Badan Gemuk

Penyebab, Gejala, Diagnosis,Tips Dan Cara Turunkan Berat Badan

Baca Soalan

Menurut statistik obesiti di Malaysia 2018, Malaysia mempunyai lebih kurang 50% populasi yang mempunyai obesiti ataupun berat badan yang berlebihan. Ia juga bermaksud lebih kurang 50 peratus populasi malaysia mempunyai bacaan BMI yang melebihi 25. Masalah obesiti ini adalah membimbangkan kerana populasi yang sihat merupakan aset yang penting dalam pembinaan sesebuah negara yang berjaya. Fakta obesiti di Malaysia tidak dapat dinafikan dan perlu diberikan keutamaan.

Definisi obesiti 

Maksud obesiti menurut Kamus Dewan adalah gemuk yang disebabkan terdapatnya lemak yang berlebihan. Terdapat beberapa cara di mana kesihatan seseorang boleh diklasifikasikan mengikuti berat badan. Cara yang paling biasa digunakan adalah BMI ataupun dikenali sebagai body mass index (BMI). BMI merupakan cara pengukuran sama ada berat badan adalah sihat bagi ketinggian anda.

Anda boleh mengira BMI melalui formula:

Berat badan (kg) dibahagikan dengan ketinggian diganda dua kali (metre x metre).

Bagi kebanyakan orang dewasa, BMI boleh ditafsirkan mengikuti cara tersebut :

  • Kurang daripada 18.5 - kurang berat badan
  • 18.5 to 24.9 - berat badan yang sihat
  • 25 to 29.9 - berat badan berlebihan
  • 30-39.9 - obesiti
  • 40 dan ke atas - obesiti yang teruk

BMI memberikan bacaan yang tepat bagi kebanyakkan masa kecuali bagi seseorang yang mempunyai otot yang besar seperti atlet sukan..

Terdapat satu cara yang boleh membuat anggaran lemak yang berlebihan iaitu bacaan lilitan pinggang. Ia digunakan dengan BMI bagi individu yang mempunyai BMI yang melebihi 25. Secara amnya, lilitan pinggang lelaki dewasa melebihi 94cm ataupun lilitan pinggang wanita yang melebihi 80cm mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat masalah kesihatan yang dikaitkan dengan obesiti.

Gejala dan tanda obesiti

Obesiti boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti:

  • Sesak nafas

  • Peluh yang bertambah

  • Berdengkur

  • Ketidak-upayaan untuk mengatasi aktiviti fizikal yang mendadak

  • Berasa keletihan

  • Sakit belakang dan sakit sendi

  • Keyakinan rendah

Obesiti boleh meningkatkan risiko seseorang individu menghidapi masalah kesihatan seperti darah tinggi, kolesterol yang tinggi, diabetes mellitus dan penyakit kardiovaskular. Obesiti boleh menyebabkan perubahan dalam tubuh badan anda yang mungkin anda tidak perasan. Simptom obesiti mungkin boleh dikaitkan dengan komplikasi yang terjadi akibat kondisi ini, seperti sakit dada kerana sakit jantung atau kebas kaki kerana kencing manis.

Penyebab obesiti

Secara amnya, obesiti adalah disebabkan oleh pengambilan kalori yang berlebihan, terutamanya makanan yang mempunyai kandungan gula dan lemak yang berlebihan. Sekiranya kalori yang berlebihan tidak digunakan melalui aktiviti fizikal, maka ia akan ditukar kepada lemak dalam badan. Obesiti merupakan antara punca masalah kesihatan utama pada masa kini kerana kekurangan aktiviti fizikal dan pengambilan kalori yang berlebihan dalam kalangan populasi Malaysia. Bagi sesetengah orang, masalah tiroid (hipotiroidisme) boleh menyebabkan berat badan yang berlebihan apabila tidak dirawat.

Faktor risiko obesiti

Menurut definisi WHO (World Health Organization), faktor risiko merupakan ciri, pendedahan ataupun atribut seseorang yang meningkatkan kemungkinan mendapat sesuatu penyakit ataupun kondisi yang tertentu. Secara amnya, faktor risiko obesiti boleh dibahagikan dari segi pemakanan dan aktiviti fizikal.

  1. Pemakanan:

Pemakanan yang mengandungi kandungan lemak yang tinggi, sodium yang tinggi, gula tambahan yang tinggi dan alcohol adalah tidak digalakkan. Komponen-komponen ini adalah tidak baik untuk tubuh badan kita. Contoh-contoh makanan yang mengandungi bahan-bahan ini termasuk makanan segera, mee segera, minuman botol dan makanan yang telah diproses.

  1. Aktiviti fizikal:

Populasi malaysia mempunyai kadar aktiviti fizikal yang paling rendah di seluruh dunia, dengan lebih kurang 60 peratus orang dewasa mempunyai gaya hidup yang sedentari. Kekurangan aktiviti fizikal mempunyai impak yang besar kepada tubuh badan kita. Hal ini kerana metabolisme tubuh badan akan meningkat semasa aktiviti fizikal dan membantu kita membakar kalori yang berlebihan. Pada masa yang sama, aktiviti fizikal dapat meningkatkan prestasi sistem kardiovaskular kita.

Rawatan untuk obesiti:

Cara yang paling baik untuk merawat obesiti adalah pemakanan yang seimbang, sihat dan senaman yang kerap.

Untuk mencapai objektif berat badan yang sihat, anda perlu :

  • Pemakanan yang seimbang dan sihat yang mengandungi kalori yang mencukupi ( Dapatkan nasihat daripada doktor ataupun pakar pemakanan anda)

  • Menyertai kumpulan kurang berat badan di komuniti anda.

  • Lakukan aktiviti seperti lari, jogging ataupun berenang sebanyak 150 hingga 300 minit seminggu.

  • Makan sedikit tetapi lebih kerap dan elakkan situasi di mana anda akan makan secara melampau.

Anda juga boleh mendapat sokongan dan nasihat daripada pakar kesihatan tentang cara untuk makan dan penjagaan berat badan anda. Sekiranya perubahan gaya hidup tidak efektif untuk anda, anda mungkin memerlukan bantuan ubat-ubatan untuk pengurangan berat badan. Ubat Orlistat boleh membantu anda mengurangkan lemak yang diserap daripada badan anda. Sila berbincang dengan doktor anda sama ada ubat ini sesuai untuk anda ataupun tidak.

Langkah pencegahan untuk obesiti:

Langkah pencegahan dan rawatan obesiti mempunyai konsep yang sama dengan pengamalan gaya hidup yang sihat. Perubahan gaya hidup termasuk pemakanan, stres, pemantauan sendiri, senaman dan pengurangan aktiviti yang tidak aktif.

Contoh-contoh langkah pencegahan untuk obesiti termasuk:

  • Amalkan tabiat pemakanan yang sihat dan berat badan akan diperbaiki.

  • Ibu bapa perlu menjadi peranan yang baik kepada anak-anak mereka dengan pengamalan gaya hidup yang sihat.

  • Menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

  • Mengehadkan masa di depan televisyen ataupun komputer di bawah 2 jam. Jikalau anda perlu menggunakan bahan elektronik ini secara berpanjangan, sila mendapat rehat selepas sejam bagi setiap penggunaannya.

  • Galakkan anak anda makan apabila lapar dan makan dengan perlahan.

  • Elakkan makanan segera sebagai ganjaran atau hadiah bagi anak anda.

  • Hidangkan sekurang-kurangnya 5 bahagian buah-buahan ataupun sayur-sayuran setiap hari.

  • Galakkan anak minum air kosong dan elakkan air minuman yang manis.

  • Sentiasa memantau berat badan dengan mesin berat badan anda.

  • Elakkan makanan yang berkalori tinggi seperti burger dan kentang goreng.

Written by: SASHINI A/P SEENIVASAGAM

MBBS (Melaka-Manipal)

18 Aug 2018
Perlu Bantuan?