
Sulit
4 tahun
Kembung perut dan lenguh pinggang
Saya berusia 21 tahun… sudah berkahwin tetapi keguguran…sudah 5 bulan saya keguguran… sekarang ini saya mengalami kembung perut lebih kurang 3 minggu diikuti dengan lenguh pinggang di bahagian belakang… adakah ini merupakan simptom bahawa saya hamil kerana sebelum ini saya juga pernah mengalami masalah seperti ini… tapi saya tidak tahu akan kebenarannya…

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang dituju.
Kami memahami kebimbangan anda mengenai masalah kembung perut dan juga perasaan lenguh pada pinggang yang berlaku sejak 3 minggu yang lalu. Untuk makluman anda, masalah yang anda hadapi tersebut mungkin berkait dengan keguguran yang anda hadapi sebelum ini ataupun tidak.
Kita bahagikan punca masalah kepada dua kategori, iaitu berkait dengan keguguran dan tidak berkait dengan keguguran.
Jika ia berkait dengan keguguran, maka ia boleh disebabkan oleh dua perkara iaitu:
- Peninggalan sisa janin seperti uri dalam rahim selepas keguguran. Ia boleh menyebabkan jangkitan serta keradangan pada ruang pelvis yang boleh mengganggu organ-organ pada ruangan tersebut.
- Keguguran yang tidak sempurna dimana masih terdapat kehamilan yang berlaku (selalunya ektopik) yang boleh mengeluarkan simptom-simptom kehamilan seperti pembesaran perut, muntah, loya dan sakit payudara. (Sila pantau).
Jika ia tidak berkait dengan keguguran, maka ia boleh disebabkan oleh beberapa perkara:
- Pengumpulan cecair dalam abdomen yang boleh disebabkan oleh jangkitan atau keradangan usus, ataupun usus tersumbat. Ia juga boleh disebabkan oleh penyakit buah pinggang, hati dan juga masalah jantung.
- Kanser seperti kanser ovari, rahim dan juga usus.
- Penyakit keradangan kronik pankreas (Chronic Pancreatitis) ataupun sewaktu dengannya (batu karang pankreas)
- Penyakit hati
- Penyakit buah pinggang atau salur buah pinggang yang boleh mengganggu tekanan darah dalam ruangan abdomen.
Kami sarankan anda berjumpa dengan doktor anda sekiranya perkara ini berlarutan, bagi mengenalpasti punca masalah anda dengan lebih teliti, serta mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tambahan, anda boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Terima kasih.