
Sulit
4 tahun
Masalah psikologi: Bipolar Disorder
Saya mempunyai seorang rakan, rakan saya ini mempunyai mood yang sering berubah-ubah, ada masa dia seorang yang bahagia, ada masa dia tidak mempunyai mood, dia pernah bercerita kepada saya yang dia sering memukul wanita yang dia kenali, dia kata tiada sebab mengapa dia memukul mereka, namun dia sedar yang dia sedang memukul wanita itu. Dia menyatakan yang dia mula memukul wanita apabila dia berumur 15 tahun. Dia kadangkala menjadi seorang yang pelupa, contohnya, pagi tadi dia menelefon saya dan memarahi saya tetapi apabila saya bertanya kepada dia, dia menyatakan yang dka tidak melakukan perkara itu dan tidak mengingatinya. Ada masa dia akan tersengih2 seperti seorang kanak-kanak tetapi ada masa dia akan muram sahaja. Adakah perkara ini merupakan simptom bagi penyakit bipolar disorder?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera dan terima kasih untuk soalan anda.
Anda seorang kawan yang baik kerana prihatin terhadap rakan anda. Bagi mendiagnos seseorang dengan masalah psikiatri, pelbagai soalan dan mungkin ujian harus dilakukan untuk mengecualikan punca-punca bukan psikiatri yang lain. Untuk makluman pihak anda, masalah yang kawan anda alami boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Antaranya:
- Masalah personaliti
- Bipolar disorder
- Skizofrenia
- Depressi
Sebagai info tambahan, saya akan memberikan sedikit penjelasan tentang penyakit bipolar. Faktor risiko untuk seseorang mendapat penyakit ini adalah seperti:
Genetik- Jika ibu bapa atau adik-beradik anda mempunyai gangguan bipolar, anda lebih cenderung untuk mengalami penyakit ini berbanding dengan orang lain. Walaubagaimanapun, adalah penting untuk diingatkan bahawa kebanyakan orang yang mempunyai sejarah ahli keluarga dengan gangguan bipolar tidak semestinya akan mengidap penyakit bipolar.
Otak- Struktur otak anda mungkin memberi kesan kepada risiko untuk menghidap penyakit ini, terutamanya struktur atau fungsi otak yang tidak normal.
Faktor persekitaran- Keadaan ini bukan sahaja mengambil kira apa yang ada di dalam tubuh untuk risiko mendapat gangguan bipolar malahan faktor persekitaran luaran juga turut menyumbang. **Faktor-faktor ini termasuklah:
- Tekanan melampau
- Pengalaman traumatik
- Penyakit lain
Terdapat tiga gejala utama yang berlaku dengan gangguan bipolar: mania, hypomania, dan kemurungan.
Semasa mengalami mania, seseorang yang mengalami gangguan bipolar mungkin berasa teruja, impulsif, euphorik, dan penuh dengan tenaga. Semasa episod manik, mereka juga boleh bertingkah laku seperti:
- Berbelanja dengan banyak
- Seks tanpa perlindungan
- Penggunaan dadah
Hypomania biasanya dikaitkan dengan gangguan bipolar II. Ia sama dengan mania, tetapi tidak terlalu teruk. Tidak seperti mania, hypomania mungkin tidak menyebabkan sebarang masalah di tempat kerja, sekolah, atau dalam hubungan sosial. Mereka masih menyedari perubahan dalam mood mereka.
Semasa episod kemurungan, pesakit mungkin mengalami:
- Kesedihan yang mendalam
- Mudah putus asa
- Kurang tenaga
- Hilang minat terhadap aktiviti riadah atau hobi mereka
- Kekacauan kitaran haid atau terlalu banyak tidur
- Rasa ingin bunuh diri
Walaupun ia bukan keadaan yang jarang berlaku, gangguan bipolar menjadi sukar untuk didiagnosis disebabkan oleh pelbagai bentuk gejala.
Oleh itu, saya sarankan anda bercakap dengan rakan anda untuk berjumpa dengan seorang pakar psikiatri terutama sekali keran kawan anda mencederakan orang di sekelilingnya. Dapatkan penerangan lebih lanjut dan nasihat atau rawatan yang diperlukan di sini. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.