
Sulit
4 tahun
Adakah Saya Sakit Mental
Saya wanita berusia 20 an. Saya sering rasa sedih berpanjangan, tiada semangat untuk melakukan kerja harian. Kerap penat dan letih, sering rasa hidup saya tidak berguna. Kadang kala saya rasa hendak bunuh diri dan benci dengan diri saya. Sejak zaman belajar hingga zaman kerja, rakan-rakan selalu when saya lurus. Sampai kadang jadikan Saya sebagai bahan ketawa. Mungkin pada mereka biasa, tapi tidak pada saya. Boleh bantu Saya?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang dituju.
Kami memahami kebimbangan anda mengenai masalah kemurungan yang anda lalui akibat daripada persekitaran anda seperti yang anda perihalkan. Untuk makluman anda, keadaan yang anda hadapi sekarang mungkin boleh disebabkan oleh masalah psikiatri ataupun tidak.
Namun, kami lebih memercayai bahawa masalah yang anda hadapi ini adalah berpunca daripada gangguan stress dan kegelisahan yang dipengaruhi oleh persekitran anda. Kami ingin galakkan anda untuk mencari alternatif untuk mengurangkan gangguan emosi anda seperti melakukan hobi, mencari rakan baru, luangkan masa dengan keluarga, serta terlibat dengan aktivti-aktiviti sosial dan kemanusiaan bagi meningkatkan semangat anda. Selain itu, kami juga ingin sarankan anda untuk berpegang kepada kepercayan anda agar sentiasa mempunyai harapan yang tinggi dalam kehidupan anda.
Kami juga ingin cadangkan anda untuk bersenam, kerana bersenam adalah salah satu cara untuk meningkatkan keyakinan diri serta bagus untuk kesihatan am anda. Anda juga boleh memohon temu janji dengan pihak kounseling bagi mendapatkan terapi tingkah laku yang mungkin membantu anda.
Selain itu, anda juga boleh berjumpa dengan doktor atau pakar psikiatri bagi memohon ubat anti-depressants yang mempunyai kelulusan KKM dan juga atas preskripsi doktor yang sah bagi membantu mengurangkan gejala kemurungan anda.
Sekiranya anda masih mempunyai kemurungan dan kecederungan untuk mencederakan orang sekeliling ataupun diri anda, anda boleh klik pada link ini ataupun menghubungi talian bantuan 24 jam Suicide helpline 60379568145.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tambahan, anda boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.