
Sulit
3 tahun
Masalah gangguan jiwa/fikiran
DOKTOR,
Anak saya berumur 15 tahun, lelaki mengalami masalah sentiasa berfikir dan seolah-olah bercakap dalam diri sendiri. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak boleh fokus dalam setiap perkara yang dilakukan. Antara masalah yang beliau alami kesan dari gangguan ini ialah:
- Beliau langsung tidak boleh mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.
- Mengambil masa yang terlalu lama ketika mandi dan sentiasa perlu diberi arahan dari masa ke masa.
- Tidak dapat fokus semasa solat, sentiasa bergoyang-goyang badan dan banyak kesilapan ketika solat.
- Kurang makan kerana masanya sentiasa dipenuhi dengan berfikir yang bukan-bukan sehingga tidak dapat memberi tumpuan untuk makan. sentiasa perlu diingatkan untuk makan.
- Setiap perkara yang dilakukan perlu disuruh berkali-kali untuk dilakukan dan tidak dapat fokus dalam semua keadaan.
- Keadaan ini menyebabkan dia kelihatan gelisah, tidak tenteram, dan tidak ceria.
saya dapat kenalpasti masalah ini sedikit sebanyak berpunca daripada kemalangan berturut-turut yang dialaminya sehingga menyebabkan beliau patah sedikt tulang pada kaki dan semasa dalam tempoh rawatan terjadi pula kemalangan yang menyebabkan jarinya patah. Keadaan ini bertambah buruk dengan situasi PKP yang menyebabkan tidak boleh kemana-mana.
Apakah masalah sebenar anak saya dan bagaimanakah rawatannya.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Salam sejahtera, terima kasih kerana menghubungi kami.
Terlebih dahulu, kami faham kerisauan anda mengenai masalah yang dialami oleh anak anda di mana beliau tidak dapat menumpukan perhatian, berkelakuan pelik dan sentiasa meluangkan masa dengan berfikir. Namun jangan risau kerana kami akan cuba untuk membantu anda.
Ibu bapa yang mana tidak risau sekiranya anaknya menunjukkan perubahan negatif, bukan? Pada peringkat remaja, kebanyakan dari mereka akan memasuki fasa memberontak atau rebellious phase di mana mereka akan lebih suka untuk menyendiri, mengikut rakan-rakan sebaya dan mencuba benda baharu. Namun begitu, perubahan yang ditunjukkan oleh anak anda juga boleh disebabkan oleh:
- Masalah psikologikal:
- Stres atau tekanan emosi
- Kemurungan (depression)
- Keresahan (anxiety)
- Kecelaruan bipolar (bipolar disorder)
- Masalah personaliti
- Ketumbuhan di dalam otak juga boleh menyebabkan perubahan dalam tingkah laku seseorang
Sekiranya anak anda menunjukkan gejala ini, sila bawa beliau ke hospital dengan segera:
- Bertindak ganas tanpa sebab
- Sawan
- Membahayakan diri atau orang lain
Anda juga boleh berhubung dengan doktor kami secara atas talian untuk mendapatkan penerangan lanjut mengenai masalah yang dialami dan supaya kami dapat membantu anda dengan lebih lanjut.
Kami berharap jawapan kami membantu anda, terima kasih.
Klik di sini untuk bercakap dengan doktor kami.