
zahidmeor
5 tahun
Kahak berdarah setiap pagi
Saya berumur 23 tahun, saya kerap batuk batuk semenjak seminggu ini. Saya juga mengalami sakit tekak dan sakit telinga di sebelah kanan saya. Pada hari ke lima dan seterusnya, setiap kali saya bangun pagi, ketika saya membuang kahak, saya perasan ada darah bersama kahak tersebut. Adakah simptom sebegini petanda bahaya untuk kesihatan saya?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
5 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami.
Berdasarkan keterangan di atas, kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang dihadapi. Untuk makluman anda, kahak berdarah terutamanya di pagi hari boleh terjadi disebabkan banyak perkara, antaranya:
- Cuaca persekitaran panas terik ataupun sejuk kering. Persekitaran yang terlampau panas akan menyebabkan badan kita menjadi kering dengan cepat. Perkara ini secara tidak langsung juga akan menyebabkan mukosa dalam hidung dan tekak mengalami kekeringan. Justeru itu, apabila anda bangun tidur dan menghembus nafas terlalu kuat maka ia akan membawa kepada pendarahan.
- Jangkitan bakteria atau virus. Hal ini demikian kerana selesema dan keradangan tekak akan menyebabkan kepecahan saluran darah dalam hidung.
- Berlaku sebarang trauma kepada bahagian hidung dan tekak
Untuk mengetahui punca masalah yang anda hadapi dengan tepat, maklumat lanjut adalah diperlukan sebelum kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor. Klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Terima kasih.