
Sulit
4 tahun
Pening kepala dan kurang selera makan
saya ingin bertanya, saya mengalami sakit kepala semenjak 5 hari lepas. adakah ini berkaitan stress atau pun darah tinggi? dan saya juga mengalami masalah lost appetite. Saya ingin juga bertanya adakah normal jika mengalami masalah muka belah kanan dan kiri yg tidak selari?

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Salam sejahtera, terima kasih atas soalan yang diajukan.
Berdasarkan keterangan di atas, kami memahami kebimbangan anda tentang masalah yang dihadapi. Untuk makluman pihak anda, masalah sakit kepala adalah masalah yang sering berlaku. Sukar untuk saya membuat kesimpulan mengenai punca sakit kepala anda sama ada darah tinggi atau stress kerana masalah ini boleh jadi disebabkan oleh pelbagai faktor. Akan tetapi, sekiranya ia diiringi dengan gejala seperti di bawah, anda disarankan untuk berjumpa dengan doktor. Antaranya:
Sakit kepala yang terlalu kuat dan tiba-tiba
Pandangan kabur
Pitam
Sawan
Muntah pada waktu pagi
Hilang berat badan mendadak
Selain itu, masalah hilang selera makan diiringi dengan berat badan menurun dengan mendadak adalah gejala yang sedikit merisaukan. Akan tetapi banyak lagi maklumat lain yang diperlukan sebelum kami membuat diagnosis. Oleh itu disarankan anda berjumpa dengan doktor.
Untuk masalah muka kanan tidak selari dengan muka kiri, maklumat yang diberikan adalah tidak mencukupi. Sekiranya anda perasan senyuman anda tidak seimbang, kelopak mata sebelah tidak dapat buka atau tutup dengan sempurna, hilang sensasi pada sebelah muka atau sebelah tubuh badan lemah, anda disarankan untuk segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Akan tetapi, jawapan ini adalah keterangan am tentang masalah yang anda hadapi. Untuk mengetahui punca masalah yang anda hadapi dengan tepat, maklumat lanjut serta pemeriksaan adalah diperlukan sebelum kesimpulan boleh dibuat. Oleh itu, anda amat disarankan untuk merujuk masalah ini kepada doktor.
Anda juga boleh klik pada link ini (DoctorOnCall) untuk bercakap dengan pihak kami secara peribadi melalui atas talian bagi mendapatkan penerangan dan nasihat atau rawatan yang diperlukan. Terima kasih.