat Janji Temu Vaksinasi COVID-19 Di Klinik Swasta, Klik Di Sini
Untuk Menempah Ujian PCR/Ujian RTK COVID-19, Klik Di Sini