
Sulit
4 tahun
Sakit sendi + rasa nak demam tapi tidak
Saya lelaki berumur 21, nak tanya kenapa ya saya selalu rasa lenguh2 sakit sendi & badan rasa lemah mcm demam. Tetapi suhu badan normal. Tapak kaki sentiasa sejuk & perut rasa berangin bila ditepuk ada bunyi kembung. Lagi satu, saya senang sangat rasa semut pada kaki walaupun bersila cuma sekejap. Orang lain ok je, saya akan jadi masalah. Bila bangun perlu tggu seminit dua susah nak jalan. Kemudian rasa tu terus hilang. Saya selalu rasa lenguh2 sakit pinggang hingga ke lutut. Apakah cadangan dr? Nk check up pun masalah juga kerana kebiasaannya mereka hanya memberi nasihat & tidak ada rawatan susulan.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Selamat sejahtera dan terima kasih kerana mengajukan soalan kepada pihak kami.
Berdasarkan keterangan yang anda berikan, maklumat yang diberikan tidak mencukupi bagi memberikan jawapan yang dikehendaki. Terdapat pelbagai soalan mengenai sejarah kesihatan anda yang perlu ditanyakan. Namun, secara umum, kesakitan pada sendi boleh berlaku disebabkan masalah pada setiap struktur seperti kulit, otot, ligamen, atau pangkal saraf. Akan tetapi, tulang jarang menyebabkan timbulnya rasa sakit. Berikut merupakan antara penyakit yang boleh berlaku melibatkan sendi dan kawasan sekitarnya.
- Jangkitan pada sendi atau tulang
- Kecederaan atau trauma pada bahagian sendi.
- Keradangan sendi.
- Keradangan sendi yang berpunca daripada masalah reumatoid.- sakit ini dalam terma perubatan dikenali sebagai rheumatoid arthritis. Ia disebabkan oleh antibodi badan sendiri menyerang sel normal seperti sendi. Pesakit selalunya mengalami simptom seperti sendi terasa tegang ataupun sakit terutamanya pada waktu pagi.
Bagi kesakitan pada bahagian sendi, berikut merupakan jenis rawatan yang boleh untuk dilakukan.
- Meletakkan pek sejuk yang dibalut dengan mengunakan tuala pada bahagian sendi yang sakit. Kaedah ini adalah untuk mengurangkan kebengkakan dan kemerahan. Letak pek ais selama 30 minit secara berkala sehinggalah bengkak tersebut surut.
- Rehatkan sendi daripada apa-apa pergerakan sehinggalah sakit tersebut reda. Anda juga boleh untuk mengenakan splint bagi memastikan bahagian sendi tersebut direhatkan secukupnya.
- Pek panas juga diperlukan setelah bengkak surut untuk meringankan ketegangan sendi.
- Pengambilan ubat tahan sakit seperti paracetamol ataupun NSAID juga membantu untuk meredakan kesakitan. Untuk pengetahuan anda, ubat tersebut boleh didapati di farmasi.
- Ubat lain seperti antibiotik adalah bergantung kepada punca sakit sendi dan ubat ini diberikan dibawah pengawasan dan preskripsi daripada pengamal perubatan/ doktor
- Rawatan kepada sakit yang khusus hendaklah diberikan setelah diagnosis berkenaan sakit telah dikenalpasti.
Anda disarankan untuk segera berjumpa dengan doktor di klinik / hospital berdekatan sekiranya anda mengalami gejala;
- Sakit bertambah teruk ataupun tidak reda walaupun telah mengambil ubat-ubatan.
- Demam sakit sendi, sesak nafas, kebas dan lemah badan.
- Sakit yang menghalang anda daripada melakukan aktiviti seharian seperti makan, jalan dan juga bekerja.
- Mengalami masalah seperti cirit-birit
- Mengalami luka atau pun kecederaan
- Hilang keupayaan untuk mengawal kencing dan juga perkumuhan
- Penurunan berat badan yang signifikan
- Sendi yang kelihatan bengkak, merah dan terasa panas.
Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Untuk info lebih mendalam, sila klik link ( DoctorOnCall ) untuk berhubung dengan doktor kami secara peribadi. Terima kasih