Simptom menopause apa yang perlu wanita ketahui?

Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang suri rumah berusia 50 tahun. Saya sudah berkahwin dan suami saya bekerja dengan sebuah syarikat swasta. Beliau berumur 53 tahun. Kami mempunyai 5 orang anak dan mereka sedang melanjutkan pelajaran mereka di universiti.

Sejak kebelakangan ini, saya perasan saya tidak lagi datang haid seperti selalu. Pada mulanya, saya ingatkan biasa sahaja tetapi perkara ini sudah berlarutan selama setahun. Saya juga sering kali berasa pening kepala dan tidak boleh tidur pada waktu malam. Saya sentiasa bangun pada waktu malam berpeluh-peluh dan jantung berdegup dengan kencang. Selain itu, saya juga mendapati muka dan leher saya sentiasa kemerah-merahan dan kuat berpeluh. Saya juga sering cepat sangat naik angin kepada suami saya tanpa soal siasat terlebih dahulu.

Di samping itu, beberapa hari yang lepas saya mendapati faraj saya sangat kering dan berasa gatal. Selalunya, ia tidak begini dan ini membuatkan saya khuatir terhadap keadaan kesihatan saya ini. Jika perkara ini berlarutan, saya bimbang kesihatan saya akan merosot dan kebajikan anak-anak saya tidak akan terjaga. Saya melayari internet untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara ini dan mendapati keadaan saya merujuk kepada banyak penyakit yang tidak pernah saya dengar sebelum ini seperti simptom menopaus. Bolehkah doktor memberitahu saya dengan jelas apa yang sedang berlaku kepada diri saya?
Anonymous
Selamat pagi, doktor. Saya seorang suri rumah berusia 50 tahun. Saya sudah berkahwin dan suami saya bekerja dengan ... See More
Saringan Kesihatan PERCUMA
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Adakah anda sedia untuk melawan jangkitan? Ketahui dalam 5 minit!
Mula Saringan Kesihatan PERCUMA
Terima kasih puan atas soalan tersebut. Berdasarkan apa yang puan ceritakan kepada saya ini, saya mendapati puan sedang mengalami menopaus. Menopaus merupakan sebuah fenomena di mana puan tidak mendapat haid untuk setahun atau lebih. Keadaan ini juga dikenali sebagai putus haid. Berikutan putus haid ini, puan akan mengalami beberapa simptom menopaus seperti berpeluh, cepat marah, kering dan gatal faraj dan banyak lagi, sepertimana yang puan ceritakan. Simptom ini akan dapat diatasi sekiranya puan mendapat nasihat dari doktor pakar sakit puan. Selain itu, lebih baik jika puan membawa bersama suami puan untuk konsultasi tersebut supaya beliau juga akan memahami apa yang puan sedang mengharungi dan memberikan sokongan kepada puan dalam waktu ini.

Buat masa sekarang puan tidak perlu risau dan haruslah pergi berjumpa dengan pakar perubatan yang akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai keadaan ini agar puan tidak perlu bimbang lagi. Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman web www.doctoroncall.com.my
Terima kasih puan atas soalan tersebut. Berdasarkan apa yang puan ceritakan kepada saya ini, saya mendapati puan se... See More

APAKAH ITU MENOPAUS?

Menopaus atau putus haid merupakan suatu keadaan apabila ovari wanita berhenti menghasilkan hormon estrogen sekali gus menyebabkan ketiadaan haid untuk setahun atau lebih.

Kejadian menopaus atau putus haid sering melanda wanita dalam lingkungan umur 50 tahun hingga 60 tahun. Menopaus tidak berlaku dalam satu hari atau semalaman. Ianya mengambil masa yang lama dan akan menunjukkan beberapa tanda sebelum individu tersebut akan putus haid sepenuhnya.

Tempoh waktu 12 bulan sebelum putus haid tersebut dikenali sebagai fasa “perimenopause”. Bermula dalam sekitar usia 30-an hingga 40-an, tahap hormon estrogen yang dihasilkan oleh ovari akan mula berubah sekali gus menyebabkan kitaran haid menjadi lebih lama daripada biasa atau menjadi lebih pendek malahan kuantiti pendarahan mungkin menjadi lebih ringan atau semakin berat.

APAKAH SIMPTOM MENOPAUS?

Berikut merupakan tanda-tanda seorang wanita sedang menghampiri fasa menopaus:

  • Perubahan kitaran haid.
  • Kuantiti pendarahan haid yang sedikit.
  • Haid mungkin tidak datang langsung pada bulan tersebut atau datang dalam tempoh 2 atau 3 minggu.
  • Haid akan berhenti terus.
Simptom paling ketara yang berlaku kepada wanita yang mengalami masalah menopaus ini ialah:

  • Sensasi panas pada bahagian muka, leher dan dada yang boleh menyebabkan seseorang itu peluh berlebihan dan kulit menjadi kemerah-merahan. Keadaan ini juga dikenali sebagai ‘hot flushes’.
  • Berpeluh apabila tidur pada waktu malam.
  • Kesukaran untuk tidur.
  • Nafsu atau ‘libido’ berkurangan.
  • Mengalami masalah memori dan fokus sering terganggu.
  • Faraj akan mengalami kekeringan serta gatal malahan akan berasa sakit apabila menjalinkan hubungan seks.
  • Sering sakit kepala.
  • Emosi cepat berubah dan sering kali berasa risau atau resah.
  • Jantung bedebar-debar dengan kencang.
  • Sendi berasa sakit atau kejang
  • Lebih mudah mendapat jangkitan kuman pada saluran air kencing.
Simptom di atas merupakan sebuah amaran atau tanda bahawa wanita tersebut sedang mengalami perubahan menopaus atau putus haid. Oleh itu, wanita tersebut tidak perlu panik apabila mengalami masalah ini sebaliknya berjumpa dengan doktor sakit puan supaya masalah mereka dapat diterangkan dengan lebih lanjut dan penyelesaian dapat dicapai.

APAKAH YANG WANITA HARUS TAHU TENTANG MENOPAUS?

Semua wanita harus tahu bahawa menopaus atau putus haid akan berlaku kepada semua wanita yang datang haid. Mereka seharusnya tidak panik apabila tanda-tanda ini bermula kepada mereka. Golongan wanita haruslah tahu bahawa mereka boleh mendapatkan nasihat daripada pihak doktor yang sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang buntu mengenai konsep menopaus ini.

  • Kaum wanita harus mengetahui simptom yang datang berikutan fenomena menopaus adalah disebabkan oleh fungsi ovari mereka yang kurang efektif lalu mengakitbatkan ketidakseimbangan tahap hormon dalam badan.
  • Di samping itu, wanita juga harus tahu serba sedikit mengenai komplikasi berikutan menopaus. Komplikasi yang paling umum ialah tulang reput atau lebih dikenali dengan “osteoporosis”. Oleh itu, wanita tersebut haruslah sentiasa mengamalkan pengambilan kalsium dan magnesium yanfg mencukupi supaya tulang sentiasa kuat dan tidak mudah reput.
  • Para wanita juga harus mengetahui bahawa simptom menopaus ini dapat dikurangkan dengan terapi hormon. Terapi ini membantu memulihkan kembali tahap hormon di dalam badan supaya simptom yang dialami semasa menopaus dapat diatasi agar wanita tersebut dapat menjalani kehidupan yang sihat sejahtera Kaum wanita juga harus mengetahui bahawa terapi hormon ini haruslah diambil atas arahan dan nasihat doktor sahaja. Hal ini demikian kerana dos dan kekerapan terapi tersebut haruslah dipantau selalu oleh doktor kerana dikhuatiri boleh mendatangkan barah payu dara atau barah berkaitan dengan rahim.
  • Seterusnya, para wanita juga haruslah menjalani pemeriksaan payudara yang dikenali sebagai ‘mammogram’ dan pemeriksaan faraj dan serviks atau ‘pap smear’ setiap tahun sebagai langkah pencegahan daripada penyakit berkaitan dengan kesihatan wanita.

APAKAH PETUA YANG UNTUK MENGHARUNGI MENOPAUS?

Golongan wanita yang menghampiri fasa menopaus haruslah mengambil nota tentang petua untuk mengatasi simptom menopaus. Hal ini demikian kerana sekiranya mereka yang tidak mempunyai pengetahuan menopaus akan mengalami kerisauan yang berlebihan. Justeru itu, kaum wanita harus bersiap sedia untuk mengharungi cabaran tersebut.

  • Petua pertama adalah mengamalkan gaya hidup sihat. Perubahan gaya hidup akan dapat membantu melancarkan aliran darah dalam badan dan mengelakkan sebarang penyakit kronik yang tidak dikehendaki.
  • Seterusnya, kaum wanita juga haruslah mengamalkan diet yang seimbang. Masalah ketidakseimbangan hormon dalam badan dapat diatasi dengan mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan kandungan nutrien yang tinggi. Para wanita juga haruslah banyakkan makan makanan yang mengandungi kalsium dan magnesium yang tinggi supaya dapat membantu mengukuhkan struktur tulang mereka sekali gus melambatkan proses reput tulang.
  • Akhir sekali kaum lelaki terutamanya golongan suami haruslah memahami apa yang sedang diharungi oleh para isteri dan memberi sokongan emosi kepada mereka. Oleh yang demikian kerana menopaus merupakan sebuah fasa yang akan diharungi oleh semua wanita maka bantuan suami dalam masalah kesihatan ini sangat bermanfaat maka keadaan rumah tangga yang aman juga dapat dicapai dan keluarga akan sentiasa harmoni.
Kesimpulannya, masalah menopaus atau putus haid akan dialami oleh setiap wanita. Mereka akan mempunyai simptom menopaus yang agak kurang selesa. Jadi, golongan wanita harus tahu serba sedikit sebagai persediaan dan berjumpa pakar sakit puan untuk mendapatkan maklumat dan nasihat lanjut.
Anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada doktor kami di laman web www.doctoroncall.com.my 

References