
Sulit
4 tahun
Rasa pedih di dubur ketika mencuci selepas membuang air besar
Salam Dr. Saya mengalami rasa pedih ketika mencuci selepas membuang air besar dan sy check terdapat seperti kesan luka di bahagian “bibir” dubur, perkara ini berlarutan agak lama dan baru-baru ini ketika hendak mencuci selepas membuang air besar saya dapati ada darah yg keluar, dan saya check terdapat kesan luka yang berdarah di bibir dubur. Keadan ini sdh berlarutan dalam 3 hari , setiap kali membuang air besar luka tersebut akan berdarah.

Dr Nur Syuhada binti Zulkifli,
4 tahun
Hai, terima kasih kerana menghubungi kami untuk bertanyakan masalah anda. Saya fahami kebimbangan anda pada masa ini tentang najis berdarah.
Untuk makluman anda, dubur pedih dan najis berdarah boleh disebabkan oleh banyak perkara, antaranya:
- Buasir: Buasir juga dikenali dengan nama ‘haemorrhoids’. Buasir berlaku apabila terdapat luka pada lubang dubur. Perkara ini boleh berlaku kepada mereka yang mempunyai sejarah sembelit untuk tempoh yang lama. Buasir boleh dikesan dengan memeriksa dubur jika terdapat benjolan yang licin. Selain itu, seseorang itu juga akan berasa sakit dan gatal pada lubang dubur.
- Divertikulum"diverticular disease": Masalah divertikulum adalah terbentuknya lubang atau poket dalam usus. Masalah ini berserta dengan masalah sembelit akan menyebabkan pendarahan yang segar atau pun berketul. Ini juga merupakan suatu permasalahan besar yang sering dihadapi oleh warga emas.
- Kanser usus/”colorectal cancer” . Dengar sahaja perkataan kanser atau barah pastinya timbulnya rasa bimbang kerana seperti yang diketahui ramai, kanser sukar diubati. Kanser usus besar merupakan kanser ketiga paling tinggi dideritai oleh rakyat Malaysia. Pesakit kanser ini akan mengadu mereka mempunyai masalah membuang air besar kerana sembelit dan kadangkala mengalami cirit-birit.
- Sembelit"constipation" : Sembelit berterusan boleh mengakibatkan masalah lain yang seperti ‘anal fissure’. Ini merupakan masalah yang agak kronik dan pesakit harus segera mendapatkan rawatan. Hal ini kerana masalah ini boleh mengakibatkan pendarahan ketika proses membuang air besar yang akan menyebabkan terjadinya masalah berak berdarah. Masalah ini juga mengakibatkan kesakitan.
- "Inflammatory bowel disease" : Selain itu, masalah radang usus boleh menyebabkan masalah berak berdarah. Ini juga akan mengakibatkan cirit-birit yang bercampur darah. Masalah radang usus harus diselesaikan dengan segera supaya masalah ini tidak mendatangkan komplikasi serius.
Setiap kondisi yang dinyatakan diatas memerlukan pemeriksaan di klinik. Oleh itu saya menasihatkan anda untuk berjumpa dengan doktor jika perkara ini berulang atau anda ingin mendapatkan kepastian.
Sekiranya anda mengalami gejala di bawah disamping berak berdarah, sila berjumpa dengan doktor:
- Rasa ingin pitam/pengsan
- Rasa sesak nafas
- Kekeliruan/gangguan mental
- Muntah-muntah
- Dehidrasi - kurang buang air kecil adalah tanda serius dehidrasi
Dapatkan khidmat kepakaran doktor gastroenterologi untuk menyelesaikan masalah anda hari ini.
Untuk mengetahui lebih mendalam tentang kondisi yang anda sedang alami, anda juga boleh mendapatkan konsultasi dengan doktor kami di ( DoctorOnCall ) secara peribadi. Terima kasih.