
Sulit
3 tahun
Makan makanan pedas ketika hamil
Saya wanita berusia 27 tahun dan sedang hamil 7 minggu anak pertama. Saya tiada alahan atau rasa mual pada fasa awal kehamilan ini. Saya merupakan penggemar makanan pedas, tetapi saya perasan, sejak hamil saya tidak boleh makan makanan yang pedas kerana akan berasa tidak selesa pada perut. adakah ini normal? adakah makanan pedas boleh memberi kesan buruk terhadap janin dalam kandungan?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
3 tahun
Salam sejahtera,
Terima kasih kerana memilih kami untuk mendapatkan pandangan tentang masalah kesihatan anda.
Berdasarkan penerangan yang telah diberi, saya faham akan kebimbangan anda dan akan cuba untuk menjelaskan situasi anda dengan baik.
Untuk makluman pihak anda, mengambil makanan pedas semasa hamil tidak akan memberi kesan buruk terhadap janin. Walau bagaimanpun, saya menyarankan agar mengurangkan pengambilannya jikalau makanan pedas menyebabkan anda berasa tidak selesa buat masa ini. Ini hanya untuk mengelakkan sebarang ketidakselesaan untuk diri sendiri.
Sepanjang waktu anda hamil, badan anda akan mengalami pelbagai perubahan. Selera makan, mood dan toleransi makanan anda akan berubah sepanjang kehamilan.
Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk kehamilan dari segi pengambilan dan pilihan makanan. Antaranya adalah:
- Pastikan makanan anda dimasak sepenuhnya - terutamanya daging dan telur
- Elakkan makanan yang mentah seperti sashimi
- Basuhkan buah-buahan dan sayuran anda dengan teliti
- Kurangkan pengambilan kaffeine (kopi, teh, Coca-Cola, minuman tenaga dll.)
- Pastikan susu dan keju anda telah dipasteurasi (Pasteurised milk and cheese)
Jika anda mengalami sebarang gejala yang berikut ataupun gejala lain semasa kehamilan yang merisaukan, sila merujuk kepada doktor:
- Pendarahan dari faraj
- Sensasi kontraksi atau sakit perut
- Air pecah
- Gabungan sakit kepala, masalah penglihatan: melihat bintik atau sebarang perubahan, bengkak muka dan tangan
- Muntah-muntah yang tidak boleh ditahan dan cirit-birit
- Buku lali, betis atau paha: kehangatan, kelembutan, sakit, bengkak secara tiba-tiba, kemerahan, sakit semasa berdiri atau berjalan
Anda boleh berhubung dengan doktor kami secara atas talian untuk mendapat maklumat yang lebih lanjut.
Kami berharap agar jawapan ini dapat membantu anda. Terima kasih.
Klik di sini untuk bercakap dengan doktor.