
norfatimahtaib
5 tahun
Pendarahan kehamilan ketiga
Saya berusia 29 tahun dan sedang mengandung 8 minggu. Ini adalah kandungan ke3 saya selepas 2 kali keguguran sebelum ini pada trimester 1. Sekarang saya mengalami pendarahan yang bermula 2 hari lepas. Darah hanya mengalir pada pagi hari pertama. Berikutnya pemeriksaan faraj sentiasa mengecewakan dengan kehadiran darah pekat berwarna merah. Kuantiti sekejap banyak sekejap sedikit. Ada darah berketul yang keluar bersama lendiran sewaktu membuang air kecil. Ketika hari pertama pendarahan saya telah mendapatkan rawatan kecemasan. Namun doktor menyatakan tiada bukaan rahim dan saya dibenarkan pulang untuk berehat. Keesokan harinya pendarahan masih berlaku dan saya ke klinik swasta. Doktor melakukan ultrasound dan menunjukkan keadaan kantung yang makin membesar dari scan sebelumnya. Namun masih belum dapat melihat denyutan jantung bayi kerana dr menyatakan kandungan belum mencecah 8 minggu ketika itu. Dan saya tidaklah mengalami sakit perut seperti kehamilan yang tidak berjaya sebelum ini. Cumanya ada mild cramp yang jarang berlaku sepanjang pendarahan. Apakah yang perlu saya lakukan? Adakah in tanda bahawa saya akan keguguran lagi? Adakah peluang untuk kandungan ini di selamatkan?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
5 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang anda ajukan.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Sila klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami.
Berdasarkan keterangan di atas, kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang dihadapi. Untuk makluman puan, masalah pendarahan pada awal kehamilan boleh disebabkan oleh pelbagai perkara. Antaranya:
- Pendarahan implan: Kadangkala pendarahan ringan yang tidak berbahaya boleh berlaku kerana penanaman telur yang telah disenyawakan pada dinding rahim terjadi sekitar masa haid anda sepatutnya berlaku.
- Perubahan pangkal rahim akibat kehamilan boleh menyebabkan pangkal rahim senang berdarah contohnya ketika hubungan seks.
- Keguguran: Kebanyakan keguguran berlaku semasa 12 minggu pertama dan malangnya kebanyakannya tidak dapat dicegah. Tanda-tanda lain keguguran termasuk kesakitan perut bawah atau pelepasan tisu dari faraj.
- Kehamilan ektopik berlaku jika telur yang disenyawakan ditanam di luar rahim seperti di tiub Fallopian. Apabila telur tersebut membesar, ia boleh memecahkan tiub Fallopian dan menyebabkan pendarahan yang mengancam nyawa.
- Kehamilan molar menyebabkan kehadiran tisu yang tidak normal di dalam rahim. Biasanya ia tidak berbahaya tetapi dalam kes yang luar biasa, tisu ini boleh wujud sebagai kanser.
- Pendarahan selepas hubungan seksual
- Sebab-sebab yang tidak berkaitan dengan kehamilan termasuk trauma atau luka pada dinding faraj atau jangkitan faraj.
Bagi kes puan, saya nasihatkan puan segera ke hospital/bilik bersalin untuk membuat scan susulan. Hal ini kerana pelbagai kemungkinan dan penyebab boleh terjadi apabila ibu mengandung mengalami pendarahan pada awal kehamilan.
Puan juga boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian. Terima kasih.