
Sulit
4 tahun
Benjolan keras seperti tulang di bahagian kanan atas dahi
Saya wanita berumur 25 tahun. Lima tahun yang lepas saya terlibat dalam satu kemalangan. Saya mengalami beberapa kecederaan kekal pada bahagian badan. Ketika kemalangan tersebut berlaku, bahagian atas dahi/kepala sebelah kanan saya terhantuk ke siling kenderaan sebelum terjatuh hingga menyebabkan lampu bahagian atas kenderaan tersebut retak. Ketika terhantuk saya turut merasakan & dengar bunyi rahang dan gigi saya terkatup. Namun sakit di bahagian kepala ini tidak terasa kerana ada beberapa bahagian badan sebelah kiri saya lebih merasakan sakitnya.
Apabila di hospital, Dr buat check up tertumpu kepada bahagian badan saya lebih daripada bahagian kepala. Dan saya juga tidak teringat akan sakitnya kepala dan rahang ketika itu. Lama kemudian, setelah sembuh sepenuhnya, saya baru perasan terdapat benjolan keras seperti tulang di bahagian atas dahi saya. Benjolan itu terletak di bawah rambut, betul-betul di bahagian penghujung dahi, agak kelihatan apabila saya menyelak rambut bahagian depan saya.
Tiada rasa sakit atau apa-apa yang tidak selesa, cuma saya tidak pasti sama ada ia membesar atau tidak. Mohon pencerahan dari Doktor, adakah saya perlu dapatkan rawatan pakar atau ianya boleh dibiarkan sahaja. Terima kasih.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Hai, terima kasih kerana menghubungi kami untuk bertanyakan masalah anda. Saya fahami kebimbangan anda pada masa ini tentang benjolan di kepala. Terlebih dahulu saya mengucapkan takziah atas apa yang telah berlaku kepada anda. Semoga anda diberikan kesihatan berpanjangan.
Untuk makluman anda, saya tidak boleh menyimpulkan apakah benjolan yang berada di kepala anda kerana saya perlu untuk melakukan pemeriksaan secara fizikal terlebih dahulu. Namun begitu, di sini saya senaraikan beberapa perkara yang boleh menyebabkan benjolan di kepala berlaku:
- Kesan trauma di kepala
- Sista (cyst)
- Lipoma
- Keradangan akar rambut
- Rambut yang tidak keluar (ingrown hair)
Saya menasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor bagi pemeriksaan susulan. Tambahan, sekiranya anda mengalami gejala di bawah, sila bersegera ke hospital atau klinik
- Benjolan yang membesar
- Sakit
- Bertukar warna, merah atau lain lain
- Keluar nanah
- Berpanjangan dalam tempoh yang lama
Untuk mengetahui lebih mendalam tentang kondisi yang anda sedang alami, anda juga boleh mendapatkan konsultasi dengan doktor kami di (DoctorOnCall) secara peribadi. Terima kasih.