Pedih Ulu Hati

Apakah Penyebab Pedih Ulu Hati (Refluks)

Baca Soalan

Punca-punca pedih ulu hati

Terdapat pelbagai penyebab sakit ulu hati yang telah ditemui oleh pakar-pakar perubatan.

  1. Punca paling utama bagi penyakit pedih ulu hati atau “heartburn” ialah asid perut berlebihan yang masuk ke dalam esofagus.
    • Perut kita biasanya mempunyai dua injap, iaitu injap di bahagian atas perut atau “lower esophageal spinchter” dan injap di bahagian bawah perut atau “pyloric spinchter”.
    • Biasanya, “lower esophageal spinchter” atau LES akan menghalang asid dan makanan di dalam perut daripada memasuki esofagus.
    • Bagi sesetengah orang, LES mereka adalah lebih lemah dan tidak berfungsi dengan baik. Injap tersebut tidak dapat ditutup sepenuhnya dan asid perut akan masuk balik ke dalam esofagus.
    • Kondisi ini dikenali sebagai “gastro-esophageal reflux disease” atau GERD.
  2. Lapisan mukosa di bahagian esofagus adalah berbeza dengan lapisan mukosa di bahagian perut.
    • Lapisan mukosa di bahagian esofagus tidak mempunyai lapisan penebat yang berupaya mencegah penjejasan dari asid perut.
    • Justeru itu, asid perut akan menyebabkan tindak balas kimia dengan lapisan mukosa esofagus dan inflamasi akan berlaku.
    • Kondisi inflamasi ini akan menyebabkan keradangan dan kesakitan di bahagian bawah esofagus. Oleh sebab bahagian bawah esofagus terletak di bahagian dada, kesakitan di bahagian bawah esofagus akan dirasai sebagai kesakitan yang diibaratkan sebagai membakar di bahagian bawah dada atau “ulu hati”.
    • Kesakitan ini biasanya akan menjadi lebih teruk selepas makan kerana asid perut akan dihasilkan dalam kuantiti yang lebih banyak selepas makan untuk membantu penghadaman.
    • Injap LES juga akan menjadi lebih longgar semasa dan selepas makan untuk membolehkan makanan masuk ke dalam perut dari esofagus.
    • Akibatnya, lebih banyak asid perut akan memasuki bahagian bawah esofagus dan pesakit akan mengalami pedih ulu hati yang lebih serius.
  3. Mengikut kajian, banyak wanita yang melaporkan bahawa mereka pernah mengalami pedih ulu hati semasa mengandung.
    • Pedih ulu hati semasa mengandung adalah disebabkan oleh paras hormon progesteron yang meningkat semasa mengandung.
    • Hormon progesteron ini berfungsi untuk merehatkan otot-otot badan dan mencegah kekejangan.
    • Oleh itu, hormon progesteron akan melonggarkan otot-otot di injap LES dan menyebabkan pedih ulu hati.
    • Pedih ulu hati adalah lebih serius di trimester kedua dan ketiga kerana paras hormon progesteron pada jangka ini adalah lebih tinggi.
  4. Selain GERD, penyakit jantung kadang kala juga boleh menyebabkan kesakitan di bahagian bawah dada.
    • Oleh itu, seseorang yang mempunyai faktor-faktor yang meningkatkan risiko jantung seperti usia lebih tua, berat badan berlebihan, kencing manis dan darah tinggi harus berjumpa dengan doktor secepat mungkin apabila mereka mengalami kesakitan di bahagian “ulu hati”.

Written by: Sri Viknarajan A/L Puvendran

Universiti Hasanuddin, Indonesia – MEDICAL DEGREE (DR)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?